Victor Yeimo

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kumpulan Kerja Papua Barat, Biro Antarabangsa Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menyuarakan kekhuatiran kami terhadap tindakan kerajaan Indonesia yang menjenayahkan Victor Yeimo dan aktivis-aktivis politik yang lain di Papua Barat.

Victor Yeimo, seorang aktivis politik daripada Komite Nasional Papua Barat (KNPB) yang berkempen secara aman untuk mendukung usaha rakyat Papua menentukan nasib sendiri, telah ditangkap pada 9 Mei 2021 dan didakwa atas tuduhan khianat oleh kerajaan. Kumpulan hak asasi manusia percaya bahawa tuduhan itu berpunca daripada penglibatannya dalam protes anti-rasisme pada tahun 2019. Beliau berkemungkinan akan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup hanya kerana beliau berprotes secara aman.

Sejak ditangkap, Victor Yeimo telah berada dalam kurungan seorang diri, dinafikan hak untuk mendapat bantuan guaman dan berjumpa dengan keluarganya. Keadaan kesihatannya juga semakin teruk dan terpaksa mendapat rawatan di hospital baru-baru ini. Selepas pulih dari sakit, beliau dimasukkan kembali ke penjara sementara perbicaraan diadakan.

Pengilhakan Papua Barat oleh Indonesia merupakan hasil daripada percaturan kuasa besar semasa Perang Dingin tanpa penyertaan masyarakat orang Papua sendiri. Perjanjian New York pada tahun 1962 menyatakan bahawa rakyat Papua dibenarkan untuk mengundi secara bebas dan adil untuk menentukan nasib sendiri selepas penggabungan dengan Indonesia. Namun, kerajaan diktator Suharto enggan mengadakan referendum sebenar yang membolehkan semua rakyat Papua untuk mengundi, dengan alasan bersifat rasis bahawa orang Papua itu terlalu “primitif” untuk membuat pilihan secara sendiri.

Pada tahun 1969, pemilihan 1,026 orang “wakil” untuk mengundi dalam satu “referendum” di bawah muncung senapang tentera Indonesia telah menghasilkan keputusan yang menyokong penguasaan Indonesia sepenuhnya terhadap Papua Barat. “Penentuan Pendapat Rakyat” ini sebenarnya bertukar wajah menjadi “Pemaksaan Pendapat Rakyat”. 

Pada tahun 2019, tercetusnya protes anti-rasisme besar-besaran di Papua Barat dan di beberapa wilayah di Indonesia. Seperti yang disebut atas, Victor Yeimo terlibat dalam protes tersebut secara aman. Pasukan keselamatan mematahkan protes tersebut dengan menggunakan kekerasan melampau yang membawa maut dan malah memutuskan akses kepada internet di Papua Barat.

Pada tahun 2021, protes lanjutan dilancarkan selepas kerajaan Indonesia memperbaharui Undang-undang Autonomi Khas. Pembaharuan ini bukan sahaja dilakukan tanpa penglibatan daripada rakyat Papua Barat, malah membatalkan hak pembentukan parti politik tempatan dan mewujudkan daerah baharu yang akan memecah-belahkan suku-suku kaum orang asal. Pembaharuan ini akan melucutkan kuasa autonomi wilayah itu dengan pemusatan kuasa dalam tangan kerajaan pusat. Akhirnya, 15 orang aktivis menghadapi pertuduhan pengkhianatan kerana protes aman mereka terhadap pembaharuan Undang-undang Autonomi Khas.

Perjuangan rakyat Papua Barat untuk menentukan nasib sendiri dibalas dengan penindasan bersenjata dan sentimen rasisme secara sistematik oleh pasukan keselamatan Indonesia. Papua Barat merupakan wilayah paling banyak penempatan tentera di Indonesia yang angkanya mencecah lebih 35,000 orang. Angka ini dijangka akan meningkat dengan pembentukan daerah baharu di Papua Barat. Malah anggota tentera terlibat dalam kawalan keselamatan industri dengan bayaran daripada sektor perusahaan sendiri yang biasanya berkait rapat dengan ekploitasi sumber alam dan perampasan tanah orang asal. 

Pada tahun 2022, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pernah menyatakan kebimbangannya terhadap keadaan hak asasi manusia yang semakin merosot di Papua Barat, dengan perbuatan keganasan terhadap orang asal, termasuk pembunuhan kanak-kanak, penyeksaan dan pemindahan besar-besaran dari tempat asal mereka.

PSM bersolidariti bersama rakyat Papua Barat yang berjuang untuk menentukan nasib sendiri. Selain itu, kami ingin menyeru pada kerajaan Indonesia untuk melaksanakan langkah-langkah berikut dengan kadar segera supaya mengurangkan kemudaratan terhadap Papua Barat:

  1. Membebaskan Victor Yeimo dan semua aktivis politik tanpa syarat.
  2. Memindah keluar pasukan keselamatan Indonesia dari Papua Barat. 
  3. Rakyat Papua Barat harus menubuhkan pasukan keselamatan sendiri dengan bantuan daripada pasukan pengaman antarabangsa yang bersikap neutral.
  4. Mewujudkan suasana yang selamat dan membolehkan aktivis serta rakyat Papua Barat untuk menyuarakan tuntutan mereka.

Akhir sekali, kami menyeru pada masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama mengecam tindakan keras kerajaan Indonesia terhadap aktivis-aktivis yang berjuang secara aman di Papua Barat, dan mempertanggungjawabkan kerajaan Indonesia dalam pencabulan hak asasi manusia yang berterusan di wilayah ini. Kami juga menyeru pada kerajaan Malaysia untuk mendesak kerajaan Indonesia supaya menghormati hak asasi manusia dan menyokong hak penentuan nasib sendiri rakyat Papua Barat.

==========

Versi Bahasa Inggeris di sini.

One thought on “Bebaskan Victor Yeimo dan semua tahanan politik di Papua Barat segera!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *