PUTRAJAYA – 25 MEI 2023: Gabungan Flat Kos Rendah Marhaen menggesa kerajaan supaya menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-15 dengan mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah.

Gabungan Flat Kos Rendah Marhaen, salah sebuah gabungan masyarakat di bawah Gabungan Marhaen, menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada hari ini untuk mengemukakan beberapa tuntutan yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk rumah pangsa kos rendah.

Lebih 20 orang wakil dari kawasan rumah pangsa kos rendah yang berlainan hadir semasa penyerahan memorandum. Turut hadir ialah Madhavi Madhu selaku Penyelaras Gabungan Flat Kos Rendah Marhaen dan S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Memorandum daripada Gabungan Flat Kos Rendah Marhaen diterima oleh Amir Onn Bin Mustapha selaku Setiausaha Bahagian Perancangan Perumahan KPKT dan Chiong Yoke Kong selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.

6 tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Flat Kos Rendah Marhaen dalam memorandumnya yang ditujukan kepada Nga Kor Ming selaku Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan ialah:

  1. Melaksanakan janji yang diberikan dalam manifesto PRU-15 dengan mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah dengan segera. Memansuhkan kutipan bulanan penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah dan menggantikannya dengan bayaran cukai pintu sahaja seperti yang diamalkan untuk perumahan teres kos rendah.
  2. Kutipan untuk bayaran bil bagi penggunaan bersama lampu koridor di bangunan flat dan air yang digunakan secara bersama harus dibiayai oleh kerajaan sebagai bantuan kepada rakyat B40 atau dimasukkan ke dalam bil elektrik dan air secara purata dalam bil bulanan penduduk masing-masing untuk mengelakkan perkhidmatan asas ini daripada menghadapi gangguan.
  3. Mewujudkan peruntukan tahunan yang diberikan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) di rumah pangsa kos rendah, seperti yang diberikan kepada Rukun Tetangga, untuk membolehkan badan-badan ini mengadakan aktiviti sosial dan kebajikan untuk semua penghuni rumah pangsa demi mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih Bersatu pada. JMB juga harus lebih inklusif dan dibuka penyertaannya kepada semua penghuni rumah pangsa, termasuk mereka yang menyewa unit rumah, untuk membolehkan semua penghuni memainkan peranan dan menyumbang kepada pembangunan serta keharmonian di kawasan rumah pangsa.
  4. Setiap rumah pangsa kos rendah wajib mempunyai kawasan dewan serba guna atau bilik aktiviti untuk masyarakat setempat di mana dewan itu boleh diuruskan oleh JMB. Jika tiada kemudahan sebegini, maka kerajaan perlu membina kemudahan tersebut.
  5. Mewujudkan tempat perniagaan dan peluang perniagaan di kawasan rumah pangsa kos rendah secara teratur dan tersusun untuk membolehkan masyarakat di kawasan rumah pangsa kos rendah tersebut terlibat dalam aktiviti ekonomi mikro. Sewa boleh dibayar kepada JMB dan wang ini boleh digunakan untuk menyelenggarakan pejabat dan mengupah petugas sepenuh masa.
  6. Kadar bayaran untuk insurans tahunan dan audit tahunan adalah terlalu tinggi, dan pihak JMB tidak mampu membiayainya. Oleh itu, adalah dicadangkan bahawa proses pengauditan dilakukan melalui satu syarikat audit yang dilantik oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB) dengan bayaran yuran yang terendah. Syarikat insurans juga diletakkan di bawah pengawasan COB agar perkhidmatan mereka adalah baik dengan bayaran yang munasabah.

Penduduk rumah pangsa kos rendah mahukan kualiti hidup yang lebih baik

Inisiatif untuk mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk rumah pangsa kos rendah telah dimulakan di kawasan Hulu Langat, Selangor, sejak tahun 2015, oleh Jaringan Pangsapuri Kos Rendah Hulu Langat. Satu memorandum pernah diserahkan kepada Menteri Besar Selangor pada 14 April 2017 untuk mengemukakan tuntutan-tuntutan tentang bagaimana mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk rumah pangsa kos rendah.

Jaringan Pangsapuri Kos Rendah Hulu Langat kemudiannya berkembang menjadi Gabungan Flat Kos Rendah MARHAEN (GFKR) pada tahun 2017 apabila wakil-wakil penduduk rumah pangsa dari kawasan dan negeri yang lain turut menyertai usaha ini. GFKR berazam untuk memperjuangkan hak perumahan penduduk flat kos rendah yang merupakan golongan B40. Penduduk-penduduk rumah pangsa kos rendah sering menghadapi pelbagai masalah di kawasan perumahan mereka, seperti isu penyelenggaraan dan sebagainya.

GFKR telah menganjurkan satu sesi dialog antara wakil-wakil rumah pangsa dan pihak KPKT pada 13 Oktober 2019, di mana GKFR telah menyerahkan satu senarai tuntutan kepada perhatian wakil KPKT. GFKR mengalu-alukan Manifesto Pakatan Harapan untuk PRU-15 yang menjanjikan pengambilalihan penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah. Manifesto Pakatan Harapan untuk PRU-15 menulis, “Bagi memastikan setiap rumah kekal menjadi syurga kepada pemiliknya, kami akan mengambil alih penyelenggaraan bagi membantu mewujudkan persekitaran kediaman yang berkualiti dan selamat.”

Oleh yang demikian, GFKR menyeru kepada kerajaan sekarang untuk mengemukakan rancangan dan mekanisme untuk melaksanakan janji pilihan raya ini, supaya memberi penyelesaian jangka panjang kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat B40 yang tinggal di rumah pangsa kos rendah, serta “memastikan setiap rumah kekal menjadi syurga kepada pemiliknya” seperti yang dijanjikan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *