(Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh PSM Pulau Pinang dalam sidang akhbar khas pada 19 Mei 2023 untuk mengumumkan perancangan PSM Pulau Pinang mengenai Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang 2023.)

oleh Choo Chon Kai

Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan berlangsung tidak lama lagi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang melancarkan Pungutan Suara Rakyat untuk mendapatkan pandangan daripada para pengundi mengenai penglibatan PSM dalam PRN Pulau Pinang dan isu-isu yang harus diberi perhatian dalam PRN Pulau Pinang yang akan datang ini.

PSM sebagai sebuah parti politik progresif yang sentiasa membela nasib rakyat marhaen dan bertekad untuk membina kuasa rakyat dari bawah demi mempertahankan hak rakyat secara bersama, bersedia untuk menawarkan nafas baharu kepada politik negara Malaysia dan negeri Pulau Pinang, di samping terus berkhidmat untuk masyarakat dan memajukan perjuangan rakyat marhaen. Namun, PSM menyedari bahawa bukan mudah bagi sebuah parti politik kecil yang tidak menyertai mana-mana gabungan parti politik utama untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya. Oleh itu, PSM Pulau Pinang ingin mendapatkan maklum balas daripada para pengundi di Pulau Pinang mengenai sama ada PSM harus bertanding dalam PRN Pulau Pinang kali ini, melalui satu pungutan suara.

Pungutan Suara Rakyat mengenai PRN Pulau Pinang 2023 ini akan dijalankan secara dalam talian dan luar talian. Untuk kaedah luar talian, PSM Pulau Pinang akan pergi ke tempat awam untuk meminta pada orang awam supaya mengisi borang pungutan suara. Untuk kaedah dalam talian, mana-mana orang yang ingin memberi pandangan dan menyokong PSM bertanding dalam PRN Pulau Pinang, boleh mengisi borang dalam talian melalui pautan ini: https://bit.ly/3NR2eRP

Tempoh kempen Pungutan Suara Rakyat mengenai PRN Pulau Pinang ialah dari 19 Mei hingga 28 Jun 2023, iaitu selama 6 minggu.

Soalan yang dikemukakan dalam borang pungutan suara ini termasuklah sama ada menyokong PSM bertanding dalam PRN Pulau Pinang atau tidak, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana satu PSM patut bertanding dan isu-isu yang harus diberi perhatian dalam PRN Pulau Pinang akan datang ini.

PSM hanya akan meletakkan calon sekiranya jumlah sokongan pengundi di sesuatu kawasan DUN itu mencapai sasaran jumlah sokongan pengundi minimum yang ditetapkan oleh PSM Pulau Pinang sendiri.

PSM Pulau Pinang akan memberi fokus kepada 3 kawasan DUN di bawah Jelutong dengan sasaran jumlah sokongan pengundi minimum untuk meletakkan calon seperti yang berikut:

Kawasan DUNSasaran sokongan pengundi minimum
N29 Datok Keramat2800
N30 Sungai Pinang3400
N31 Batu Lanchang3300

Walaupun hanya senaraikan 3 kawasan DUN di sini, para pengundi juga boleh mencadangkan kawasan DUN yang lain di Pulau Pinang untuk PSM meletakkan calon pilihan raya.

Sasaran sokongan pengundi minimum yang disenaraikan ini ditentukan oleh PSM Pulau Pinang berdasarkan anggaran kasar lebih kurang 10% daripada jumlah pengundi di sesuatu kawasan DUN. PSM Pulau Pinang hanya akan bertanding di kawasan DUN berkenaan sekiranya mencapai angka sasaran sokongan pengundi minimum yang ditetapkan ini. PSM Pulau Pinang tidak akan bertanding sekiranya angka sasaran sokongan pengundi minimum yang ditetapkan untuk sesuatu kawasan DUN ini tidak tercapai.

Menjelang PRN Pulau Pinang yang akan datang ini, sama ada bertanding atau tidak, bergantung pada dapatan Pungutan Suara Rakyat mengenai PRN Pulau Pinang 2023, PSM Pulau Pinang tetap ingin mengetengahkan beberapa tuntutan penting untuk perhatian mana-mana pihak yang bakal membentuk kerajaan di negeri Pulau Pinang. Tuntutan-tuntutan PSM Pulau Pinang termasuk:

  • Kembalikan pilihan raya tempatan untuk membolehkan semua penduduk di Pulau Pinang dapat memilih Datuk Bandar dan Ahli Majlis di kawasan mereka secara demokratik.
  • Bangunkan dasar yang menjamin rumah mampu diduduki yang selesa untuk semua rakyat, dan rumah tidak harus dijadikan komoditi untuk pemaju hartanah mengaut keuntungan.
  • Wujudkan sistem pengangkutan awam berasaskan rangkaian bas yang efisien, meluas dan mudah diakses, di mana pendekatan ini adalah lebih murah dan cepat dilaksanakan.
  • Bantah projek pembangunan yang merosakkan alam sekitar dan menjejaskan kesihatan serta keselamatan rakyat biasa. Rakyat perlukan pembangunan yang mampan dan adil.

PSM Pulau Pinang juga akan menjalankan kempen menuntut Skim Pencen Warga Emas Sejagat secara serentak dengan Pungutan Suara Rakyat mengenai PRN Pulau Pinang 2023. Kempen Skim Pencen Warga Emas Sejagat telah dilancarkan baru-baru ini oleh PSM, untuk menggesa pada kerajaan supaya melaksanakan segera pencen RM500 sebulan kepada semua penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai apa-apa pencen kerajaan atau pencen swasta. Pencen warga emas sejagat merupakan salah satu komponen penting dalam jaringan perlindungan sosial yang amat diperlukan pada masa ini, kerana negara Malaysia sedang menuju ke masyarakat penuaan dan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan hari tua yang mencukupi untuk menjalani kehidupan mereka. Pencen warga emas sejagat akan membolehkan semua warga emas di negara kita menjalani kehidupan usia tua mereka secara bermaruah. Anda boleh memberi sokongan kepada kempen menuntut pelaksanaan skim Pencen Warga Emas Sejagat ini di pautan ini: https://chng.it/wss4Jj7HhK

Selain itu, PSM Pulau Pinang juga mengalu-alukan sokongan orang ramai yang hendak memberikan sumbangkan ikhlas untuk menyokong usaha membina alternatif baharu yang progresif. Sumbangan ikhlas kepada dana kempen PSM Pulau Pinang boleh disalurkan kepada akaun bank berikut:

Bank                :           Hong Leong Bank

Nama Akaun   :           Parti Sosialis Malaysia (Baru) Cawangan Bayan Baru

No. Akaun       :           17800019335

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Jurucakap PSM Pulau Pinang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *