Lula da Silva, calon daripada blok parti politik berhaluan kiri, berjaya meraih undi terbanyak dalam pengundian pusingan pertama Pilihanraya Presiden Brazil yang agak sengit, mendahului Jair Bolsonaro, calon daripada puak pelampau kanan yang merupakan penyandang jawatan Presiden Brazil pada masa kini. Persaingan antara politik kiri dan politik kanan dijangka akan lebih sengit lagi dalam pengundian pusingan kedua Pilihanraya Presiden Brazil.

Pilihanraya umum Brazil telah diadakan pada 2 Oktober 2022, untuk memilih Presiden, Naib Presiden dan perwakilan dalam Kongres Kebangsaan (iaitu Parlimen Persekutuan Brazil). Pilihanraya untuk Gabenor bagi 26 buah negeri dan perwakilan dalam Dewan Perundangan Negeri juga diadakan pada hari yang sama.  

Dengan 99.99% undian yang sudah dikira, Luiz Inácio Lula da Silva, calon daripada Parti Pekerja (PT) yang pernah menjadi Presiden Brazil selama 2 penggal dari tahun 2003 hingga 2010, telah meraih sebanyak lebih 57 juta undi, bersamaan dengan 48.30% undian, membolehkannya menduduki tangga pertama dalam kalangan 11 orang calon yang bertanding untuk jawatan Presiden Brazil. Pesaing terdekatnya ialah Jair Bolsonaro yang hendak terus berkuasa untuk penggal keduanya. Bolsonaro meraih sebanyak 51 juta undi (bersamaan 43.20%). Lula da Silva mendahului Bolsonaro sebanyak 6 juta undi. Namun, oleh sebab Lula tidak dapat memperoleh lebih 50% undian yang membolehkannya terus menang dalam pusingan pertama, beliau akan bertembung dengan Bolsonaro dalam pengundian pusingan kedua yang akan diadakan pada 30 Oktober 2022.

Perhimpunan penyokong Lula. (foto: Ricardo Stuckert)

Lula mendapat sokongan daripada gabungan politik berhaluan kiri yang dikenali sebagai “Persekutuan Harapan Brazil” (FE Brasil) yang dibentuk oleh Parti Pekerja (PT), Parti Komunis Brazil (PCdoB) dan Parti Hijau (PV). Lula juga disokong oleh parti-parti lain seperti Parti Sosialis Brazil (PSB), gabungan Parti Sosialisme dan Kebebasan dengan Rangkaian Kelestarian (PSOL REDE), Solidariedade dan sebagainya. Calon Naib Presiden yang berganding bahu dengan Lula ialah Geraldo Alckmin daripada PSB yang pernah memegang jawatan Gabenor Negeri São Paulo sebanyak 4 penggal.

Lula merupakan seorang tokoh perjuangan kelas pekerja Brazil Brazil semasa gelombang mogok pekerja pada tahun 1978 dan 1979, yang memainkan peranan penting dalam menamatkan pemerintahan kediktatoran tentera di Brazil pada tahun 1980-an. Lula menang dalam Pilihanraya Presiden Brazil pada tahun 2002 dengan platform yang bersifat reformis tetapi menjanjikan pembaharuan yang dapat memperbaiki kehidupan rakyat bawahan Brazil. Semasa Lula menjadi Presiden Brazil pada tahun 2003-2010, beliau telah memperkenalkan beberapa program sosial yang bertujuan untuk memperbaiki kehidupan kelas pekerja dan rakyat bawahan di Brazil, termasuk Fome Zero (program pembasmian kelaparan dan kemiskinan tegar) dan Bolsa Família (bantuan kewangan kepada isi rumah miskin). Lebih 20 juta orang membebaskan diri daripada keadaan kemiskinan tegar hasil daripada dasar pentadbiran Lula selama 8 tahun. Pengganti Lula, Dilma Rousseff, dijatuhkan pada tahun 2016 dalam manipulasi politik yang dilakukan oleh golongan berhaluan kanan.

Selepas golongan kanan merampas kuasa di Brazil, Lula telah dijatuhkan hukuman penjara pada tahun 2017 atas pertuduhan korupsi yang berbaur politik dan tidak mempunyai bukti kukuh. Jair Bolsonaro, seorang ahli politik pelampau kanan yang mengagumi zaman pemerintahan kediktatoran tentera di Brazil pada tahun 1964-1985 dan dianggap sebagai Donald Trump versi Brazil, telah menang dalam Pilihanraya Presiden Brazil pada tahun 2018. Pemerintahan Bolsonaro selama 4 tahun yang lalu, menyaksikan penularan politik perkauman, pelaksanaan dasar yang memangsakan rakyat miskin, kemusnahan alam sekitar (seperti kebakaran Hutan Amazon), korupsi yang berleluasa, keganasan politik dan kegagalan kerajaan dalam menangani krisis pandemik COVID-19. Setakat bulan Oktober 2022, sebanyak lebih 34 juta kes jangkitan COVID-19 terkumpul yang disahkan di Brazil dengan kematian mencecah lebih 686 ribu, menjadikan Brazil sebagai negara dengan jumlah kes COVID-19 terkumpul yang ketiga terbesar di dunia (selepas Amerika Syarikat dan India) dan negara dengan jumlah kematian COVID-19 yang kedua tertinggi di dunia (di belakang Amerika Syarikat).

Keputusan pengundian yang menggalakkan untuk Lula telah memberi harapan baharu kepada rakyat Brazil untuk mengubah haluan negara itu daripada kehancuran yang dibawa oleh pemerintahan Bolsonaro. Namun demikian, cabaran untuk Lula dan golongan kiri di Brazil masih amat besar. Walaupun Lula mendahului dalam pengundian pusingan pertama untuk Pilihanraya Presiden, tetapi beliau dijangka akan menghadapi persaingan yang sengit daripada puak berhaluan kanan yang cuba menghalang kemenangannya. Sejak kempen pilihanraya bermula pada bulan Ogos 2022 malah sebelum itu, Bolsonaro sendiri telah berulang kali menghasut penyokong-penyokongnya untuk menggunakan keganasan terhadap pengkritiknya. Sudah berlakunya peristiwa penyokong Lula dibunuh oleh penyokong Bolsonaro. Keganasan politik mungkin menjadi lebih teruk pada ketika Brazil menuju pengundian pusingan kedua, kerana penyokong-penyokong Bolsonaro sudah pasti akan terus menggunakan keganasan untuk menakut-takutkan pihak lawan. Tambahan pula, banyak calon berhaluan kanan yang menyokong Bolsonaro juga dipilih sebagai gabenor dan wakil rakyat dalam Kongres Kebangsaan.  

Lula dan pasukannya bertekad untuk meningkatkan usaha berkempen supaya dapat menang dalam pusingan kedua. Pertarungan akan menjadi lebih sengit tetapi harapan untuk kiri menang agak besar.

One thought on “Pilihanraya Presiden Brazil: Lula dahului Bolsonaro dalam pusingan pertama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *