oleh PSM Gombak

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Gombak mengecam tindakan Kerajaan Negeri Selangor sedang mempertimbangkan penerokaan hutan untuk kerja-kerja kuari dilakukan di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Lagong (HSKBL). Tindakan ini akan memusnahkan khazanah semula jadi negeri Selangor yang kaya dengan kawasan hutan yang menjadi benteng kepada pemanasan global, tanah runtuh dan dapat dinikmati bersama sebagai hutan lipur.

Dilaporkan bahawa 8 buah syarikat yang diberikan lesen oleh kerajaan negeri bakal terlibat dalam perluasan kawasan kuari. Selepas penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Bukit Cherakah (HSKBC) dan tragedi tanah runtuh di Batang Kali, di mana operasi mencari dan menyelamat masih berterusan, tindakan Kerajaan Negeri Selangor ini tidak wajar.

Sebagai cawangan yang berada di dalam kawasan yang penuh dengan khazanah hutan semula jadi, seperti Taman Negeri Selangor di Sungai Tua, PSM Gombak khuatir bahawa perluasan aktiviti pemusnahan hutan untuk mencari keuntungan ini akan menjejaskan kawasan-kawasan sensitif alam sekitar. Kami juga masih ingat akan zaman kuari di Batu Caves yang masih tidak dibaik pulih.

Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor harus bertindak dengan segera untuk mengekalkan segala hutan simpan kekal serta kawasan sensitif alam sekitar lain supaya generasi akan datang dapat menikmatinya juga.

==========

Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Arveent Srirangan Kathirtchelvan PSM Gombak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *