oleh Sivarajan Arumugam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak Kerajaan Malaysia yang baharu untuk menarik balik ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan segera. Ini haruslah dijadikan tugasan pertama Perdana Menteri ke-10! 

CPTPP merupakan penjelmaan terbaru Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diterajui oleh Amerika Syarikat. Ribuan rakyat telah turun membantah perjanjian TPPA ini sebelum ia ditandatangani oleh Najib Tun Razak pada awal tahun 2016. Apabila Kerajaan Amerika Syarikat di bawah Donald Trump enggan menandatangani dan menarik diri daripada TPPA ini, maka 11 buah negara lain termasuk Malaysia telah menjenamakan semula perjanjian ini sebagai CPTPP dan menandatanganinya pada tahun 2018. Walaupun tanpa pernyertaan Amerika Syarikat, perjanjian ini masih merangkumi pelbagai syarat yang akan mengikat tangan Kerajaan Malaysia dan merampas kedaulatan kita. 

Malangnya, beberapa hari sebelum pembubaran Parlimen pada awal bulan Oktober 2022 yang lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bertindak dengan tidak bertanggungjawab dan menghantar surat ratifikasi penyertaan Malaysia sepenuhnya dalam perjanjian CPTPP. Akibatnya, kerajaan baharu terpaksa menanggung implikasi perjanjian ini, kerana pelbagai dasar dan manifesto yang pro-rakyat tidak akan dapat ditunaikan apabila perjanjian ini mula berkuatkuasa pada 30 November 2022 ini. 

Antara kekangan yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia jika perjanjian ini berkuatkuasa ialah:

  1. Penurunan tarif produk import akan menyebabkan lambakan barangan dari luar negara dengan harga yang lebih murah daripada barangan tempatan. 90% industri tempatan (yang masih dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana, PKS) tidak akan dapat bersaing dengan produk import, justeru menyebabkan mereka gulung tikar dan pekerja diberhentikan. Pengangguran akan meningkat. 
  2. Lambakan produk makanan dari negara-negara yang sektor pertanian mereka menerima subsidi yang tinggi, akan menawarkan produk makanan mereka dengan harga yang lebih rendah daripada produk tempatan. Petani dan penternak tempatan akan terjejas dan dalam jangka masa panjang, rakyat terpaksa bergantung pada barangan makanan harian yang dimport. 
  3. Pelbagai undang-undang negara akan dipaksa untuk dipinda demi mematuhi kehendak perjanjian CPTPP ini. Salah satunya ialah perundangan untuk mematuhi Konvensyen UPOV91, iaitu perundangan yang akan menghalang petani daripada bebas berkongsi dan menjual benih dari ladang mereka. Ia memaksa petani tempatan sujud kepada korporat industri pertanian antarabangsa yang akan memonopoli bekalan benih dan racun perosak dengan produk syarikat mereka. 
  4. Perjanjian CPTPP ini, melalui peruntukan ISDS (Investor-State Dispute Settlement), memberikan kuasa kepada pelabur antarabangsa untuk menyaman Kerajaan Malaysia ke Mahkamah Antarabangsa, jika Kerajaan memperkenalkan apa jua perundangan atau polisi baru yang “dipercayai” akan menjejaskan keuntungan pelabur. Keputusan Mahkamah Antarabangsa ini boleh dikuatkuasakan dengan merampas harta Kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia di luar negara jika Kerajaan gagal membayar pampasan. 
  5. Perjanjian CPTPP ini akan menghalang apa jua dasar tindakan afirmatif yang membantu peniaga tempatan untuk bersaing dengan syarikat asing, kerana perjanjian ini menuntut “layanan saksama” bagi semua pelabur. Maka segala manifesto PRU dan polisi-polisi yang dirancangkan akan dicabar jika ia dipercayai memberikan kelebihan kepada rakyat tempatan. 

Justeru, PSM bersama dengan pelbagai organisasi masyarakat dan pertubuhan akar umbi mendesak kepimpinan baharu Kerajaan supaya menjadikan usaha keluar daripada CPTPP ini sebagai tugasan pertama kerana ratifikasi perjanjian ini perlu ditarik balik sebelum 30 November 2022 ini. 

Apa jua penilaian semula mengenai penyertaan dalam perjanjian ini harus dilengkapi dengan kajian kos manfaat yang tepat dan perdebatan dalam Parlimen. Peryertaan dalam perjanjian CPTPP melibatkan isu kedaulatan negara dan harus diambil serius oleh Kerajaan dan Parlimen. 

Keluar dari CPTPPA!

Tarik balik Ratifikasi CPTPPA segera!

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *