oleh Gandipan Nantha Gopalan
Pemuda Sosialis mengecam mekanisme “Scan to Ride” yang diumumkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Bermula pada bulan Januari 2023, pengguna PJ City Bus diwajibkan untuk mengimbas Kod QR “Scan to Ride” untuk menggunakan perkhidmatan bas tersebut. Dalam pengumuman yang sama, juga dinyatakan bahawa pengguna bukan warganegara akan dikenakan caj RM0.90 bermula 15 Januari 2023. Pemuda Sosialis berpendirian bahawa “Scan to Ride” adalah suatu mekanisme yang akan menyusahkan rakyat dan pekerja serta akan menindas pekerja migran yang menggunakan perkhidmatan bas tersebut.
Perkhidmatan pengangkutan awam haruslah cekap, cepat dan mempunyai kebolehcapaian yang sempurna bagi rakyat. Pengenalan “Scan to Ride” akan menjejaskan pergerakan golongan pekerja terutamanya yang bertugas di kawasan yang padat. MBPJ juga seharusnya sedar bahawa bukan semua penumpang mempunyai peranti yang diperlukan bagi proses imbasan untuk menggunakan servis pengangkutan awam tersebut.
Caj RM0.90 terhadap pekerja migran yang menggunakan bas MBPJ juga merupakan usaha yang tidak wajar terhadap golongan yang sudah pun mengalami tekanan dan diskriminasi di negara ini. Caj tersebut merupakan satu bentuk rompakan yang mengeksploitasi situasi dan keadaan komuniti migran.
Hal yang lebih mengecewakan adalah apabila ahli politik “progresif” seperti ADUN Kinrara dan ADUN Bandar Utama sendiri mempertahankan polisi-polisi yang mendiskriminasi golongan bukan warganegara.
Jay Jay Denis, pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor menyatakan bahawa caj RM0.90 terhadap pekerja migran tidak bermotifkan keuntungan serta tanpa sebarang unsur diskriminasi. Namun, pernyataan tersebut tidak selari dengan praktis kerajaan sendiri dan pihak Pemuda Sosialis menuntut pihak kerajaan untuk tidak mengimplementasi caj tersebut.
Pemuda Sosialis mendesak Kerajaan Negeri Selangor dan MBPJ untuk menghentikan pelaksanaan “Scan to Ride” dalam semua perkhidmatan bas di bawah pentadbiran negeri Selangor, bukan hanya di PJ City Bus, dan menggugurkan caj RM0.90 terhadap pekerja migran supaya semua pengguna perkhidmatan ini menikmatinya secara percuma.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.