DENGKIL, SELANGOR – 2 OGOS 2023: Dr. Darren Ong, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan DUN N55 Dengkil, melancarkan manifesto pilihan raya PSM untuk kawasan DUN Dengkil dalam satu sidang media yang diadakan pada hari ini.

Turut hadir bersama dalam sidang media media pelancaran Manifesto PSM untuk kawasan DUN Dengkil ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM.

“Manifesto yang dilancarkan ini bukannya sesuatu baharu yang dicipta oleh kerana pilihan raya. Memang PSM sudah memperjuangkan isu-isu ini untuk banyak tahun,” kata Dr. Jeyakumar. “Untuk Pilihan Raya Negeri Selangor, PSM memfokus pada tiga isu utama, iaitu alam sekitar, perumahan untuk rakyat dan demokrasi tempatan.”

“Berkenaan dengan alam sekitar, isu-isu yang penting adalah berkaitan dengan perhutanan, di mana sekarang di banyak negeri, bukan sahaja Selangor, hutan kita telah dihancur untuk dibuat ladang hutan, projek pembalakan dan sebagainya. Kami membantah perkara sebegini. Jika dipilih, ADUN PSM akan membawa isu-isu ini ke dalam Dewan Undangan Negeri,” ulas Dr. Jeyakumar. “Berkenaan dengan perumahan, kami menggesa lebih banyak rumah PPR (Program Perumahan Rakyat) di setiap Daerah, penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah diambil alih oleh majlis tempatan dan sebagainya. Berkenaan dengan demokrasi tempatan, kami menuntut pemulihan pilihan raya tempatan di mana setiap majlis tempatan harus diadakan pilihan raya supaya ahli majlis akan lebih responsif dan peka pada rakyat setempat.”

Manifesto Tempatan PSM Dengkil menggariskan perkara-perkara berikut:

Rumah mampu milik untuk semua

Walaupun terdapat banyak projek perumahan di kawasan Dengkil dan Cyberjaya, harga unit adalah sangat tinggi jauh di luar kemampuan kebanyakan penduduk tempatan. Rumah “mampu milik” yang berharga RM200,000-300,000 sekarang ini terlalu mahal untuk golongan B40 dan M40.

PSM Dengkil menggesa supaya mengembalikan dasar kerajaan yang menetapkan bahawa 30% daripada apa-apa projek perumahan baharu haruslah rumah mampu milik dengan harga jualan RM42,000.

Dasar perumahan negeri harus memihak kepada penduduk tempatan, bukannya pelabur asing. Kerajaan harus lebihkan rumah mampu milik bagi rakyat marhaen.

PSM Dengkil menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan Dengkil bagi golongan B40 dan keutamaan diberi kepada penduduk Dengkil yang sedang menyewa rumah di Dengkil untuk membeli rumah mampu milik di Dengkil.

Pengangkutan awam

Kekerapan Bas Smart Selangor sangat jarang. Perkhidmatan bas awam susah untuk diguna oleh penduduk tempatan. Kawasan yang penting seperti pusat bandar Dengkil langsung tiadanya bas langsung.

PSM Dengkil mengusulkan pengwujudan perkhidmatan bas di kawasan Dengkil, terutamanya laluan dari Dengkil ke Putrajaya, Cyberjaya, Serdang dan Kajang untuk memudahkan perjalanan penduduk Dengkil. Kekerapan perkhidmatan bas juga harus ditingkatkan dan lebih banyak bas perlu dibeli.

Selesaikan masalah banjir di kawasan Dengkil

Banjir sangat kerap berlaku di kawasan Dengkil, terutamanya berdekatan dengan sungai, seperti Sungai Langat. Pembangunan yang tidak terkawal dan tidak bersama pembaikan sistem saliran telah menyekat pengaliran air.

Kerajaan Negeri Selangor harus lebih ketat dalam meneliti projek pembangunan dan jangan terlalu longgar terhadap Syarikat pemaju. Syarat untuk kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) harus diperketatkan.

PSM menggesa supaya mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah banjir di kawasan Dengkil seperti mendalamkan dan membesarkan sungai dan kolam yang berhampiran dengan kawasan yang selalu berlaku banjir. PSM juga menggesa Kerajaan Negeri untuk mengkaji semula projek-projek pembangunan yang berhampiran dengan kawasan banjir.

Perbaiki dan naik taraf infrastruktur di Dengkil

Lampu jalan raya di kawasan Dengkil selalu rosak! Kerosakan lampu sering berlaku di jalan yang penting seperti Jalan Besar Dengkil, jalan pintasan Dengkil menuju Puchong dan sebagainya. PSM Dengkil menggesa supaya lampu jalan harus lebih kerap diselenggara. Sistem lampu jalan harus adanya lindungan daripada petir.

Bekalan air selalu dipotong, di mana antara sebabnya adalah pencemaran air di kawasan sumber air. PSM Dengkil berpendirian bahawa Kerajaan Negeri Selangor harus proaktif dalam mengelakkan pencemaran air di kawasan sumber air, dengan memperketatkan kawalan ke atas kilang-kilang yang berdekatan  dengan sumber air.

Menaik taraf Klinik Kesihatan Dengkil

Klinik kesihatan yang sedia ada terlalu sesak, dan perkhidmatan tidak mencukupi untuk penduduk tempatan! Lokasi Klinik Kesihatan Dengkil juga amat menyukarkan penduduk setempat, kerana ia terletak di atas bukit, jalan menujunya adalah sempit dan tiadanya hubungan pengangkutan awam.

PSM Dengkil menggesa supaya memindahkan Klinik Kesihatan ke lokasi baharu yang mudah dikunjungi oleh orang ramai dan menaik taraf Klinik Kesihatan Dengkil dengan lebih banyak fasiliti dan ruang. Perkhidmatan pengangkutan awam harus disediakan khas untuk membawa pesakit ke Klinik Kesihatan Dengkil.

Selesaikan masalah tanah bagi penternak

Haiwan ternakan selalu berkeliaran di kawasan Dengkil sehingga memasuki jalan raya dan menyebabkan kemalangan terutamanya di Jalan Jenderam. Masalah ini berlaku kerana penternak-penternak tiada tempat untuk ternakan mereka, walaupun dikatakan 75 ekar tanah diperuntukkan sebagai tanah kosong untuk penternak di Selangor. PSM Dengkil berpendirian bahawa dasar Kerajaan harus diteliti semula untuk memastikan penternak-penternak kecil mempunyai kawasan tanah lapang yang secukupnya bagi ternakan mereka. PSM Dengkil menggesa Kerajaan Negeri dan Jabatan Veterinar supaya memperuntukkan tanah ternakan secara adil bagi penternak lembu dan haiwan yang sah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *