Pilihan Raya Umum di negara Turki yang menyaksikan pertarungan yang sengit dan penuh kepincangan, termasuk penangkapan besar-besaran terhadap pengkritik-pengkritik rejim Erdoğan, telah menghasilkan keputusan di mana gabungan politik berhaluan kanan “Perikatan Rakyat” (CUMHUR) yang diterajui oleh Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di bawah kepimpinan Recep Tayyip Erdoğan telah menguasai lebih daripada separuh kerusi dalam Parlimen, sementara Erdoğan terpaksa menghadapi pengundian pusingan kedua untuk Pilihan Raya Presiden selepas undian yang diperolehnya tidak melepasi ambang lebih 50% walaupun hanya kekurangan 0.5 titik peratusan. Pengundian pusingan kedua untuk pertandingan jawatan Presiden Turki akan diadakan pada 28 Mei 2023, dengan Recep Tayyip Erdoğan akan berdepan satu lawan satu dengan Kemal Kılıçdaroğlu daripada Parti Rakyat Republik (CHP).

Pilihan Raya Umum Turki diadakan pada 14 Mei 2023, untuk memilih Presiden Turki dan 600 orang wakil dalam Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki (iaitu Parlimen Turki). Lebih 54 juta orang pengundi telah keluar mengundi, dengan peratusan keluar mengundi mencecah 86.98%. Ini merupakan kali ketiga pemilihan langsung diadakan untuk jawatan Presiden Turki, dan kali pertama pengundian pusingan kedua diadakan selepas tiadanya calon yang mendapat lebih daripada 50% undian. Erdoğan menang dalam dua Pilihan Raya Presiden sebelum ini, di mana dia menang pada tahun 2014 semasa dia masih memegang jawatan Perdana Menteri dan menang lagi pada tahun 2018 selepas Referendum Perlembagaan yang diadakan pada tahun 2017 menggantikan sistem kerajaan berparlimen kepada sistem kepresidenan eksekutif (iaitu Presiden sebagai ketua kerajaan, berbeza dengan sistem berparlimen di mana Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan).

Recep Tayyip Erdoğan yang berkuasa sejak tahun 2003 (sebagai Perdana Menteri pada masa itu dan kemudiannya sebagai Presiden sejak tahun 2014) hampir menang dalam pengudian pusingan pertama apabila meraih 49.5% undian dalam pertandingan untuk jawatan Presiden, sementara pesaing terdekatnya Kemal Kılıçdaroğlu memperoleh 44.9% undian. Terdapat dua orang lain calon dalam Pilihan Raya Presiden Turki kali ini, iaitu Sinan Oğan yang merupakan calon daripada gabungan parti pelampau kanan dan Muharrem İnce daripada Parti Tanah Air yang merupakan serpihan parti CHP, di mana mereka masing-masing memperoleh 5.2% dan 0.4% undian.

Pesaing utama kepada Erdoğan, Kemal Kılıçdaroğlu, bertanding sebagai calon gabungan politik “Perikatan Bangsa” (MİLLET), yang terdiri daripada Parti Rakyat Republik (CHP), Parti Baik (İYİ), Parti Demokrat (DP), Parti Kebahagiaan (SAADET), Parti Demokrasi dan Kemajuan (DEVA) dan Parti Masa Depan (GP). Kılıçdaroğlu mendahului Erdoğan dalam tinjauan pendapat sebelum Pilihan Raya Presiden, tetapi gagal meraih 45% undian dan tidak dapat mengatasi Erdoğan semasa pilihan raya. Kılıçdaroğlu bertanding atas agenda “perubahan” untuk menamatkan pemerintahan Erdoğan yang sudah lebih 20 tahun dan memulihkan sistem kerajaan berpalimen. Adalah amat sukar atau hampir mustahil untuk Kılıçdaroğlu menewaskan Erdoğan dalam pengundian pusingan kedua, kerana Erdoğan hanya kurang 0.5% untuk menang dalam pusingan pertama dan undian lebih 5% kepada calon pelampau kanan dalam pusingan pertama mungkin akan beralih kepada Erdoğan dalam pengundian pusingan kedua. Walau bagaimanapun, keputusan muktamad hanya diketahui apabila undi dibuang dan dikira.

Dalam Pilihan Raya Parlimen untuk memilih 600 kerusi dalam Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang merupakan parti terbesar dalam Parlimen dan tidak pernah kalah dalam pilihan raya sejak tahun 2002, telah memenangi 268 kerusi dengan meraih 35.61% undian. Undian yang diperoleh AKP merosot sebanyak 6.95 titik peratusan berbanding Pilihan Raya Parlimen pada tahun 2018. Ini merupakan peratusan undi yang kedua terendah dalam sejarah pilihan raya AKP (hanya lebih tinggi berbanding 34.28% pada tahun 2002).

Parti Rakyat Republik (CHP) memenangi 169 kerusi dengan meraih 25.33% undian, terus menjadi parti kedua terbesar dan pembangkang utama dalam Parlimen Turki. Parti Gerakan Nasional (MHP), sekutu utama AKP dalam gabungan parti berhaluan kanan “Perikatan Rakyat”, memenangi 50 kerusi dengan 10.07% undian. Parti Baik (İYİ), yang bergabung dalam “Perikatan Bangsa” yang diterajui CHP, memenangi 43 kerusi dengan meraih 9.68% undian.

Parti berhaluan kiri mampu bertahan walaupun ditindas hebat

Walaupun rejim pemerintahan AKP pimpinan Erdoğan menggunakan kuasa negara dan sistem kehakiman untuk menindas golongan pembangkang berhaluan kiri, Parti Kiri Hijau (Yeşil Sol Parti, singkatan YSP) berjaya mengekalkan posisi strategik golongan pembangkang berhaluan kiri dengan menjadi parti ketiga besar dalam parlimen. YSP memenangi 61 kerusi dengan meraih 8.82% undian.

Parti Demokratik Rakyat (HDP) yang sedang menghadapi ancaman dibubarkan oleh pihak berkuasa Turki telah menyertai Pilihan Raya Parlimen kali ini dengan bertanding di bawah senarai parti YSP. HDP juga tidak meletakkan calon untuk Presiden, sekali gus meningkatkan peluang Kılıçdaroğlu daripada CHP untuk menewaskan Erdoğan. HDP/YSP menang kerusi di 23 buah bandar, dan 31 orang ahli parlimen yang dipilih daripada HDP/YSP ialah wanita.

Parti Pekerja Turki (TİP), sebuah parti komunis yang merupakan sekutu kepada HDP dan YSP dalam gabungan parti politik berhaluan kiri “Perikatan Buruh dan Kebebasan”, memenangi 4 kerusi dengan meraih 1.73% undian. Parti-parti berhaluan kiri lain yang tidak memenangi kerusi ialah Parti Kiri (SOL Parti) yang meraih 0.14% undian, Parti Komunis Turki (TKP) yang memperoleh 0.12% undian, Parti Pembebasan Rakyat (HKP) yang mendapat 0.06% undian dan Gerakan Komunis Turki (TKH) yang memperoleh 0.03%.

HDP mengakui bahawa undi yang diperolehnya dengan bertanding di bawah panji YSP telah berkurangan, dan perkara ini memerlukan penilaian yang lebih mendalam untuk mengenal pasti kelemahannya.

HDP telah menghadapi penindasan secara sistematik dan berterusan oleh rejim pemerintahan Erdoğan, termasuk sedang menghadapi ancaman dibubarkan oleh sistem kehakiman yang dipergunakan oleh golongan berkuasa untuk menghancurkan pembangkang demokratik yang berhaluan kiri. Aktivis-aktivis HDP dan YSP menghadapi penangkapan besar-besaran sebelum pilihan raya umum kali ini.

Jika dalam keadaan politik yang bebas dan adil, HDP semestinya dapat bertanding tanpa perlu menggunakan panji parti politik lain dan disokong oleh lebih 4,000 orang aktivis, pemimpin parti, wakil rakyat, datuk bandar dan ahli parti yang sekarang ini berada di dalam penjara pada masa ini. HDP juga dapat menyampaikan idea mereka tanpa sekatan dalam media di Turki sekiranya demokrasi yang sebenar wujud.

Çiğdem Kılıçgün Uçar, Jurucakap Bersama YSP, berkata dalam satu sidang akhbar pada 15 Mei 2023, “Kami menganggap adalah penting untuk mengekalkan kedudukan kami sebagai parti ketiga besar dalam parlimen selepas pilihan raya yang tidak adil pada masa yang kritikal. Dengan ini, kami akan meneruskan perjuangan kami. Kami akan memastikan bahawa politik demokratik menyediakan asas kepada penyelesaian untuk semua masalah.”

“Semasa kempen pilihan raya berlangsung, ratusan kawan-kawan kami ditahan dan dipenjarakan melalui operasi baharu setiap hari, mewujudkan keadaan di mana hak kita yang paling asas, hak untuk politik demokratik, telah terjejas,” ulas Çiğdem Kılıçgün Uçar. “Di banyak tempat, kerajaan menggalakkan serangan rasis ke atas aktiviti parti kami. Perikatan Rakyat menggunakan segala jenis sumber awam dan kuasa yang memberi kelebihan kepada mereka sepanjang tempoh pilihan raya. Tindakan keras kerajaan dan penipuan pilihan raya mempengaruhi imbangan dalam keputusan pilihan raya.”

“Pada masa yang sama, kami menyedari tentang tanggungjawab kami untuk mengambil serius mesej daripada pengundi-pengundi, dan melakukan kritikan dan kritikan diri dalam semua aspek, dan kami akan melakukan apa yang perlu. Kami akan menjalankan penilaian secara menyeluruh terhadap kekurangan dan kelemahan yang kami hadapi semasa kempen pilihan raya. Kami akan mengadakan perbincangan dengan penyokong kami dan akan mengambil langkah-langkah yang perlu,” kata Çiğdem Kılıçgün Uçar dengan penuh rendah diri terhadap keputusan pilihan raya yang dicapai oleh YSP. Lebih 4.8 juta orang pengundi telah mengundi untuk YSP, tetapi ia merupakan satu angka yang kurang berbanding hampir 5.9 juta undi yang diperoleh HDP pada tahun 2018.

Sepanjang sejarah satu abad kewujudannya, negara Turki moden pernah mengalami pelbagai jenis pemerintahan, dari Kemalisme nasionalis-sekular (yang masih dibawa oleh pembangkang aliran utama seperti CHP sekarang ini), ke Islamisme, rampasan kuasa, kediktatoran tentera, dan sekarang ini di bawah pemerintahan Erdoğan yang menjurus kepada autoritarian nasionalis. Satu-satunya corak pemerintahan yang belum dicubai di Turki ialah demokrasi yang konsisten. Parti berhaluan kiri seperti HDP yang berusaha untuk memperjuangkan demokrasi sejati, di samping gerakan pembebasan masyarakat Kurdi, telah menawarkan alternatif baharu yang bersifat pembebasan, saksama, perdamaian dan inklusif untuk seluruh rakyat Turki. Namun, alternatif politik ini sedang diancam dan disekat oleh rejim pemerintahan yang semakin autoritarian. Perjuangan untuk demokrasi di Turki masih belum selesai dan sudah pasti akan diteruskan…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *