KAPAR, SELANGOR – 1 OGOS 2023: Sivarajani Manickam, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan DUN Meru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Selangor, mengisytihar hartanya pada hari ini, selari dengan dasar dan tradisi PSM di mana semua calon pilihan raya PSM akan mengisytihar harta dan terus berbuat demikian setiap tahun sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Amalan pengisytiharan harta oleh calon PSM dipelopori oleh Dr. Jeyakumar Devaraj yang merupakan Pengerusi Nasional PSM sekarang ini yang mengisytihar hartanya pada tahun 1999 semasa menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-10. Dr. Jeyakumar ialah ahli politik pertama yang mengisytihar harta dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

Pengisytiharan harta Sivaranjani telah dilakukan dalam satu sidang media khas dengan cara penyahkotakan (unboxing). Sivaranjani yang bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya, telah mengongsikan akuan berkanun yang menyenaraikan harta dan hutang yang dimilikinya. Anggaran jumlah nilai aset bersih yang dimiliki setakat 27 Julai 2023 adalah RM287,916.

Kandungan surat akuan pengisytiharan harta Sivaranjani boleh dibaca atau dimuat turun di sini:

Infografik pengisytiharan harta Sivaranjani.

Daripada harta yang disenaraikan, Sivaranjani memiliki sebuah pangsapuri mampu milik yang dibeli pada tahun 2019 dengan harga RM150,000 melalui pinjaman daripada rakannya. Beliau mempunyai dua buah kereta, sebuah Axia dan sebuah Proton X 50, masing-masing dibeli pada tahun 2017 dan 2022, buat dirinya dan keluarga. Simpanan wang dalam bank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dipegang oleh Sivaranjani adalah kira-kira RM114,416. Hutang yang ditanggung oleh Sivaranjani pula berjumlah sebanyak RM81,000.

“Adalah penting bagi calon pilihan raya untuk mengisytihar aset mereka untuk mengelakkan budaya pengumpulan harta melalui penglibatan dalam politik,” kata Sivaranjani semasa mengisytihar hartanya. “Setelah menang, ahli politik yang menjadi wakil rakyat mesti isytihar harta setiap tahun. Ini proses ketelusan, supaya orang ramai tahu, sebelum pilihan raya, calon ini ada harta sebanyak ini, dan setelah menang, hartanya tidak menunjukkan pertambahan yang drastik, seperti tiba-tiba dapat membili 10 buah rumah. Inilah sebabnya pengisytiharan aset merupakan tradisi PSM untuk politik terbaik.”

Soh Sook Hwa, Pengurus kempen bagi Sivaranjani, mencabar calon lain yang bertanding dalam PRN 2023 untuk mencontohi teladan calon PSM ini dengan turut mengisytihar harta.

Menurut Soh Sook Hwa, sebelum ini, dua orang pemimpin PSM yang berkhidmat sebagai Ahli Majlis dalam Pihak Berkuasa Tempatan, iaitu Sivarajan sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam dan S. Arutchelvan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang dari tahun 2008 hingga 2013, telah mengisytihar harta mereka setiap tahun semasa mereka memegang jawatan Ahli Majlis. Soh berkata, “Aspirasi pengisytiharan aset adalah untuk mencegah rasuah dan penyalahgunaan jawatan awam untuk kepentingan diri.”

“Politik bukan arena di mana seseorang itu mengambil kesempatan untuk mengumpul harta. Politik adalah berkenaan khidmat untuk rakyat,” kata Sivaranjani.

Mengulas tentang sesetengah ahli politik yang melihat segala perkara dengan kanta politik perkauman dan mempermainkan sentimen perkauman, Sivaranjani berkata, “Daripada pengalaman saya sendiri sebagai Koordinator Nasional Biro Pekerja PSM, kebanyakan kes yang saya terima dan kendali adalah daripada kaum Melayu. Golongan pekerja ini terdiri daripada semua kaum. Kami tidak tengok pada warna kulit atau kaum apabila kami berkhidmat. Kami di PSM ini berkhidmat untuk semua. Apabila seseorang ahli politik itu bertanding di mana-mana pun, dia harus mewakili semua kaum dan dia juga harus berkhidmat untuk semua orang tanpa mengira kaum. Jika dia bermentaliti perkauman, bagaimana dia boleh memberi perkhidmatan yang menyeluruh kepada semua masyarakat di situ? Rakyat perlu menilai ahli politik seperti ini dan mempersoalkan sama ada orang-orang seperti ini akan membawa aspirasi rakyat biasa.”

Sivaranjani yang bekerja sebagai Pengurus Capaian Komuniti di Asylum Access Malaysia berkata bahawa sesiapa yang bercita-cita menyertai dunia politik harus melakukannya dengan niat berkhidmat untuk rakyat, bukannya mengayakan diri sendiri.

Sivaranjani ialah Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan menjadi Ketua Biro Pekerja PSM sejak tahun 2013. Beliau juga merupakan antara pengasas PSM Cawangan Klang dan pernah menyandang jawatan Setiausaha Cawangan Klang. Beliau telah memainkan peranan penting dalam menubuhkan Unit PSM di Kapar dan Kuala Selangor. Seorang anak lahiran Klang, Selangor, Sivaranjani mendapat kelulusan dalam Pengurusan Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

One thought on “Sivaranjani isytihar harta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *