oleh S. Arutchelvan

Chong Yee Shan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan juga seorang aktivis yang bersolidariti bersama petani, diberitahu oleh Inspektor Shahril daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kelmarin bahawa dia akan didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh pada 27 Disember 2023. Kami percaya bahawa pendakwaan ini berkaitan dengan isu pengusiran paksa yang dilakukan oleh pihak pemaju, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan polis pada 24 Oktober 2023 terhadap kebun sayur Kanthan di kawasan Tambun, Perak.

Seksyen 186 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa “barang siapa dengan sengaja menggalang mana-mana penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda yang boleh sampai sepuluh ribu ringgit, atau dengan kedua-duanya”.

PSM mengecam dakwaan ini kerana operasi pengusiran yang dilakukan pada 24 Oktober 2023 itu amat dipertikaikan dan ia merupakan penyalahgunaan kuasa. Isu pengusiran terhadap petani-petani kecil di Kanthan masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Semasa proses pengusiran paksa tersebut, Chong Yee Shan telah dicederakan selepas ditolak dengan kasar sehingga jatuh di atas tanah oleh seorang pegawai PTG Perak. Yee Shan mengalami kecederaan yang serius pada soket mata kanannya dengan keretakan tengkorak berdekatan hidung. Kecederaan ini telah menjejaskan penglihatannya. Dia sekarang ini mengalami penglihatan berganda dalam arah pandangan mata tertentu dan sedang menjalani rawatan.

Sejumlah 45 aduan polis telah dibuat di seluruh negara oleh individu-individu dan organisasi-organisasi terhadap pegawai PTG yang mencederakan seorang aktivis secara ganasnya, dan menuntut pada pihak polis supaya mengambil tindakan. Satu kenyataan yang ditandatangani bersama oleh Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Kuala Lumpur Residents Action Plus for Sustainable Development (KLRA+SD), Alliance of River Three,  Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), ALIRAN dan Greenpeace Malaysia juga mengecam insiden tersebut dan menuntut keadilan untuk Yee Shan serta petani-petani.

Meskipun semua bantahan ini, pihak polis dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kini sebaliknya mendakwa Yee Shan yang dirinya merupakan mangsa keganasan pihak berkuasa. Penyiasatan dan keputusan ini adalah tidak wajar sama sekali, dan ini merupakan contoh nyata dwistandard apabila mangsa yang didakwa sementara si pelaku nampaknya dibiarkan bebas.

PSM menyeru pada Peguam Negara supaya mencampur tangan dan mengkaji semula kes ini kerana ia menunjukkan keadilan berat sebelah secara terang-terangan. Kami menyeru supaya dakwaan terhadap Chong Yee Shan digugurkan dan sebaliknya satu penyiasatan baharu dilakukan oleh penyiasat yang neutral dari daerah polis lain yang neutral kerana kami percaya bahawa cara IPD Ipoh mengendalikan kes pertikaian ini adalah sangat berat sebelah dan tidak meyakinkan. Sebelum ini, terdapat banyak aduan telah dibuat terhadap pihak polis kerana tidak bersikap neutral.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *