oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Belanjawan 2023 akan dibentang semula pada 24 Februari 2023. Ia pada asalnya dibentang pada penghujung bulan Oktober 2022 seperti amalan biasa. Namun, dengan Parlimen dibubarkan hanya beberapa hari selepas itu, Bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada masa itu, Tengku Zafrul Aziz, tidak dibahaskan dan dibawa kepada pengundian dalam Parlimen.

Kami daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) berharap bahawa 6 perkara yang disenaraikan di bawah akan dimasukkan dalam Bajet yang disemak semula yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri ke-10 merangkap Menteri Kewangan.

1. Skim pencen warga emas RM500 sebulan untuk semua orang berumur 65 tahun ke atas yang sekarang ini tidak menerima apa-apa pencen kerajaan atau PERKESO. Skim sedemikian harus dilaksanakan segera kerana:

  • Walaupun kita mempunyai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi perlindungan yang diberikannya adalah sama ada tidak komprehensif ataupun tidak mencukupi. Pada masa ini, hanya lebih kurang 7 juta daripada 20 juta warga Malaysia yang berumur antara 19 hingga 60 tahun mencarum kepada KWSP. Satu pertiga lagi warga Malaysia dalam kategori ini mempunyai akaun KWSP tetapi tidak lagi mencarum secara bulanan. Satu pertiga lagi daripada kumpulan masyarakat berumur 19-60 tahun tidak mempunyai sebarang simpanan KWSP – termasuk suri rumah tangga, petani, nelayan, pekerja kontrak, pengusaha perniagaan mikro dan sebagainya. Kebanyakan mereka tidak mempunyai simpanan untuk usia tua mereka.
  • Menurut KWSP sendiri, hanya 56% ahlinya yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan KWSP melebihi RM50,000. Angka ini amat jauh kurang sekali berbanding jumlah simpanan yang diperlukan untuk menampung kehidupan mereka selepas mereka bersara. Menurut KWSP, seorang ahli KWSP perlu mempunyai RM240,000 dalam simpanannya untuk membolehkannya mengeluarkan RM1,000 sebulan selagi dia hidup selepas bersara.
  • Pandemik COVID-19 dan penurunan dalam pendapatan memaksa ramai orang bergantung pada simpanan KWSP mereka untuk terus hidup. Sejumlah RM145 bilion telah dikeluarkan daripada KWSP, kebanyakannya oleh mereka yang mempunyai tahap simpanan yang paling rendah. Oleh itu, pekerja-pekerja yang berpendapatan paling rendah ialah mereka yang kehabisan simpanan KWSP sekarang.

Skim pencen ini akan memberi bantuan segera kepada kira-kira 1.7 juta orang warga Malaysia dalam kategori warga emas dan menjadikan keadaan hidup mereka lebih baik. Skim pencen ini akan memakan kos lebih kurang RM10 bilion setahun pada masa ini, dan ia akan amat dihargai oleh orang ramai.

2.   Caruman PERKESO yang ditaja oleh Kerajaan Persekutuan untuk memberikan Perlindungan Ilat kepada semua wanita yang berumur antara 18 hingga 60 tahun di negara kita. Sekiranya berasaskan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan, ini akan menjadi RM15.50 seorang setiap bulan. Ia akan menggunakan RM1.2 bilion setahun untuk memberikan perlindungan ini kepada 6.5 juta orang wanita berumur 19-60 tahun yang berkelayakan, iaitu wanita yang bukannya kakitangan kerajaan atau dilindungi PERKESO pada masa ini.

Adalah penting bagi kerajaan menggunakan pangkalan datanya untuk memulakan skim ini. Meminta pada golongan wanita untuk memulakan proses dengan membuat pembayaran bersama pertama bukannya pendekatan yang baik. Ia mungkin berbunyi sedap atas kertas, tetapi sangat sedikit golongan wanita yang berkelayakan akan tampil ke hadapan dan membuat pembayaran permulaan.

3. Tingkatkan peruntukan untuk Kementerian Kesihatan kepada sekurang-kurangnya RM44 bilion, daripada peruntukan RM33 bilion pada tahun 2022. Ini masih tidak mencapai sasaran 4% daripada KDNK seperti yang diminta oleh banyak kumpulan advokasi kesihatan – iaitu RM66 bilion. Kami mencadangkan RM44 bilion bagi tahun 2023 kerana kami percaya bahawa Kementerian Kesihatan akan memerlukan sedikit masa untuk membangunkan program-program dan keperluan kakitangan supaya dapat menggunakan peruntukan 4% daripada KDNK. Namun, harus adanya rancangan untuk meningkatkan belanjawan kesihatan dalam tempoh masa 5 tahun akan datang supaya mencapai sasaran 4% daripada KDNK.

3 perkara yang disebut di atas akan menyediakan asas kepada sebuah jaringan perlindungan yang lebih baik dan lebih komprehensif kepada semua warga Malaysia, di samping mengurangkan kebimbangan yang dirasai ramai apabila mereka memikirkan masa hadapan selepas mereka bersara. Tambahan pula, kemasukan kira-kira RM18 bilion ke dalam ekonomi akan mengembangkan pasaran untuk perniagaan mikro dan kecil di Malaysia, dan membawa kepada kesejahteraan ekonomi keseluruhan kepada golongan B40 dan M40.

4. Program untuk golongan berpendapatan rendah di bandar: Kerajaan harus mewujudkan sebuah dana berjumlah RM2 bilion setahun untuk menaja bersama sebuah program yang mewajibkan majlis-majlis tempatan untuk mengambil alih penyelenggaraan dan pengurusan rumah-rumah pangsa kos rendah di seluruh negara. Kebanyakan rumah pangsa kos rendah ini berada dalam keadaan yang menyedihkan kerana jawatankuasa pengurusan tidak dapat mengumpul yuran penyelenggaraan yang mencukupi untuk memastikan kebersihan premis, memperbaiki lif rosak, membayar bil elektrik bagi lampu di kawasan awam, dan sebagainya. Akibatnya, banyak rumah pangsa kos rendah adalah tidak selesa dan tidak selamat untuk penghuni-penghuni di situ. Adalah sangat merugikan kanak-kanak dan anak-anak muda di dalam rumah-rumah pangsa ini sekiranya terus membiarkan keadaan ini memburuk lagi.

5. Program untuk golongan miskin luar bandar: Tidak perlunya peruntukan tambahan dalam perkara ini. Kerajaan harus memastikan bahawa wujudnya ketelusan dalam penggunaan dana yang diberikan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Pejabat-pejabat Daerah untuk menyelenggara dan menaik taraf kemudahan-kemudahan awam serta rumah-rumah kediaman di kawasan-kawasan luar bandar. Peruntukan pada masa ini ialah kira-kira RM5 bilion setahun! Tahap pembiayaan ini mesti dikekalkan untuk masa ini, tetapi ia akan dapat melakukan lebih banyak apabila pencurian (oleh ahli-ahli politik tempatan dan petugas-petugas di pejabat daerah serta kontraktor-kontraktor kroni mereka) dikurangkan dengan mensyaratkan semua peruntukan dan spesifikasi projek yang diluluskan itu dipaparkan dalam papan kenyataan atas talian supaya penduduk-penduduk tempatan dapat mengaksesnya dan memantau.

Kerajaan juga harus memperkasakan Biro Pengaduan Awam supaya aduan-aduan daripada penduduk-penduduk kampung di mana peruntukan tidak sampai kepada sasaran dapat disiasat dengan segera oleh pasukan-pasukan dari luar Negeri berkenaan (dan secara relatifnya bebas daripada pengaruh golongan elit tempatan). Mereka yang menyalahgunakan dana yang sepatutnya untuk golongan masyarakat miskin luar bandar harus didakwa di mahkamah.

6. Satu pengumuman yang mudah bahawa kerajaan telah memutuskan untuk menarik diri daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) supaya melakukan semakan semula yang sewajarnya terhadap faedah yang dikatakan akan diperoleh daripada perjanjian ekonomi tersebut, yang akan menjadi aising atas kek belanjawan! Ramai ahli ekonomi bersetuju bahawa CPTPP terlalu berpihak pada syarikat-syarikat multinasional yang kaya raya dan mengikat tangan kerajaan pada masa keadaan antarabangsa memerlukan kerajaan mempunyai keupayaan untuk mencampur tangan secara tegas dalam ekonomi apabila diperlukan. Keputusan untuk berundur dan menyemak semula keperluan satu lagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) apabila negara kita sudah berkomited dalam lebih 15 FTA dua hala dan pelbagal hala, ialah satu keputusan yang akan dihargai oleh golongan nasionalis Malaysia daripada pelbagai aliran.

6 program/tindakan yang dicadangkan di atas akan membantu dalam mengurangkan tekanan ekonomi yang sedang dihadapi oleh golongan B40 dan M40. Program-program ini juga akan mengurangkan kebimbangan rakyat yang tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15 bahawa mereka akan diabaikan, dipinggirkan atau ditinggalkan di bawah kerajaan baharu. Program-program ini pasti akan membantu dalam memperluaskan asas sokongan politik rejim PH dan mewakili satu langkah penting dalam membina sebuah negara Malaysia yang lebih inklusif.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau merupakan mantan Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput.

One thought on “Senarai hajat untuk Bajet 2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *