oleh Chong Yee Shan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) melahirkan rasa kesal dan mengecam penahanan terhadap pengarang buku “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia”, Kean Wong, yang direman kerana dipercayai buku tersebut menghina jata negara. Kean Wong kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Undang-undang yang digunakan tersebut bukan sahaja ketinggalan zaman, malah definisinya juga terlalu luas. Dengan ini, undang-undang tersebut boleh disalahgunakan oleh pihak pemerintah untuk menyekat kebebasan bersuara.

Kami di PSM amat kecewa bahawa Kerajaan MADANI memutuskan untuk menggunakan undang-undang tersebut SEKALI LAGI, untuk menyekat kebebasan bersuara di negara kita.

Kami juga ingin mengingatkan kepada Kerajaan MADANI, terutamanya PMX Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bahawa jangan jadi kacang lupakan kulit, kerana kelahiran gerakan Reformasi dan kejatuhan rejim BN-UMNO adalah dijayakan oleh rakyat yang mendukung kebebasan bersuara.

Akhirnya, PSM menyeru supaya:

1. Mansuhkan Akta Hasutan 1948 dengan segera, dan lakukan pembaharuan undang-undang dengan secepat mungkin, termasuk mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, untuk menjamin kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

2. Hentikan segala intimidasi terhadap penerbit dan pengarang buku.

==========

Chong Yee Shan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Biro Komunikasi PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *