KAPAR, SELANGOR – 3 OGOS 2023: Sivaranjani Manickam, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kerusi DUN N42 Meru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Selangor, melancarkan Manifesto PSM untuk kawasan DUN Meru pada hari ini dalam satu sidang media. Manifesto yang dibawa oleh Sivaranjani ini berhasrat untuk mencipta sebuah masyarakat makmur yang seiring dengan pembangunan lestari dan alam sekitar yang bersih, dengan memberi tumpuan kepada usaha pemberdayaan suara rakyat biasa dan menangani jurang sosioekonomi dalam komuniti.

Dalam Manifesto PSM untuk kawasan Meru, Sivaranjani mengemukakan wawasan yang mana penduduk-penduduk kawasan DUN Meru boleh menikmati kehidupan makmur dalam keadaan pembangunan lestari dan alam sekitar bersih yang terpelihara. Demi merealisasikan wawasan ini, PSM dan Sivaranjani bertekad untuk memastikan semua penduduk kawasan DUN Meru, terutamanya golongan marhaen, dapat bersuara dan suara mereka mengenai segala hal tempatan dapat didengari oleh pihak berkuasa.

“PSM berusaha untuk mengambil pendekatan yang inklusif dan menekankan penyertaan komuniti supaya perspektif dan keperluan komuniti yang berkepelbagaian itu dapat didengari, diberi perhatian dan diintegrasi ke dalam proses membuat keputusan,” kata Sivaranjani semasa melancarkan Manifesto PSM untuk kawasan DUN Meru. “Manifesto kami dilakarkan dengan berdasarkan empat tumpuan utama yang menangani aspek-aspek penting pembangunan di kawasan DUN Meru, iaitu infrastruktur, perumahan, alam sekitar dan demokrasi tempatan.”

4 tumpuan utama Manifesto PSM untuk kawasan DUN Meru ialah:

1. Infrastruktur yang meningkatkan mutu kehidupan

Kawasan DUN Meru menghadapi masalah sistem perparitan yang tidak sempurna dan kerosakan jalan. Sistem perparitan yang sedia ada dibina sebelum pembangunan taman perumahan yang wujud pada masa kini tidak lagi sesuai untuk menampung jumlah air hujan yang besar. Kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir termasuk Meru Impian, sepanjang Jalan Kopi, Taman Meru Damai, Pekan Kapar, Kampung Nenas, Kampung Perepat, Taman Meru Indah, Kampung Budiman dan banyak lagi. Banjir berulang dengan lebih kerap lagi pada masa sekarang.

Sekiranya diberi mandat untuk mewakil kawasan DUN Meru, PSM akan membawa isu ini ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menuntut peruntukan bagi memperbaiki sistem perparitan di kawasan DUN Meru. PSM akan mencadang kepada DUN Selangor supaya menggubal undang-undang yang mewajibkan setiap projek pembangunan untuk menyediakan ruang hijau yang mencukupi untuk menampung air hujan lebat sebagai satu langkah penyesuaian dan penyelesaian terhadap krisis iklim. PSM juga akan bersama wakil-wakil penduduk untuk mengadakan mesyuarat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) demi mencari penyelesaian bagi isu ini.

PSM juga mendapati bahawa sistem pungutan sampah di kawasan DUN Meru tidak konsisten dan jadual pengutipan sampah adalah tidak tetap. Akibatnya, terdapat bau busuk yang mengganggu penduduk setempat ketika hujan, dan anjing jalanan menyebabkan sampah berselerak di kawasan perumahan atau jalan raya. Tambahan pula, semasa hujan lebat, sampah-sampah ini sering terhanyut masuk ke dalam longkang, menyebabkan sumbatan dan masalah lain dalam sistem perparitan.

PSM akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dan memastikan sistem pengurusan sampah yang lebih baik untuk penduduk di kawasan DUN Meru. Bagi tujuan ini, PSM akan bekerjasama dengan wakil-wakil penduduk di dalam kawasan ini dan mengaturkan satu perjumpaan dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk mencari penyelesaian yang berkesan dan menetapkan jadual pengutipan sampah yang lebih teratur.

2. Rumah Mampu Milik

Isu perumahan harus diberi perhatian serius di kawasan DUN Meru kerana jumlah penduduk semakin meningkat. Kebanyakan penduduk di kawasan DUN Meru terpaksa menetap di dalam rumah sewa kerana tidak mampu membeli rumah sendiri, dan akibatnya, mereka menghadapi beban hidup akibat kos sewa rumah yang tinggi. Kawasan sekitar Kapar dan Klang juga tiadanya Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dapat mengurangkan beban rakyat dengan menyediakan perumahan Kerajaan dengan harga sewa yang murah untuk membantu golongan B40.

Sekiranya dipilih untuk mewakili kawasan DUN Meru, PSM akan menyuarakan isu ini dalam DUN Selangor supaya perumahan PPR dapat dibina di kawasan DUN Meru sebagaimana yang telah berjaya dilakukan di kawasan lain seperti Subang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Dengan usaha ini, PSM berharap dapat membantu dalam meringankan beban masyarakat dan memberikan peluang kepada golongan B40 untuk memiliki rumah sendiri.

3. Isu alam sekitar

Pembukaan tapak perindustrian berat (kawasan tanah seluas 1,100 ekar) berdekatan dengan kawasan perumahan Taman Kapar Permai, Taman Damai, dan Taman Seri Kerayong merisaukan penduduk tempatan. Kekhuatiran penduduk terhadap pencemaran udara, bunyi bising dan juga banjir kilat tidak dipandang serius oleh pihak berkuasa.  Juga terdapat isu longgokan sisa elektronik dan plastik haram di beberapa kawasan di dalam Mukim Kapar yang mewujudkan masalah kesihatan kepada penduduk di sekitarnya. 

Sekiranya dipilih ke dalam DUN Selangor, PSM akan mencadang kepada DUN untuk menggubal [JC1] undang-undang supaya jarak zon penampan antara kawasan perindustrian dan kawasan perumahan ditingkatkan. PSM juga akan mencadangkan kepada DUN untuk menggubal undang-undang supaya pemilik tanah atau premis akan dikenakan hukuman penjara dan hukuman denda kalau tempat berkenaan digunakan untuk menyimpan atau membakar sisa elektronik dan plastik haram.

4. Demokrasi tulen

PSM percaya bahawa pilihan raya kerajaan tempatan adalah penting untuk memastikan kebertanggungjawaban pihak berkuasa kerajaan, membanteras rasuah dan mengukuhkan sistem demokrasi negara kita.

PSM dan Sivaranjani bersedia untuk bekerjasama dengan badan bukan Kerajaan (NGO), wakil rakyat lain yang dipilih dan komuniti untuk terus berjuang demii memulihkan pilihan raya tempatan.  

“Pilihan raya tempatan adalah penting kerana ia dapat mengurangkan pemusatan kuasa dan memastikan perkhidmatan kepada masyarakat akar umbi dapat disampaikan secara berkesan supaya orang ramai mempunyai kepercayaan terhadap pihak berkuasa tempatan,” kata Sivaranjani. “Kerajaan tempatan juga lebih mudah dipertanggungjawabkan atas tindakannya jika rakyat mempunyai hak untuk memilih wakil mereka dalam majlis tempatan.”

“PSM sedia berdiri bersama penduduk kawasan DUN Meru, dan kami berjanji untuk memperjuangkan aspirasi rakyat marhaen,” tegas kata Sivaranjani.

Sivaranjani menyeru kepada penduduk-penduduk di kawasan DUN Meru untuk merealisasikan aspirasi yang dinyatakan dalam Manifesto PSM untuk kawasan DUN Meru secara bekerjasama menuju sebuah masa hadapan yang makmur dan lestari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *