Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 26 Jun 2023 untuk mengemukakan cadangan mengenai usaha memperkasakan perlindungan sosial bagi golongan warga emas.

Memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini turut disokong oleh organisasi-organisasi seperti Aliran, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), ERA Consumer, Family Frontiers Malaysia, Gabungan Marhaen, Gabungan Peneroka Bandar, Health Equity Intiatives, Pemuda Sosialis, Saya Anak Bangsa Malaysia, Seniors Aloud dan Sisters in Islam.

Berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh PSM selepas perjumpaan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

==========

Bilangan rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas ialah 2.4 juta orang ataupun 7.3% daripada jumlah penduduk sekarang. Nisbah ini dijangka meningkat ke 11 % menjelang tahun 2030 dan 14.5% pada tahun 2040. Ramai orang warga emas di Malaysia sedang menghadapi pelbagai cabaran termasuk :

  1. Kewangan – ketiadaan punca pendapatan atau wang simpanan yang mencukupi untuk membiayai kos hidup selepas mereka mencapai umur 65 tahun.
  2. Kesihatan – kelewatan memperolehi rawatan di hospital kerajaan kerana kesesakan dan bilangan kes yang bertambah, kekurangan doktor pakar, kekurangan mesin skan CT dan MRI.
  3. Sokongan sosial – ketiadaan program sokongan seperti lawatan jururawat dan ahli fisioterapi ke rumah warga emas yang uzur ataupun lumpuh. Asrama atau rumah kebajikan warga emas kerajaan juga kurang.

Justeru, adalah amat penting kita untuk memperkukuhkan jaringan perlindungan sosial bagi warga emas. PSM mengalu-alukan hasrat kerajaan untuk memantapkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) seperti diumumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada bulan Mac 2023.

Demi memperkukuhkan pelan tersebut, PSM mengemukakan Kertas Polisi PSM yang bertajuk “Perlindungan Sosial untuk Warga Emas” kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kertas Polisi ini telah digubal berdasarkan kerja akar umbi PSM dan juga syor-syor pelbagai organisasi sivil yang menghadiri sesi meja bulat anjuran PSM pada 6 Mei 2023.  

Usaha memperkasakan jaringan keselamatan sosial bagi warga emas mungkin akan mengambil masa beberapa tahun untuk dimantapkan. Maka, kami mencadangkan supaya proses ini dimulakan tahun ini juga dengan melaksanakan program-program berikut;   

A. Skim pencen warga emas – syor kami ialah bayaran pencen RM500 sebulan untuk mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan tidak menerima sebarang pencen.

B. Meningkatkan secara berperingkat Belanjawan Kementerian Kesihatan dari 2.3% KDNK kepada 5% KDNK dalam jangka masa 5 tahun akan datang, agar lebih banyak kemudahan dapat disediakan kepada rakyat Malaysia termasuk warga emas.

C. Memantapkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) melalui dialog dengan kumpulan NGO dan rakyat umum.

PSM telah memohon kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membentangkan ketiga-tiga cadangan ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri supaya cadangan-cadangan tersebut dapat dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *