oleh Sivarajan Arumugam

Penduduk kampung Orang Asli di Pos Lanai, Daerah Lipis, Pahang, sekali lagi dikejutkan dengan insiden pencerobohan ke dalam tanah wilayah adat mereka pada 14 Disember, 2023, apabila mereka ternampak jalan baharu yang dibuka untuk menebang dan mengeluarkan balak.  

Jalan tersebut ditemui ketika beberapa orang kampung dari Pos Lanai sedang beredar ke Sungai Tekal untuk menangkap ikan. Tok Batin Tuny telah bergegas ke tempat itu setelah dimaklumkan oleh anak buahnya dan mereka menghalang pekerja-pekerja upahan kontraktor balak tersebut daripada meneruskan kerja.  Mereka mendapati bahawa puluhan batang pokok telah ditebang dengan sebuah jentolak, buldozer dan kenderaan pikap Hilux.  

Wilayah Adat penduduk Orang Asli Semai di Pos Lanai telah lama dipertahankan oleh masyarakat Orang Asli tempatan daripada diceroboh dan dirampas. Pencerobohan yang terbesar berlaku pada sekitar tahun 2013, apabila pihak Kerajaan Negeri Pahang dan Tenaga Nasional Berhad telah bercadang untuk membina Empangan Telom dengan menenggelamkan kawasan seluas hampir 7,600 hektar di Hutan Simpanan Kekal Hulu Jelai yang sebahagian besarnya merupakan wilayah adat dan petempatan Orang Asli suku kaum Semai di Pos Lanai. Selepas perjuangan komuniti Pos Lanai yang konsisten, akhirnya kerajaan membatalkan projek itu pada tahun 2018.  

Sebelum mereka boleh menarik nafas lega, pada tahun 2021, satu lagi projek perlombongan bahan galian nadir bumi telah cuba dilaksanakan di kawasan hulu Sungai Telom. Jika projek itu dimulakan, ia akan meracuni sumber air minuman bagi keseluruhan populasi Orang Asli di kawasan ini. Justeru, penduduk Pos Lanai telah membuat keputusan untuk memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Temerloh pada tahun 2021.  

Seramai 150 Orang Asli telah menjadi plaintif dalam kes ini. Mereka kesal bahawa pihak kerajaan terus memberikan kelulusan kepada projek perlombongan dan pembalakan yang menjejaskan kehidupan serta merampas hak mereka.  

Dalam kejadian baru-baru ini pula, Pejabat Hutan Daerah Lipis telah mengeluarkan kebenaran kepada kontraktor untuk membalak di beberapa kompartmen di dalam Hutan Simpanan Hulu Jelai. Kompartmen Blok C 466 kini menjadi pertikaian kerana ia bertindih dengan kawasan tanah wilayah adat yang dituntut oleh masyarakat Orang Asli Pos Lanai. Kawasan yang dituntut ini telah pun diserahkan kepada pertimbangan dalam mahkamah, di mana hakim masih dalam proses mendengar keterangan daripada masyarakat Orang Asli tentang kenapa mereka menuntut kawasan tersebut sebagai tanah adat mereka.

Pada ketika pertikaian tanah tersebut masih dalam proses pendengaran kes di mahkamah, adalah amat tidak wajar dan kurang bertanggungjawab untuk Pejabat Hutan tidak menghormati proses mahkamah dan mengeluarkan lesen pembalakan.  

Tok Batin Tuny yang telah berjumpa dengan kontraktor balak, memberikan masa 2 hari untuk semua jentera dan jentolak dikeluarkan dari tanah tersebut dan balak yang ditebang juga dilarang daripada diangkut keluar. Jika pihak kontraktor pembalakan gagal berbuat demikian, maka peguam yang mewakili komuniti Pos Lanai akan menghantar notis kepada kontraktor dan juga pihak berkuasa untuk membantah pencerobohan ini.  

Dengan pencerobohan terbaru ini, komuniti Orang Asli Semai Pos Lanai sedar bahawa, tanah wilayah adat masyarakat Orang Asli Semai ini akan sentiasa diceroboh selagi mereka tidak menerima deklarasi daripada mahkamah yang mengarah pihak Kerajaan Negeri untuk mewartakan wilayah ini sebagai rizab Orang Asli yang kekal selamanya.

Walaupun kes telah bermula di mahkamah, tetapi komuniti Orang Asli perlu sentiasa berwaspada untuk bersedia perjuang di lapangan supaya menghentikan apa jua pencerobohan di Hutan Simpanan Hulu Jelai yang telah menjadi tempat tinggal mereka turun temurun selama beratus-ratus tahun.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan juga merupakan koordinator isu Orang Asli Pos Lanai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *