KOTA DAMANSARA, SELANGOR – 3 OGOS 2023: Sivarajan Arumugam, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kerusi DUN N39 Kota Damansara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Selangor, mengisytihar harta pada hari ini. Sivarajan menyatakan bahawa jumlah nilai aset bersih yang dimilikinya sehingga 24 Julai 2023 adalah kira-kira RM465,337. Pengisytiharan harta Sivarajan merangkumi senarai aset, hutang, pendapatan dan perbelanjaan.

Sivarajan bekerja sepenuh masa sebagai Setiausaha Agung PSM pada masa ini. Sivarajan mengatakan bahawa pengisytiharan harta adalah penting bagi penduduk Kota Damansara untuk mengikuti perkembangan kehidupan dan harta seorang calon jika dia berjaya dipilih sebagai ADUN.

“PSM ingin memulakan satu budaya politik Baharu, di mana ahli politik yang dipilih sebagai wakil rakyat dapat dipantau oleh rakyat sama ada dia menggunakan posisi politiknya untuk mengaut keuntungan,” ulas Sivarajan. “Ini juga merupakan amalan yang penting dalam mewujudkan proses politik yang bebas daripada rasuah.”

Kandungan surat akuan pengisytiharan harta Sivarajan boleh dibaca atau dimuat turun di sini:

Sivarajan pernah mengisytihar hartanya sebelum ini, semasa beliau bertanding sebagai calon untuk kerusi DUN Kota Damansara yang sama dalam PRU-14 pada tahun 2018, dan juga melakukannya setiap tahun semasa beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam pada tahun 2008-2013. Dr. Nasir Hashim, mantan Pengerusi Nasional PSM yang pernah dipilih sebagai ADUN Kota Damansara pada tahun 2008-2013, juga mengisytihar hartanya setiap tahun semasa beliau memegang jawatan tersebut.

Turut hadir bersama semasa pengisytiharan harta Sivarajan ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM yang juga merupakan mantan Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput. Amalan pengisytiharan harta oleh calon PSM dalam pilihan raya telah dimulakan sejak Dr. Jeyakumar bertanding di kawasan Parlimen Sungai Siput dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999. Dr. Jeyakumar ialah ahli politik pertama yang mengisytihar harta dalam sejarah pilihan raya negara kita.

“Salah satu masalah utama yang dihadapi dalam banyak negara demokratik adalah pemimpin politik bercakap tentang isu rakyat semasa mereka berkempen dalam pilihan raya, tetapi selepas mereka menang dipilih untuk memegang jawatan, mereka dipengaruhi oleh kaum korporat. Ada yang terus dibeli dan makan rasuah, dan ada yang walaupun belum dibeli tetapi masih dipengaruhi,” kata Dr. Jeyakumar. “Adalah penting untuk sebuah parti politik mewujudkan langkah-langkah untuk mengelakkan perkara yang sebegini berlaku pada pemimpin-pemimpinnya jika mereka menang. Salah satu pendekatan yang diamalkan oleh PSM untuk menyediakan calon yang beramanah dan boleh dipercayai dalam terus memperjuangkan isu-isu rakyat selepas menang, adalah semua calon PSM harus mengisytihar harta. Dan sekiranya menang dan selagi memegang jawatan, wakil rakyat PSM harus mengisytihar harta.”

“Ideologi itu penting untuk memastikan calon kita menjadi seorang pemimpin yang beramanah, berkhidmat untuk rakyat dan terus berjuang bersama rakyat,” tambah Dr. Jeyakumar.

Kesemua 4 orang calon PSM dalam PRN 2023 di Selangor telah mengisytihar harta mereka, menjadikan PSM satu-satunya parti politik yang mana semua calonnya mengisytihar dalam PRN 2023. Selain Sivarajan, Dr. Darren Ong yang bertanding di N55 Dengkil, Sivaranjani yang bertanding di N42 Meru dan Arutchelvan yang bertanding di N25 Kajang, masing-masing mengisytihar harta mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *