Protes membantah penahanan besar-besaran terhadap aktivis politik, peguam dan wartawan di Diyarbakır pada 25 April 2023. (foto: Sertac Kayar / Reuters)

19 hari sebelum pilihan raya umum Turki diadakan, rejim Recep Tayyip Erdoğan yang takut bahawa kekuasaannya dicabar telah melancarkan operasi penangkapan besar-besaran terhadap pengkritiknya pada 25 April 2023. Sekurang-kurangnya 110 orang telah ditahan, termasuk peguam, wartawan, seniman dan aktivis daripada parti politik berhaluan kiri, khususnya Parti Demokratik Rakyat (HDP) dan Parti Kiri Hijau (YSP).

Operasi penangkapan berlaku di 21 buah wilayah di seluruh negara Turki, khususnya di Diyarbakır, bandar terbesar di tenggara Turki dengan penduduk majoriti Kurdi. Pihak berkuasa menuduh mereka yang ditahan mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan di negara itu. Antara yang ditahan ialah Özlem Gündüz selaku Timbalan Pengerusi Bersama HDP, Mahfuz Güleryüz selaku Ahli Lembaga Eksekutif Pusat HDP, Ferhat Çelik yang merupakan pemilik agensi berita Mezopotamya Agency (MA), Abdurrahman Gök selaku editor di MA, Osman Akın yang merupakan editor pengurusan di akhbar harian Yeni Yaşam, dan Kadri Esen yang merupakan penerbit suratkhabar Xwebûn. Polis telah merampas buku dan komputer milik wartawan yang ditahan semasa menggeledah rumah kediaman mereka.

Parti Demokratik Rakyat (HDP), parti berhaluan kiri yang pro-Kurdi dan merupakan parti ketiga terbesar dalam Parlimen Turki, menghadapi ancaman dibubarkan oleh mahkamah perlembagaan atas pertuduhan bahawa ia mempunyai hubungan dengan PKK tetapi tiadanya apa-apa bukti kukuh. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, HDP telah menghadapi pelbagai penindasan daripada rejim Erdoğan, dengan ribuan ahlinya, termasuk wakil rakyat dan datuk bandar yang dipilih secara demokratik, telah dipenjarakan. Namun, segala penindasan dan ancaman daripada pihak berkuasa gagal menghalang HDP daripada terus memperjuangkan demokrasi dan keadilan sosial di Turki.

HDP telah memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya umum pada bulan Mei akan datang ini di bawah payung sebuah parti kecil, Parti Kiri Hijau (YSP). Tinjauan pendapatan sebelum pilihan raya umum meramalkan HDP yang dibertanding di bawah YSP akan menjadi penentu dalam pilihan raya parlimen, dan keputusannya untuk tidak meletakkan calon presiden memberikan pembangkang peluang terbaik untuk menewaskan Erdoğan yang sudah memerintah selama 20 tahun. Operasi penangkapan besar-besaran yang menyasarkan HDP dan masyarakat sivil yang pro-Kurdi sebelum pilihan raya umum yang bakal diadakan pada 14 Mei 2023, jelasnya merupakan taktik kotor rejim Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Erdoğan untuk kekal berkuasa.

(foto: Sertac Kayar / Reuters)

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 25 April 2023 oleh Feleknas Uca dan Hişyar Özsoy selaku jurucakap bersama HDP, mereka berkata, “Kerajaan yang cuba memanjangkan hayatnya dengan rampasan kuasa politik, pembunuhan beramai-ramai, propaganda hitam, kaedah peperangan khas, ancaman, pemerasan, dan semua jenis serangan sejak tahun 2015 ini, telah memulakan satu rampasan kuasa politik baharu terhadap pilihan raya 14 Mei dengan penahanan pada pagi ini. Operasi ini adalah bertentangan dengan pilihan raya dan kehendak rakyat. Ia ialah ugutan dan ancaman yang jelas kepada masyarakat dan kepada pilihan politiknya. Bukanlah satu kebetulan bahawa peguam yang akan melindungi peti undi dan melawan perkara yang melanggari undang-undang, wartawan yang akan memaklumkan kepada orang ramai, dan ahli politik yang melawan AKP di lapangan telah dijadikan sasaran serentak.”

“Serangan oleh AKP ini adalah usaha sia-sia yang tidak akan membuahkan hasil. Rakyat kita, dan semua segmen masyarakat yang terancam kehendaknya, akan memberi respon terbaik terhadap serangan ini melalui undi mereka dalam pilihan raya,” tegas kata Feleknas Uca dan Hişyar Özsoy.

Tandatanganilah seruan solidariti bersama HDP dan YSP di sini.

One thought on “Turki: Rejim Erdoğan lancar penangkapan besar-besaran sebelum pilihan raya umum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *