oleh Bawani KS
Perayaan Thaipusam akan kembali meriah pada tahun ini selepas tamatnya kawalan pergerakan selama dua tahun yang lepas disebabkan penularan wabak COVID-19. Thaipusam akan disambut pada 5 Februari nanti oleh penganut-penganut agama Hindu.
Sebagai tradisi, tahun ini juga Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Perak akan mengadakan “Thanneer Panthal” dengan memberikan minuman kepada penganut serta pelawat pada hari Thaipusam nanti. Thanneer Panthal PSM Perak adalah di Lot 148 & 150 yang terletak di hadapan YMCA Ipoh bertentangan dengan Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh, Perak.
Pada masa yang sama, PSM Perak juga akan melancarkan kempen menuntut pada kerajaan supaya melaksanakan “Pencen Warga Emas” serta mengumpulkan tandatangan daripada semua golongan rakyat sebagai tanda sokongan. Kempen ini merupakan kempen nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi seluruh rakyat Malaysia terutamanya golongan warga emas. PSM turut melancarkan kempen ini di dua lokasi lain pada hari Thaipusam, iaitu di Kuil Sri Subramaniam Sungai Siput, Perak, dan Kuil Sri Subaramaniar, Batu Caves, Selangor.
PSM memberikan keutamaan kepada kempen ini kerana semasa wabak COVID-19, salah satu golongan yang paling teruk terjejas adalah warga emas. Golongan ini bukan sahaja berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 tetapi daya ketahanan dari segi ekonomi dan sosial juga terjejas. Mereka tidak mempunyai sokongan kewangan yang kukuh untuk menjamin perjalanan kehidupan mereka dan terpaksa mengharapkan bantuan orang lain semasa sudah tua.
Oleh itu, PSM berpendirian bahawa warga emas harus diberi perlindungan sosial supaya gologan ini tidak menghadapi kesukaran terutamanya dari segi kewangan untuk meneruskan kehidupan mereka.
PSM menggesa kerajaan untuk melaksanakan Pencen Warga Emas RM500 sebulan bagi mereka yang tidak menerima sebarang pencen. Justeru, PSM mengalu-alukan para penganut serta pelawat Kuil Sri Subramaniar Ipoh, Sungai Siput dan Batu Caves ke Thanneer Panthal PSM untuk menyokong kempen “Pencen Warga Emas” ini dengan menurunkan tandatangan anda serta menikmati minuman dan makananyang akan disediakan di Thanneer Panthal tersebut.
Selamat Menyambut Hari Thaipusam! Tuntut pencen untuk semua warga emas!
==========
Bawani KS ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi PSM Negeri Perak.
Totaly agree with this kempen.