oleh Arveent Kathirtchelvan

Belanjawan Malaysia 2024 yang baru dibentang oleh Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia adalah ketandusan idea baharu yang diperlukan rakyat pada masa ini. Berikut ialah penjelasan saya atas kritikan ini.

1. Pendekatan ekonomi masih terikat dengan idea gagal

Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, bahawa galakan cukai yang diberikan dalam Belanjawan 2024 adalah mengikut dasar “trickle-down economics” dan ia berpotensi mendorong pelabur untuk meningkatkan pelaburan modal masing-masing, jelas menunjukkan kerajaan MADANI masih bersikap kapitalis seperti semua kerajaan Malaysia sebelum ini.

Dasar “trickle-down economics” ialah satu mitos yang diuar-uarkan pihak kapitalis bahawa kekayaan yang disalurkan kepada mereka sendiri akan pada satu hari nanti mengalir ke dalam tangan rakyat biasa. Ini adalah penipuan semata-mata. Dasar sebegini telah digunakan sejak berdekad-dekad lagi dan hasilnya ialah Keluaran Dalam Negara Kasar telah berlipat-ganda sebanyak 24 kali dalam tempoh masa 50 tahun tetapi gaji median pekerja kilang dalam masa yang sama hanya berlipat ganda 1.4 kali. Di manakah kekayaan ini kalau ia bukan dalam tangan majikan dan kapitalis besar?

Kerajaan MADANI, dengan istilah yang dahsyat seperti “rombakan ekonomi” hanya meniru dasar teruk kerajaan lampau dan menggunakan propaganda untuk mempopularkannya. Kalau tidak, mengapakah cukai keuntungan modal hanya dilaksanakan untuk pelupusan saham yang tidak tersenarai oleh syarikat tempatan sahaja? Adalah lebih patut jika semua jenis pelupusan saham dikenakan cukai ini supaya kapitalis besar yang memegangnya terkesan.

Jikalau kerajaan Malaysia ingin mencari penyelesaian kekal untuk mewujudkan dasar ekonomi yang mampan dan memanfaatkan rakyat biasa, mereka sepatutnya mencari jalan keluar daripada cengkaman kapitalis tempatan serta kuasa-kuasa luar yang ingin menggunakan tenaga kerja Dunia Ketiga untuk mencari keuntungan lebih. Terdapat pelbagai cara mencapai impian ini, tetapi secara permulaan, satu skim jaminan kerja persekutuan patut diwujudkan untuk menyaingi syarikat swasta dari segi memikat tenaga kerja. Pendekatan sebegini, yang mencabar kapitalis bukannya membodek mereka, akan lebih berkesan dalam jangka masa panjang.

2. Strategi menangani isu alam sekitar terlalu dikekang

Satu tumpuan ekonomi yang dikatakan menarik adalah sektor pertumbuhan tinggi dan nilai tinggi (High Growth High Value). Akan tetapi, pelaksanaan tumpuan ini adalah menjadikan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang sebagai hab petrokimia, satu pendekatan yang tidak berbeza dengan pendekatan lampau. Di manakah tumpuan kepada sektor farmaseutikal, penghasilan pemangkin atau teknologi lain? Adakah Malaysia akan terus kekal terikat dengan bahan api fosil?

Respon kepada ini adalah tumpuan kepada perkembangan sektor kenderaan elektrik. Ini adalah satu harapan palsu yang diberikan oleh pemaju kenderaan sebegini terhadap masalah-masalah yang membelenggu rakyat biasa. Tanpa adanya anjakan kepada tenaga elektrik bersih, penggunaan kenderaan elektrik hanya akan meningkatkan kebergantungan pada bahan api fosil.

Sebagai contoh, menurut Malaysia Energy Statistics Handbook 2020, sektor pengangkutan sekarang (yang kebanyakannya menggunakan petroleum) menggunakan 36.4% tenaga yang dihasilkan di Malaysia. Tenaga elektrik pula kebanyakannya dijana melalui arang batu (42.8%) dan gas asli (40.2%). Bagaimanakah lebihan tenaga yang diperlukan oleh kenderaan elektrik ini akan dijana kalau bukan melalui bahan api fosil? Dalam Belanjawan 2024, sikap acuh tak acuh kerajaan MADANI amat jelas ditunjukkan dalam transisi kepada tenaga bersih kerana tiadanya peruntukan yang kukuh.

Juga dikhuatiri bahawa pelan pemanjangan landasan Lapangan Terbang Tioman yang mungkin akan menjejaskan kelangsungan alam sekitar di pulau tersebut. Janganlah kita hanya mengejar keuntungan semata-mata dan menghancurkan khazanah alam yang dikurniakan kepada negara kita ini.

3. Keterjaminan makanan tidak diambil serius

Amat menyedihkan apabila Perdana Menteri kita yang juga merupakan Menteri Kewangan tidak mengendahkan isu keterjaminan makanan di Malaysia. Sampai sekarang, Ahli Parlimen Tambun ini masih tidak pedulikan kumpulan petani yang merupakan pengundinya juga yang kini sedang diusir dari tanah mereka.

Perkara ini juga dicerminkan dalam belanjawan ini apabila peruntukan bagi keterjaminan makanan amat kurang dan tiada pelan radikal untuk mengatasi masalah kebergantungan yang meningkat terhadap makanan import yang menelan kos sebanyak RM62 bilion setahun. Walaupun subsidi pesawah padi telah meningkat dari RM360 ke RM500 serta harga lantai pembelian padi ditingkatkan ke RM1,300 per tan daripada RM 1,200 per tan, ini masih tidak mencukupi untuk menangani masalah kekurangan penjanaan makanan tempatan.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah lama mencadangkan supaya tanah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Sime Darby digunakan untuk perkebunan tanaman makanan. Kini, kerajaan MADANI memperuntukkan RM90 juta sahaja kepada RISDA dan FELCRA untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui penghasilan tanaman makanan dan ternakan. Jumlah ini terlalu kecil, tidak dapat merombak sektor tanaman makanan Malaysia dan hanya menyedapkan hati penulis belanjawan sahaja.

Jikalau dasar kerajaan juga berubah supaya pengusiran paksa pekebun di Malaysia seperti di Tambun diharamkan, mungkin pendekatan sebegini dapat dimaafkan. Realitinya tidak sebegitu.

4. Pendidikan percuma kekal mimpi

“Hutang mesti dibayar,” begitu katanya Perdana Menteri kita tentang hutang PTPTN. Kerajaan ini, yang ironinya dianggotai oleh pejuang pendidikan percuma seperti saudara Adam Adli, masih tidak memikul tanggungjawab mendidik anak-anak kita secara sepenuhnya. Setiap sen yang dibelanjakan untuk mendidik seorang pelajar patut dikira sebagai pelaburan terhadap masa depan negara ini.

Apabila pihak kapitalis besar yang mampu membayar cukai diberi pelbagai insentif mengurangkan kosnya, tidak masuk akal untuk anak-anak muda yang bakal membina masa hadapan Malaysia dipanggil penghutang.

Segala diskaun yang diberikan kerajaan ini, sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan lampau, hanyalah indikasi bahawa perjuangan pendidikan percuma yang disokong mereka pada satu masa dahulu sudah tenat. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia bersatu hati untuk menuntut pendidikan percuma sehingga ijazah pertama atau yang seumpamanya dilaksanakan tanpa melengahkan masa.

Perdana Menteri kita yang juga merupakan Menteri Kewangan harus bangun daripada fasa bulan madunya. Memetik kata-kata hikmat bagi memikat pengundi tidak memadai, kerja membangun negara ini untuk rakyat biasa, rakyat marhaen, harus diutamakan. Ini tidak senang, malah satu kerja yang berkemungkinan kurang dihargai rakyat biasa. Bak kata Thirukural:

கைம்மாறு வேண்டா கடப்பாடு மாரிமாட்டு

என்ஆற்றுங் கொல்லோ உலகு. (குறள் 211)

“Lakukan kewajipan anda tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Malah, jasa awan-awan kepada manusia dengan mencurahkan air hujan pun tidak pernah dibalas.” (Kural 211)

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *