(Berikut ialah Manifesto Gerakan Mahasiswa yang mengemukakan 15 tuntutan untuk Pilihan Raya Umum ke-15.)

PILIHAN RAYA UMUM KE-15: 15 TUNTUTAN MAHASISWA

Sebagai sebuah komponen dalam masyarakat, kami dengan penuh insaf ingin menyatakan tuntutan dan hasrat kami.

Kami yakin, dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik dan berjaya, peranan dan potensi generasi muda tidak harus diabaikan. Kami juga sedar bahawa masa depan negara terletak di bahu generasi muda hari ini.

Maka, kami menyatakan 15 tuntutan yang harus dipertimbangkan oleh bakal- bakal calon dan kerajaan yang akan datang, bagi memastikan agenda mengangkat martabat generasi muda dapat dilaksanakan:

REFORMASI POLITIK, DEMOKRASI & PILIHAN RAYA

1. PEMILIHAN CALON MUKA BARU YANG LEBIH INKLUSIF DAN BEBAS RASUAH

Mahasiswa menolak individu yang dikaitkan dengan skandal rasuah dan politik wang sebagai calon pilihan raya. Setiap parti digesa menampilkan lebih ramai calon muka baharu terdiri daripada latar belakang terdiri daripada OKU, wanita, orang Asli dan kumpulan minoriti bagi mewujudkan keseimbangan politik.

2. MENGHADKAN TEMPOH PERKHIDMATAN PERDANA MENTERI KEPADA DUA PENGGAL SEUMUR HIDUP

Seseorang Ahli Dewan Rakyat yang menerima kepercayaan sebagai Perdana Menteri harus berkhidmat tidak lebih daripada dua penggal 10 tahun seumur hidup sahaja. Perkara ini boleh dilakukan dengan pindaan pada Perkara 43 (1) Perlembagaan Persekutuan.

3. MENGETATKAN KELAYAKAN MENJADI AHLI DEWAN RAKYAT SERTA MENGHADKAN TEMPOH PERKHIDMATAN AHLI DEWAN RAKYAT KEPADA LIMA PENGGAL SEUMUR HIDUP

Memastikan seseorang yang dipilih menjadi Ahli Dewan Rakyat mestilah mempunyai kelayakan sewajarnya dan tempoh maksimum berkhidmat tidak lebih daripada lima penggal seumur hidupnya. Perkara ini boleh dilakukan dengan pindaan pada Perkara 47 (b) dan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

4. PENURUNAN HAD UMUR MINIMUM SENATOR DEWAN NEGARA KEPADA 25 TAHUN

Sejajar dengan penurunan had umur kelayakan mengundi dalam Pilihan Raya dan menjadi calon dalam pilihan raya daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun, amatlah wajar perkara yang sama dilakukan pada penetapan umur Senator dengan menurunkan had umur minimum daripada 30 tahun kepada 25 tahun melalui pindaan pada Perkara 47 (a) Perlembagaan Persekutuan.

PENDIDIKAN

5. PEMANSUHAN AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI (AUKU)

Memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan digantikan dengan Akta Pendidikan Tinggi (APT) yang mengandungi perlindungan terhadap semangat keilmuan, demokrasi, kebebasan akademik dan autonomi universiti. Akta ini mestilah bersifat menyeluruh bagi menggantikan empat akta berkaitan pengajian tinggi yang sedia ada, iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti (74), Akta Institut Pengajian Tinggi Swasta (555), Akta Institusi Institusi Pelajaran (174) dan Akta Universiti Teknologi Mara (173).

6. PENUBUHAN KESATUAN MAHASISWA NASIONAL DAN KESATUAN MAHASISWA DI UNIVERSITI AWAM DAN SWASTA

Mewujudkan ‘taskforce’ penubuhan Kesatuan Mahasiswa Nasional dan Kesatuan Mahasiswa di Universiti Awam dan Swasta. Kesatuan perlu diletakkan setara dengan Universiti dan bukan di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP). Autonomi Kesatuan Mahasiswa dipelihara melalui peletakkan kesatuan di bawah Akta Kesatuan atau Akta Pertubuhan.

7. PENDIDIKAN TINGGI PERCUMA UNTUK GOLONGAN B40 DAN SUBSIDI PENDIDIKAN TINGGI UNTUK GOLONGAN M40

Mengkaji semula subsidi pendidikan dengan melaksanakan polisi subsidi pendidikan yang lebih bersasar dan saksama berdasarkan kelas ekonomi. Ini merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan pendidikan percuma untuk semua bermula di institusi pengajian tinggi awam. Ini termasuklah menghapuskan caj upah pembayaran semula PTPTN ke arah serta menyemak semula keberkesanan PTPTN.

KESELAMATAN SOSIAL DAN EKONOMI

8. INSENTIF SUBSIDI PERBELANJAAN UNTUK MAHASISWA

Insentif #SiswaMalaysia akan menjadi insentif bersasar pelbagai guna meliputi subsidi kepada semua perkhidmatan termasuklah pengangkutan awam, kesihatan dan perbelanjaan seharian mahasiswa. Insentif ini juga boleh berfungsi sebagai skim perlindungan takaful mahasiswa dan mempunyai ciri pintar pelaburan.

9. POLISI KEBOLEHPASARAN GRADUAN YANG LEBIH ADIL

Menambah peruntukan program PROTEGE dan MySTEP sesuai dengan peratus pengangguran semasa yang tinggi, dan mampu selesaikan sekurang-kurangnya 30% kadar pengangguran graduan.

10. INISIATIF #RUMAHSEWASISWA

Kerajaan digesa melaksanakan projek-projek perumahan yang boleh dijadikan sebagai hab buat para mahasiswa sebagai rumah sewa bagi menangani masalah kekurangan penempatan dalam universiti.

11. PERLINDUNGAN UNTUK PELAJAR LATIHAN INDUSTRI

Menggunakan kuasa Menteri yang termaktub dalam fasal 2B Akta Kerja 1955 untuk mengiktiraf pelajar latihan industri atau intern dalam golongan pekerja supaya mereka mendapat perlindungan dan manfaat yang setara dengan pekerja biasa seperti KWSP dan PERKESO.

12. INISIATIF MENANGANI KEMISKINAN HAID

Dana khusus bagi penyediaan perkhidmatan tuala wanita secara percuma di seluruh institusi pendidikan termasuklah sekolah, universiti, dan tandas awam seluruh negara.

13. KEBAJIKAN PEKERJA EKONOMI GIG

Mengiktiraf pekerja dalam sektor ekonomi gig sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955 dan semua caruman atau perlindungan sosial asas seperti KWSP, PERKESO dan mewajibkan Skim Insurans Pekerjaan.

14. PERLINDUNGAN KEPADA ALAM SEKITAR DAN USAHA TANGANI DARURAT IKLIM

Merangka Pelan Adaptasi Nasional yang bagi menumpukan sumber dalam usaha melindungi alam sekitar dan menangani darurat iklim dengan menyemak semula dasar-dasar kerajaan agar berteraskan ekonomi hijau.

15. DASAR INKLUSIF OKU

Menyemak semula Akta Orang Kurang Upaya serta Dasar Perlindungan OKU negara bagi memastikan golongan OKU mendapat akses pendidikan berkualiti dan kemudahan yang mesra OKU terutama di universiti serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

**********

Manifesto ini dikeluarkan secara bersama oleh:

  1. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
  2. Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI)
  3. Kesatuan Pelajar UIAM (KPUIAM)
  4. Universiti Malaya Students’ Union/ Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU)
  5. University Malaya Association of New Youth (UMANY)
  6. Pertubuhan Akademi Pendidikan Demokrasi Dan Kewarganegaraan Malaysia (APDK)
  7. Pertubuhan Literasi Eduko (EDUKO)
  8. Pertubuhan Institut Kepimpinan BITARA (Institut BITARA)
  9. Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Dar Al-Hikmah
  10. DEMOKRAT UNISZA
  11. DEMOKRAT UKM
  12. DEMOKRAT UM
  13. Mahasiswa ROKET
  14. Mahasiswa AMANAH
  15. Mahasiswa KEADILAN
  16. Pemuda Sosialis
  17. Sainspolitik 101
  18. Biro Mahasiswa Muda
  19. VIRTUE IIUM
  20. CONGRESS IIUM
  21. Ikatan Pelajar Islam Pahang (IKATAN)
  22. Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ)
  23. Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP)
  24. Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS)
  25. Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS)
  26. Persatuan Pembimbing Belia Islam Pulau Mutiara (PEMBIMBING)
  27. Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS)
  28. Persatuan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP)
  29. PKPIM Negeri Kedah
  30. PKPIM Negeri Terengganu
  31. PKPIM Negeri Kelantan
  32. PKPIM Negeri Sabah
  33. PKPIM Negeri Perlis

One thought on “15 tuntutan mahasiswa untuk PRU-15

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *