(Gambar arkib: Bekas pekerja Ladang Padag Meha berprotes di hadapan ibu pejabat MBf Holdings di Kuala Lumpur pada bulan Oktober 2018.)

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Para bekas pekerja Ladang Padang Meha yang sudah lama menderita sekali lagi “diserang” oleh salah sebuah anak syarikat MBf Holdings Bhd. Perkara ini telah berulang kali berlaku dalam tempoh 28 tahun yang lalu! Episod terbaru kisah panjang ini bermula pada bulan Januari tahun ini apabila Vintage Developers Sdn Bhd, sebuah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh MBf, menyatakan niatnya untuk mengusir keluar 30 orang bekas pekerja yang masih menduduki rumah kuarters di ladang lama tersebut.

30 orang bekas pekerja di Ladang Padang Meha ini terdiri daripada 2 kumpulan yang berbeza. Lebih kurang separuh daripada mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan 135 orang bekas pekerja yang mendapat khidmat daripada firma guaman Hakem Arabi pada tahun 2017 untuk menuntut bayaran faedah pemberhentian kerja yang diserahkan oleh bekas majikan mereka, syarikat East Asiatic Company (EAC), kepada MBf Holdings pada tahun 1995 apabila MBf membeli tanah ladang ini. Jumlah wang tersebut adalah RM3.36 juta dan sehingga masa itu (tahun 2017), tiada satu sen pun dibayar kepada 207 orang pekerja yang diberhentikan kerja.

Di dalam mahkamah, MBf pada awalnya mengatakan bahawa jumlah wang ini telah dipegang oleh sebuah lagi anak syarikat milikan sepenuhnya, Alamanda, di mana tanah ladang ini “diletakkan”, dan seluruh jumlah wang tersebut telah hilang apabila syarikat Alamanda menggulung tikar pada tahun 2004*(rujuk nota). Namun, pekerja-pekerja pada masa itu bernasib baik. Pelikuidasi untuk Alamanda, salah satu pihak yang dinamakan dalam kes saman yang difailkan oleh firma guaman Hakem Arabi, telah memfailkan kertas dalam pernyataan pembelaan mereka yang membuktikan bahawa RM3.36 juta yang dipindahkan oleh EAC kepada MBf pada tahun 1995 tidak pernah diserahkan kepada Alamanda tetapi masih kekal di bawah pengurusan MBf sendiri.

Peguam yang mewakili MBf pula berhujah bahawa Statut Keterbatasan yang mengehadkan tempoh liabiliti kontrak kepada 6 tahun telah lama berlalu, dan MBf tidak perlu membayar apa-apa kepada pekerja-pekerja berkenaan. Pihak peguam Hakem Arabi berhujah dengan agak kreatifnya bahawa RM3.36 juta tersebut adalah lebih bersifat “Amanah”, dan Amanah tersebut tidak berada di bawah skop Statut Keterbatasan. Pada bulan April 2019, Mahkamah Rayuan bersetuju dengan pihak peguam Hakem Arabi dan memerintah bahawa keseluruhan jumlah wang RM3.36 juta itu harus diserahkan kepada firma guaman Hakem Arabi untuk diagihkan kepada pekerja-pekerja berasaskan senarai terperinci yang disediakan oleh East Asiatic Company yang menyatakan jumlah sebenar yang harus dibayar kepada setiap orang daripada 207 orang pekerja berdasarkan tempoh perkhidmatan dan sama ada pekerja berkenaan merupakan seorang yang bujang ataupun pasangan suami isteri.

Pihak syarikat MBf sepatutnya boleh menyelesaikan isu ini pada masa itu. Namun sebaliknya, MBf membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan berhujah bahawa pihak peguam Hakem Arabi hanya mewakili 135 orang pekerja, maka MBf hanya perlu memindahkan sebahagian daripada RM3.36 juta tersebut yang berkaitan dengan 135 orang berkenaan. Satu persetujuan dicapai pada bulan Februari 2020 di mana MBf memindahkan RM1.5 juta kepada Hakem Arabi untuk bayaran kepada 135 orang bekas pekerja berkenaan. Persetujuan tersebut juga menyatakan bahawa jika pekerja masih belum berpindah keluar selepas 6 bulan pemindahan wang pampasan kepada Hakem Arabi, MBf boleh memohon perintah mahkamah untuk mengusir keluar pekerja berkenaan.

Dalam satu mesyuarat dengan para bekas pekerja Ladang Padang Meha pada bulan Januari 2023, adalah diputuskan bahawa mereka daripada 135 orang yang telah diwakili oleh peguam Hakem Arabi patut berpindah keluar dan mengambil wang pampasan mereka. Namun, mereka dalam kalangan 72 orang bekas pekerja yang tidak berada dalam senarai Hakem Arabi (Kumpulan B) dan pampasan mereka yang masih dipegang oleh MBf, telah memutuskan bahawa mereka tidak akan mengosongkan rumah mereka sehingga jumlah wang pampasan mereka juga dijelaskan. Mereka telah menghantar beberapa surat kepada MBf antara tahun 2020 dan 2023 untuk meminta supaya perkara ini dilakukan, tetapi tiadanya sebarang respon daripada pihak MBf.

Pada bulan Mac 2023, syarikat Vintage Developers yang membeli harta tanah tersebut selepas Alamanda menggulung tikar, cuba untuk mengusir bekas pekerja daripada “Kumpulan B”. Kumpulan bekas pekerja ini mendapat bantuan daripada sekumpulan peguam yang pernah membantu mereka dalam perjuangan awal mereka dengan Alamanda. Peguam Tetuan Theiva Lingam memfailkan satu permohonan di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah untuk mengekalkan status quo sehingga isu-isu yang melibatkan tanah tersebut diselesaikan. Permohonan tersebut telah diluluskan oleh Mahkamah Majistret Kulim pada 19 Mac 2023.

Peguam yang mewakili syarikat Vintage Developers, Tetuan Calvin Khoo, kemudiannya memfailkan satu permohonan Perintah 89 untuk terus mengusir keluar lebih 50 orang bekas pekerja daripada Kumpulan B yang didakwanya sebagai “setinggan haram”. Permohonan tersebut telah gagal, kerana para bekas pekerja ini bukannya orang yang menceroboh tanah selepas ia dibeli oleh MBf, tetapi merupakan bekas pekerja yang masih belum dibayar pampasan mereka yang sewajarnya. Dalam putar belit plot yang mengejutkan pada penghujung perbicaraan permohonan Perintah 89, pihak peguam Tetuan Calvin Khoo telah memadamkan nama lebih 40 orang pekerja yang dinamakannya sebelum itu. Oleh itu, apabila keputusan Mahkamah Tinggi Sungai Petani diumumkan pada bulan September 2023, yang menolak permohonan syarikat Vintage Developers untuk Perintah 89, kurang daripada 10 nama daripada Kumpulan B dinyatakan dalam penghakiman tersebut.

Akan tetapi, pada masa yang sama, tanpa diketahui oleh peguam-peguam untuk bekas pekerja daripada Kumpulan B, peguam Tetuan Calvin Khoo telah menggunakan penghakiman Mahkamah Persekutuan pada tahun 2020 untuk mendapatkan satu perintah ex-parte daripada Mahkamah Tinggi Sungai Petani yang membenarkan syarikat Vintage Developers untuk mengusir sesiapa daripada 135 orang bekas pekerja yang diwakili oleh peguam Hakem Arabi dan juga mana-mana bekas pekerja yang tidak dinamakan yang masih menduduki rumah kuarters ladang. Memang pelik bahawa pegawai mahkamah yang memberikan perintah  ex-parte tersebut tidak menyiasat perkara ini dengan lebih teliti. Sekiranya terdapat sedikit usaha untuk menyiasat, dengan semua dokuman yang berkaitan telah difailkan dalam kes permohonan Perintah 89, adalah jelas bahawa Perintah Mahkamah Persekutuan tersebut hanya terpakai untuk 135 orang yang telah menerima pampasan mereka dan ia tidak boleh digunakan terhadap bekas pekerja daripada Kumpulan B yang bukannya sebahagian daripada kes tersebut. Namun, salah nyata Tetuan Calvin Khoo terhadap situasi ini tidak dilihat oleh Mahkamah dan perintah pengusiran diberikan kepada syarikat syarikat Vintage Developers.

Syarikat Vintage Developers datang untuk mengosongkan rumah kuarters ladang pada 18 Disember 2023 dengan perintah mahkamah dan diiringi oleh bailif mahkamah. Walaupun ditentang oleh para bekas pekerja, mereka telah merobohkan 4 buah rumah di kawasan Bahagian 2 di mana keluarga bekas pekerja ladang masih tinggal di situ. Tetuan Theiva Lingam sedang mengusahakan satu injunksi untuk menghentikan pengusiran terhadap bekas pekerja daripada Kumpulan B dan perobohan mana-mana lagi rumah kuarters yang akan mengeluarkan lebih banyak habuk asbestos yang boleh mengakibatkan kanser pada bekas pekerja daripada Kumpulan B dan keluarga mereka.

Bukankah ini satu kelakuan yang memalukan bagi sebuah syarikat kaya raya yang duduk di atas ratusan ekar tanah yang bernilai pembangunan puluhan juta ringgit? Kenapa ini berlaku di dalam sebuah negara yang kononnya berada di ambang kedudukan “negara maju”? Membayar pampasan kepada para bekas pekerja daripada Kumpulan B yang dinyatakan oleh syarikat EAC pada 28 tahun dahulu hanya akan memakan kira-kira RM2 juta. Dan masalah yang telah berlarutan selama 28 tahun ini akan diselesaikan. Ia masih bukannya satu penyelesaian yang adil, kerana janji asalnya untuk sebuah rumah teres bagi setiap keluarga bekas pekerja belum pernah ditunaikan (dan mungkin tidak akan berlaku), tetapi ia akan sekurang-kurangnya menutup tirai isu ini.

Kelakuan firma guaman yang membantu dan bersubahat dengan syarikat MBf serta Vintage Developers dalam penindasan mereka terhadap bekas pekerja Ladang Padang Meha menimbulkan persoalan moral yang berkaitan – sejauh mana peguam patut menggunakan penipuan dan salah nyata untuk membolehkan klien perniagaan kaya mereka untuk mengelak diri daripada tanggungjawab asas mereka terhadap komuniti yang dijejaskan oleh mereka dalam pengejaran mereka untuk keuntungan?

Dan apa yang berlaku pada sistem semak dan imbang yang sepatutnya wujud? Sudah tentu, ini ialah tanah swasta. Namun, wujudnya Lembaga Tanah Ladang di setiap negeri yang sepatutnya menyelia kebajikan pekerja-pekerja ladang yang terjejas oleh penjualan dan pemecahan tanah ladang mereka. Perkara ini telah dinyatakan di bawah Seksyen 214(A) Kanun Tanah Negara. Apakah saranan daripada Lembaga ini pada pertengahan tahun 1990-an mengenai kebajikan pekerja-pekerja Ladang Padang Meha? Adakah Lembaga ini bermesyuarat untuk membincangkannya dan memberikan saranan? Adakah ia dilaksanakan? Kami telah menghantar surat kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk meminta perincian saranan-saranan ini tetapi tidak mendapat apa-apa maklum balas.

Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan adalah penting untuk kelulusan rancangan pembangunan tepat pada masanya, tetapi pada hakikatnya menyediakan ruang kepada Pihak Berkuasa Negeri dan Tempatan untuk mempengaruhi pemaju. Kedua-dua peringkat kerajaan ini boleh memberi tekanan yang signifikan kepada pemaju yang menyeleweng untuk mematuhi langkah-langkah berkaitan dengan pampasan kepada komuniti yang diusir dan penyelenggaraan alam sekitar. Dalam kes Ladang Padang Meha, kedua-dua peringkat kerajaan ini jelasnya keberatan dalam menggunakan kuasa “pemujukan” mereka yang agak besar itu untuk mempertahankan kepentingan komuniti bekas pekerja ladang yang dianiayai. Dan isu ini bukannya berat sebelah etnik – kira-kira 50% daripada bekas pekerja Ladang Padang Meha merupakan orang Melayu. Ia lebih kepada “ketuanan wang”.

Semua ini menunjukkan hakikatnya bahawa di Malaysia hari ini, kepentingan kelas korporat lebih diutamakan berbanding hak asasi rakyat biasa, dan menonjolkan keperluan untuk wujudkan lebih banyak organisasi serta jaringan rakyat yang dapat bersolidariti dengan rakyat biasa yang dijejaskan oleh “pembangunan”, dibuli oleh syarikat-syarikat kaya, diabaikan oleh badan-badan kerajaan yang diamanahkan untuk menjaga mereka, dan “diperdayakan” dalam sistem undang-undang oleh firma guaman yang dibayar lumayan.

Sertailah kami. Kita perlukan lebih banyak bantuan dalam perjuangan ini!

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Nota:

* Syarikat Alamanda pada asalnya cuba mengusir pekerja-pekerja melalui tindakan mahkamah, tetapi kemudiannya bersetuju untuk membina rumah teres untuk pekerja-pekerja dan menjualkan rumah kepada setiap keluarga bekas pekerja pada harga RM12,500 (separuh harga rumah pada masa itu). Namun, janji ini tidak pernah ditunaikan dan pada tahun 2003, iaitu tahun kelima selepas janji dibuat, pekerja-pekerja telah memfailkan kes mahkamah terhadap Alamanda, dengan sekumpulan peguam daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada masa itu, untuk mendesak pihak syarikat menunaikan janjinya. Alamanda menggulung tikar tidak lama kemudian. Jadi, walaupun para bekas pekerja Ladang Padang Meha menang dalam kes mahkamah, dan Mahkamah memerintahkan bayaran RM22,500 bagi setiap orang pekerja sebagai pampasan atas kegagalan dalam menyediakan rumah kos rendah, tiada apa yang sebenarnya dibayar kepada mana-mana seorang bekas pekerja, kerana syarikat itu telah mengisytihar muflis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *