Lula da Silva, calon daripada Parti Pekerja (PT), berjaya menewaskan Jair Bolsonaro, penyandang jawatan Presiden Brazil yang merupakan seorang politikus pelampau kanan, dalam persaingan pengundian pusingan kedua yang amat sengit untuk Pilihan Raya Presiden Brazil.

Pilihan Raya Presiden Brazil yang terbaru ini dikatakan salah satu pilihan raya yang paling penting dalam sejarah negara itu, kerana ia melibatkan pertembungan antara gerakan politik kiri yang demokratik dengan golongan pelampau kanan yang hendak menghancurkan demokrasi di negara itu.

Pengundian pusingan kedua untuk Pilihan Raya Presiden Brazil telah diadakan pada 30 Oktober 2022, dengan menyaksikan pertembungan antara Lula dan Bolsonaro untuk menentukan hala tuju negara yang terbesar di rantau Amerika Latin. Lula berjaya meraih sebanyak lebih 60 juta undi, bersamaan 50.9% undian, membolehkannya menewaskan Bolsonaro yang memperoleh 49.1% undian. Lula merupakan calon yang mendapat undi terbanyak dengan memperoleh 48.43% undian dalam pengundian pusingan pertama pada 2 Oktober 2022. Pengundian pusingan kedua diadakan selepas tiada calon memperoleh 50% tambah satu undi yang diperlukan untuk menang dalam pengundian pusingan pertama. Sebanyak 79.42% daripada lebih 156 juta orang pengundi Brazil keluar mengundi dalam pengundian pusingan kedua.

Ribuan orang orang turun ke jalanan untuk meraikan kemenangan Lula. Keputusan Pilihan Raya Presiden yang terbaru ini menandakan kebangkitan semula Lula yang menakjubkan yang membawa harapan baharu untuk mewujudkan sebuah negara Brazil yang progresif. Hanya beberapa tahun yang lalu, Lula dipenjarakan atas pertuduhan korupsi yang tidak mempunyai bukti kukuh tetapi keputusan mahkamah tersebut telah dibatalkan kemudian. Pendakwaan dan penyabitan kesalahan Lula pada masa itu merupakan tindakan bermotifkan politik oleh golongan berhaluan kanan untuk mematikan politik kiri di Brazil.

Lula yang merupakan seorang bekas pemimpin kesatuan pekerja, pernah menyandang jawatan Presiden Brazil selama dua penggal pada tahun 2003-2010 dan lebih 20 juta orang membebaskan diri daripada keadaan kemiskinan tegar hasil daripada dasar pentadbirannya selama 8 tahun itu. Namun, kerajaan yang diterajui oleh pengganti Lula, iaitu Dilma Rousseff, dijatuhkan pada tahun 2016 dalam manipulasi politik yang dilakukan oleh golongan berhaluan kanan. Kuasa pemerintahan jatuh dalam tangan Bolsonaro yang merupakan seorang politikus pelampau kanan selepas dia menang dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2018. Kemenangan Lula yang menewaskan Bolsonaro menyuntik harapan baharu untuk menamatkan segala bencana yang dibawa semasa pentadbiran Bolsonaro.

Lula telah berkempen dengan slogan “kembalikan harapan kepada Brazil” dan berjanji untuk merespon kepada keperluan terdesak rakyat Brazil, di samping memulihkan hak-hak sosial dan ekonomi yang dihilangkan sepanjang 6 tahun lalu di bawah kerajaan yang berhaluan kanan. Kempen pilihan raya Lula telah digerakkan secara aktifnya oleh golongan kiri, gerakan-gerakan rakyat, kesatuan-kesatuan sekerja dan kumpulan-kumpulan progresif di seluruh negara Brazil.

Pemerintahan Bolsonaro sepanjang 4 tahun yang lalu merupakan malapetaka kepada rakyat bawahan di Brazil, dengan banyak program kebajikan telah dilemahkan dan sistem kesihatan mengalami kemerosotan, di samping kemusnahan alam sekitar, korupsi dan keganasan politik yang berleluasa. Golongan berhaluan kanan juga semakin agresif dalam melancarkan serangan ke atas rakyat biasa. Sepanjang kempen pilihan raya umum yang terbaru ini, golongan berhaluan kanan yang menyokong Bolsonaro telah menyebar pelbagai berita palsu dan menggunakan ancaman keganasan untuk menakut-takutkan rakyat Brazil. Walau bagaimanapun, rakyat Brazil telah berjaya menghalang Bolsonaro daripada terus berkuasa.

Kemenangan Lula dalam Pilihan Raya Presiden Brazil yang terbaru ini merupakan satu pencapaian yang penting dalam perjuangan rakyat Brazil untuk menegakkan demokrasi dan mewujudkan sebuah masyarakat yang sejahtera. Namun, ancaman daripada golongan berhaluan kanan masih besar. Perbezaan undian antara Lula dan Bolsonaro dalam pusingan kedua hanya 1.8 titik peratusan, iaitu lebih kurang 6 juta undi daripada lebih 118 juta undi yang sah. Selain itu, Parti Liberal, parti berhaluan kanan yang menyokong Bolsonaro, muncul sebagai parti yang memperoleh kerusi terbanyak dalam Dewan Perwakilan, iaitu 99 daripada 513 kerusi, sementara “Persekutuan Harapan Brazil” yang menyokong Lula hanya memperoleh 79 kerusi. Kerajaan pimpinan Lula yang akan mengambil alih kuasa pada 1 Januari 2023 nanti pasti akan berdepan dengan cabaran daripada golongan berhaluan kanan yang hendak menyekat usaha membangunkan alternatif baharu bagi rakyat Brazil.

One thought on “Brazil: Lula menang dalam Pilihan Raya Presiden

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *