oleh Titania

Pada 19 Oktober 2022, gerakan mahasiswa telah mengumumkan 15 tuntutan yang ditujukan kepada calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Pemuda Sosialis bukan sahaja menyokong malah terlibat dalam proses menghasilkan tuntutan-tuntutan tersebut. Terdapat beberapa tuntutan dalam pengumuman tersebut yang ingin kami tekankan.

Pertama sekali, Pemuda Sosialis sangat menyokong tuntutan untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma bagi golongan B40 dan mensubsidi yuran pengajian bagi golongan M40. Pelaksanaan ini amat penting bagi memudahkan pelajar B40 dan M40 untuk menuntut pengajian tinggi bagi meningkatkan taraf hidup serta menyumbang kepada pembangunan negara. Tuntutan ini juga menjadi landasan ke arah pendidikan percuma untuk semua lapisan masyarakat pada setiap peringkat.

Selain itu, kami juga menyokong tuntutan untuk menjamin perlindungan bagi pelajar latihan industri atau intern dan pekerja ekonomi gig melalui Akta Kerja 1955. Setiap orang yang menjual tenaga buruhnya kepada mana-mana majikan sewajarnya diberi pampasan yang setimpal bagi mengelakkan eksploitasi. Hal ini juga perlu dilakukan bagi memelihara maruah mereka selaku pekerja yang layak mendapat perlindungan dan manfaat tertentu.

Akhir sekali, kami menyokong tuntutan dasar inklusif OKU. Setiap orang tidak mengira keupayaan berhak mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat tertiari. Hal ini hanya dapat dilaksanakan dengan memastikan perkhidmatan dan infrastruktur yang mesra OKU disediakan di setiap pusat pengajian tinggi. Oleh itu, bakal kerajaan perlu segera melakukan rancangan bagi memenuhi tuntutan tersebut supaya golongan OKU tidak terus terpinggir daripada hidup bersama masyarakat.

Kesimpulannya, Pemuda Sosialis menyokong inisiatif yang diambil oleh gerakan mahasiswa untuk membentangkan tuntutan kepada calon-calon PRU-15. Hal ini membuktikan kecekapan mahasiswa dalam menyumbang kepada perkembangan politik dan pembangunan negara. Dengan ini, kami berharap calon-calon PRU-15 memberi komitmen untuk memenuhi tuntutan-tuntutan mahasiswa bagi melahirkan Malaysia yang lebih prihatin terhadap keperluan rakyatnya.

==========

Titania ialah Penyelaras Biro Pendidikan Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *