KUALA SELANGOR, SELANGOR – 11 JANUARI 2023: Bekas pekerja ladang dari 5 buah ladang di sekitar kawasan Batang Berjuntai di Daerah Kuala Selangor dan Hulu Selangor yang sedang menghadapi ancaman pengusiran paksa daripada pihak pemaju, membuat aduan polis beramai-ramai di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor pada hari ini.

Turut hadir bersolidariti bersama bekas pekerja ladang di 5 buah ladang tersebut ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Lebih 80 orang bekas pekerja ladang di di Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar telah menerima notis pengusiran daripada pihak pemaju dan bekas majikan mereka, Tagar Properties Sdn Bhd pada 5 Disember 2022, sedangkan janji untuk membina rumah alternatif bagi mereka masih belum ditunaikan lagi. Pihak Tagar Properties mendakwa bekas pekerja ladang yang sudah lama tinggal di situ sebagai setinggan dan penceroboh dalam notis yang diserahkan kepada mereka. Tindakan daripada pihak syarikat pemaju ini telah menafikan hak dan kepentingan bekas pekerja ladang yang sudah lama menghuni di situ.

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity berpandangan bahawa notis pengusiran yang dikeluarkan oleh pihak syarikat Tagar Properties itu merupakan satu ugutan. Para bekas pekerja ladang tidak boleh diusir keluar sewenang-wenangnya tanpa sebarang perintah mahkamah yang sah.

Oleh sebab bimbang tentang ancaman terhadap keharmonian dan ketenteraman keluarga mereka, para bekas pekerja ladang ini membuat aduan polis sebagai langkah keselamatan. Bekas pekerja ladang ini juga meminta pada pihak polis supaya jangan sekali-kali menolong pihak syarikat pemaju dalam sebarang usaha pengusiran paksa tanpa melalui proses mahkamah yang sah. Mereka juga meminta pada pihak polis untuk menyiasat janji perumahan alternatif yang masih belum ditunaikan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Bekas pekerja ladang ini juga menggesa bahawa bekas majikan mereka harus memberhentikan segala ugutan terhadap mereka yang bertujuan untuk mengusir mereka keluar dari ladang sebelum isu perjanjian untuk perumahan alternatif mencapai penyelesaian.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui V. Ganabatirau selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor telah memberikan syor bahawa tidak akan menukar status quo bekas pekerja ladang ini sebelum isu perumahan tetap bagi mereka diselesaikan. Namun, sekarang ini pihak bekas majikan telah melanggar perjanjian tersebut. Selain itu, para bekas pekerja ladang juga diberi janji daripada Berjaya Corporation Berhad untuk membina rumah alternatif bagi mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *