(Kenyataan membalas Menteri Sumber Manusia yang mengatakan bahawa pekerja menganggur kerana memilih kerja.)

oleh Sivaranjani Manickam

Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, yang mengatakan bahawa “ramai dalam kalangan yang tiada kerja kerana mereka memilih kerja”. Ini tidak betul sama sekali kerana isu akar umbinya adalah kadar gaji yang terlalu rendah. Kajian daripada Institut Penyelidikan Khazanah menunjukkan bahawa kadar kenaikan gaji adalah terlalu rendah berbanding dengan kos sara hidup sejak beberapa dekad kebelakangan ini di Malaysia.

Selain itu, gaji minimum RM1,500 dilaksanakan untuk sebahagian tenaga kerja, tetapi gaji ini masih di bawah paras garis kemiskinan di Malaysia, iaitu RM2,200.

Kesemua statistik ekonomi seperti produktiviti, kekayaan negara, KDNK negara, gaji lembaga pengarah, kadar keuntungan syarikat dan pulangan modal di Bursa Malaysia, malah jualan kereta mewah dan kereta sukan di Malaysia telah mencapai rekod. Namun, pihak korporat dan syarikat masih berdegil untuk tidak menaikkan gaji pekerja kerana kelemahan kuasa kolektif tenaga kerja (“labour collective power”) di Malaysia.

Gaji yang rendah adalah faktor utama mengapa anak muda tidak minat dengan pekerjaan yang tersedia di dalam Malaysia. Anak muda sudi bangun pada pukul 3 pagi menuju ke Singapura untuk bekerja sebagai pembersih lantai. Malah, anak muda sudi meninggalkan keluarga dan tanah air ke negara yang tidak dikenali untuk bekerja sebagai pemetik buah demi gaji lebih tinggi.

Kerajaan harus mengambil langkah yang kukuh untuk meningkatkan gaji dengan memudahkan penubuhan kesatuan sekerja di Malaysia. Laporan Institut Penyelidikan Khazanah mengetengahkan kepentingan kesatuan kerja dalam meningkatkan kuasa kolektif tenaga kerja yang akan meningkatkan kadar gaji.

Menteri Sumber Manusia perlu berhenti memberi kenyataan retorik yang pro-kapitalis dan golongan mahakaya kerana dia tidak memiliki kesungguhan politik (“political will”). Menteri Sumber Manusia perlu ingat bahawa rakyat yang mengundinya sebagai Ahli Parlimen. Malah, gaji Menteri Sumber Manusia yang bernilai beratus ribu setahun adalah hasil titik peluh dan keringat rakyat. Menteri Sumber Manusia tidak harus menggigit tangan yang menyuapnya.

==========

Sivaranjani Manickam ialah Ahli Jawatankuasa PusatParti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Nasional Biro Pekerja PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *