KUALA LUMPUR – 1 MEI 2023: Kira-kira 800 orang turun berprotes di jalanan ibu negara pada hari ini untuk menyambut Hari Pekerja Sedunia dengan seruan kepada kerajaan supaya memastikan semua pekerja dibayar gaji yang bermaruah dan pengeluar-pengeluar makanan harus dilindungi demi keterjaminan makanan untuk semua rakyat.
Aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia di Kuala Lumpur ini dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei yang terdiri daripada pelbagai organisasi masyarakat yang prihatin pada isu rakyat marhaen. Ini merupakan aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia ke-29 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei ini sejak tahun 1994. Jaringan organisasi masyarakat yang terlibat dalam penganjuran aksi Hari Pekerja pada tahun 1994 kemudiannya telah menjadi perintis kepada penubuhan Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada 25 tahun dahulu.
Tema sambutan Hari Pekerja anjuran Jawatankuasa 1 Mei pada tahun ini ialah “Gaji Bermaruah, Jaminan Makanan”. Tema ini dipilih kerana gaji yang diterima oleh golongan pekerja di negara kita adalah tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Gaji minimum pada kadar RM1,500 masih tidak mencukupi untuk seorang pekerja dan keluarganya menjalani kehidupan yang selesa, lebih-lebih lagi masih adanya pekerja masih belum menerima gaji minimum RM1,500. Selain itu, wujudnya ancaman pengusiran terhadap petani-petani kecil sedangkan negara kita masih belum mencapai tahap sara diri yang mampan dari segi pembekalan makanan dan terdedah kepada krisis makanan.
Peserta-peserta aksi Hari Pekerja berhimpun di hadapan Maju Junction pada sekitar pukul 10 pagi dengan membawa pelbagai sepanduk dan plakad yang tertulis tuntutan-tuntutan warga pekerja. Peserta-peserta aksi Hari Pekerja kemudiannya berarak dengan laungan slogan dan nyanyian lagu perjuangan yang penuh bersemangat. Perarakan berakhir di tebing Sungai Klang berdekatan Medan Pasar, di mana wakil daripada pelbagai sektor masyarakat memberikan ucapan mereka untuk mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat marhaen daripada pelbagai latar belakang. Wakil daripada pekerja ladang, pekerja gig, pekerja kontrak, pekerja migran, petani kecil, penternak kecil, pesawah, pemandu lori, peneroka bandar, penduduk rumah pangsa, anak muda, pelajar university, kumpulan wanita, kumpulan alam sekitar dan sebagainya telah menyampaikan ucapan.
Acara kemuncak sambutan Hari Pekerja ialah pembacaan Deklarasi 1 Mei 2023 yang menyenaraikan 33 tuntutan rakyat, antaranya: melaksanakan gaji minimum RM1,500 untuk semua pekerja tanpa sebarang penangguhan lagi; menghapuskan sistem kontrak untuk kerja-kerja tetap; melaksanakan Skim Jaminan Pendapatan Asas sebanyak RM1,000 sebulan bagi pekerja-pekerja di sektor tidak formal, pekerja-pekerja persendirian berskala kecil dan peniaga-peniaga mikro yang kehilangan punca pendapatan kerana krisis ekonomi; menggubal akta untuk melindungi pekerja-pekerja gig daripada ketidakjaminan kerja; melaksanakan skim pencen warga emas sejagat; melindungi hak kesatuan sekerja; menghentikan pengusiran paksa tanpa perumahan alternatif; melindungi hak pekerja migran; menghentikan pengusiran terhadap petani-petani dan penternak-penternak; memansuhkan akta-akta yang menyekat kebebasan media; menghentikan diskriminasi berasaskan gender dan orientasi seksual di tempat kerja; menghentikan penswastaan perkhidmatan asas; mengiktiraf hak tanah adat Orang Asal/Asli; mengisytihar darurat iklim; dan sebagainya.
Deklarasi 1 Mei 2023 disokong oleh 87 buah organisasi, termasuk Aliran, Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM), Gabungan Marhaen, Greenpeace Malaysia, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Parti Hijau Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan sebagainya.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) juga menghantar pemerhati untuk hadir ke dalam aksi sambutan Hari Pekerja ini.
“Walaupun kami pekerja-pekerja pembersihan dan pengawal-pengawal keselamatan bekerja di bangunan kerajaan, tetapi kami tidak dianggap sebagai pekerja tetap. Kontrak bertukar setiap dua tahun, dan ada kalanya kami dibuang kerja begitu sahaja. Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (dengan kadar RM1,500 sebulan) masih belum sempurna… Penuh dengan pelbagai penipuan dan kecurian daripada pihak majikan. Kami dibuang kerja apabila menyuarakan hak kami. Kami dipandang rendah,” begitunya keluhan daripada Santhamathy, wakil Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan dari Perak yang berucap dalam perhimpunan Hari Pekerja. “Pekerja-pekerja kontrak seperti kami tidak dijaga dan tidak dipelihara. Oleh itu, kerajaan harus mencampur tangan dalam memansuhkan sistem kontrak yang bermaharajarela. Pekerja-pekerja kontrak harus diserap semula oleh kerajaan!”
“Beban dan tekanan kepada petani kini sangat tinggi dengan kos yang sangat tinggi. Pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) juga memberi kesan yang besar kepada pesawah,” kata Abdul Rashid Yob daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) yang turut menyertai aksi Hari Pekerja. “Kerajaan harus memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi golongan petani supaya para petani dapat terus membekalkan padi dan beras. Kalau tiada petani, maka kita tidak dapat makan nasi!”
Kesavan a/l Vijayan, seorang anggota Pemuda Sosialis PSM dan pengelola Pusat Pelajar Marhaen dari Perak yang hadir ke aksi sambutan Hari Pekerja, berkata, “Kami membawa tuntutan pendidikan percuma, kerana pendidikan bukan komoditi dan tidak patut diniagakan. Pendidikan harus diberikan secara percuma dari peringkat pra-sekolah sehingga ijazah pertama.”
Aksi sambutan Hari Pekerja ini ditamatkan dengan nyanyian bersama lagu Internasionale.
**********
Berikut ialah koleksi foto aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia 2023 di Kuala Lumpur:
2 thoughts on “Aksi sambutan Hari Pekerja 2023: Gaji bermaruah, jaminan makanan”