(tangkap layar video KiniTV)

oleh S. Arutchelvan

Anwar Ibrahim patut disokong. Ucapannya yang tegas dalam Kongres Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam adalah ditujukan kepada penyokongnya dan masyarakat antarabangsa. Pendiriannya dalam bercakap untuk semua rakyat Malaysia menentang sesiapa yang bercakap tentang politik satu kaum akan diterima baik khususnya di negeri-negeri Borneo, Pantai Barat dan negeri-negeri di selatan Semenanjung Malaysia. Anwar telah belajar daripada pengalaman Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa selama 22 bulan sebelum ini, bahawa anda tidak boleh bersikap naif terhadap musuh anda. Kegagalan kerajaan PH dalam menentang ekstremisme berhaluan kanan akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan itu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terdapatnya perasaan ketakutan dalam kalangan penyokong PH, terutamanya golongan bukan Melayu, bahawa Anwar terlalu cenderung kepada menampung Gelombang Hijau. Saya percaya bahawa mesejnya dalam Kongres Khas PKR sehari sebelum perhimpunan Melayu Mahathir yang kini sudah dibatalkan itu adalah untuk meyakinkan penyokongnya serta memperkukuhkan kuasa yang dipegangnya.

Musuh terbesar Anwar mungkin ialah Perikatan Nasional (PN) secara atas kertas, tetapi kelemahan terbesarnya ialah bersama Zahid Hamini – kawan karibnya dan Presiden UMNO. Zahid ialah seorang personaliti yang sudah tercemar namanya dan ini akan memberi kesan kepada kedudukan Anwar dalam Pilihan Raya Negeri akan datang dan Pilihan Raya Umum akan datang. Muhyiddin Yassin mempunyai orang seperti Azmin Ali dan Chegu Bard di sisinya yang tidak asing lagi dalam membina gelombang seperti reformasi untuk menampilkan Muhyiddin sebagai mangsa.

(tangkap layar video KiniTV)

Bolehkah Anwar membangkit semula asas sokongannya?

Ini masanya untuk Anwar membina semuka gerakan reformasi yang sebenar berasaskan Malaysia berbilang kaum yang berakar umbi dari bawah. Pemberdayaan rakyat di peringkat akar umbi berasaskan dasar-dasar yang berdasarkan kelas akan mempertingkatkan dan membina kuasa rakyat dari bawah. Namun, sekiranya penyokong-penyokong Anwar hanya memainkan peranan sebagai kaki ampu, atau sekadar budak suruhan Perdana Menteri dan berharap bahawa mereka hanya mengulangi apa yang dikatakan Anwar serta twit semula mesejnya untuk memastikan kemenangan, maka saya percaya bahawa Anwar akan hilang momentum pada akhirnya.

Pemberdayaan harus berakar dalam, dan golongan miskin serta golongan kelas menengah dapat percaya bahawa Kerajaan Anwar mewakili penambahbaikan yang sebenar untuk mereka. Rakyat harus menjadi sebahagian daripada perubahan itu sendiri dan semangat Reformasi 1998 harus dikembalikan untuk membina benteng di sekeliling kuasa yang dipegang oleh Anwar. Pada masa ini, ramai dalam kalangan penyokong reformasi Anwar yang sebenar telah sama ada dipinggirkan atau diserapkan ke dalam kerajaan atau menjadi birokrat. Sekiranya ini berterusan, tenaga untuk perubahan akan diculik oleh PN dan golongan anak muda akan berhimpun di belakang mereka.

Pada masa ini, kuasa politik di Malaysia hanya bergantung pada bagaimana anda mendapatkan angka untuk mencapai majoriti mudah. Prinsip tidak memainkan peranan di sini. Inilah sebabnya kenapa DAP dan UMNO boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan yang sama. Namun, politik nyata haruslah bersama rakyat yang nyata dan bukannya berasaskan sukaan dalam media sosial. Hanya gelombang sokongan rakyat yang besar boleh menjatuhkan atau menyelamatkan sesebuah kerajaan. Anwar harus membina gerakan sebegitu berdasarkan cita-cita untuk Malaysia yang berbilang kaum dan sokongan massa.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *