Petani-petani kecil di kawasan Changkat Kinding, Hulu Kinta, Perak, yang sedang menghadapi ancaman pengusiran daripada syarikat pemaju swasta, telah menerima notis pengusiran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang hanya boleh digunakan untuk tanah kerajaan!

Pada 2 Mei 2023, notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara telah ditampal di hadapan kebun 4 orang petani di kawasan Changkat Kinding. Notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta tersebut mengarahkan mereka untuk mengosongkan tanah kebun mereka dalam tempoh 14 hari.

Mereka 4 orang ialah sebahagian daripada 38 orang petani kecil di Changkat Kinding yang sedang menghadapi ancaman pengusiran paksa oleh sebuah syarikat pemaju swasta kerana projek perumahan yang bakal dilaksanakan di atas tanah yang diusahakan mereka.

Petani-petani kecil di Changkat Kinding telah mengusahakan penanaman sayur untuk sekurang-kurangnya 3 generasi, sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Aktiviti pertanian di situ bukan sahaja merupakan sumber rezeki kepada petani-petani kecil yang mengusahakan tanah, tetapi juga menjadi sumber makanan segar yang penting untuk pasaran tempatan. Sebelum ini, beberapa orang petani di Changkat Kinding pernah memohon untuk mendapatkan lesen pendudukan sementara (TOL) daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, tetapi malangnya tidak berjaya.

Pada sekitar tahun 2007, tanah seluas 250 ekar di kawasan Changkat Kinding, termasuk tanah yang masih diusahakan oleh petani-petani kecil di situ, telah dilupuskan kepada syarikat pemaju Generasi Simbolik Sdn Bhd, sebuah anak syarikat LBS Bina Group Bhd. Syarikat Generasi Simbolik Sdn Bhd telah menggunakan pelbagai cara, sama ada memujuk atau mengugut, untuk memaksa petani-petani kecil yang masih bercucuk tanam di situ supaya mengosongkan tanah dan keluar dari situ. Terdapat sebahagian petani telah menerima tawaran pampasan RM9,000 seekar tanah daripada Generasi Simbolik dan berpindah keluar dari situ. Namun, 10 orang petani kecil tidak bersetuju dengannya.

Petani-petani kecil yang masih mengusahakan aktiviti pertanian di Changkat Kinding tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan melupuskan tanah yang sedang mengeluarkan hasil pertanian itu kepada satu projek perumahan. Petani-petani kecil ini berpandangan bahawa tanah tersebut harus dikekalkan sebagai kawasan pengeluaran sayur-sayuran untuk rakyat Malaysia.

(Gambar arkib) Petani-petani Changkat Kinding menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 28 Mac 2023 dengan tuntutan supaya menghentikan ancaman pengusiran terhadap mereka.

Petani-petani kecil yang masih mengusahakan pertanian sayur-sayuran di Changkat Kinding telah merayu kepada beberapa pihak berwajib, termasuk Saarani Mohamad selaku Menteri Besar Perak, Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen untuk kawasan Tambun di mana lokasi tanah pertanian Changkat Kinding ini berada, dan pihak pengurusan tinggi LBS Bina Group yang merupakan syarikat induk kepada Generasi Simbolik.

Petani-petani kecil yang diberikan Notis 425 ini telah membuat aduan polis pada 15 Mei 2023 kerana mendapati terdapat kemungkinan salah guna kuasa dalam mengeluarkan notis tersebut. Ini kerana notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara hanya boleh dikeluarkan untuk “pendudukan secara tidak sah” di atas tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan, sedangkan tanah yang sedang diusahakan petani kecil di Changkat Kinding ini dikatakan telah dilupuskan kepada sebuah syarikat pemaju swasta. Mana-mana pemilik tanah swasta hanya boleh mengusir mana-mana orang yang menduduki tanah miliknya melalui perintah mahkamah, bukannya Notis 425.

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga merupakan penasihat kepada kumpulan-kumpulan petani di Perak yang sedang menghadapi masalah pengusiran paksa, berkata bahawa tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta adalah melanggari peruntukan undang-undang. “Kuasa di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara adalah khas untuk tanah kerajaan dan agensi kerajaan. Generasi Simbolik dan syarikat induknya LBS Bina Group ialah syarikat swasta, bukannya agensi kerajaan,” kata Dr. Jeyakumar. “Adalah salah di sisi undang-undang untuk menggunakan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dalam tindakan mengusir 4 orang petani ini.”

Dr. Jeyakumar telah bersama-sama dengan petani-petani yang berkenaan menyerahkan surat peguam terhadap Notis 425 tersebut kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta. “Pihak petani akan merujuk perkara ini ke mahkamah sekiranya Pejabat Daerah dan Tanah Kinta gagal menarik balik Notis 425 yang dikeluarkan pada 2 Mei 2023,” ulas Dr. Jeyakumar. “Kami juga berharap bahawa pihak polis akan mengelak daripada membantu Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dalam satu tindakan yang melanggar undang-undang negara kita!”

“Memandangkan lebih daripada 50% makanan di negara kita sedang diimport pada masa ini, adalah amat penting untuk kawasan-kawasan pertanian yang mengeluarkan makanan, seperti di Changkat Kinding ini, dikekalkan dan dilindungi,” tambah Dr. Jeyakumar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *