oleh Karthiges Rajamanickam
Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) membantah tindakan majikan Ladang Windsor, yang terletak di Kamunting, Perak, iaitu Malakoff Corporation, yang melakukan pengusiran paksa melalui tindakan mahkamah terhadap tiga orang pekerja ladang yang menuntut Skim Perumahan Ladang.
Pada 22 September 2022, pihak mahkamah yang diiringi lebih 40 orang anggota polis telah mengosongkan rumah pekerja Ladang Windsor yang sudah mencapai umur 60 tahun dan enggan keluar dari kuarters ladang. 3 orang pekerja ladang tersebut, bersama dengan semua pekerja ladang yang lain, telah menuntut pelaksanaan Skim Perumahan dan memohon agar pihak majikan tidak melakukan pengusiran sehingga melaksanakan skim tersebut.
Tuntutan skim perumahan untuk pekerja ladang ialah tuntutan umum Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) yang mana turut dianggotai oleh pekerja-pekerja Ladang Windsor ini. Pekerja-pekerja ladang ini telah menulis surat permohonan tuntutan mereka kepada majikan sejak awal tahun 2020, namun majikan enggan mendengar tuntutan mereka. Malah, tuan tanah melalui agen pengurusan ladangnya, pernah memotong bekalan air dan elektrik bekas pekerjanya yang enggan mengosongkan rumah.
Selepas mendapat bantahan keras daripada semua pekerja dan jelas telah melangkaui batas, maka majikan melalui agen pengurusannya, mengheret pekerja-pekerja ke mahkamah. Para pekerja kalah di mahkamah kerana Skim Perumahan Masyarakat Ladang hanya dijadikan polisi oleh Tun Razak pada satu ketika dahulu dan tidak dijadikan undang-undang. Akhirnya, pada 22 September 2022, barangan rumah mereka dipunggah keluar dan rumah yang dihuni mereka lebih tiga generasi telah dikunci oleh bailif mahkamah.
JSML menyeru pada Kerajaan Malaysia supaya mencampurtangan dengan segera dalam isu pengusiran pekerja Ladang Windsor ini dan memaksa tuan tanah untuk duduk di meja perundingan serta mencari jalan untuk menyelesaikan masalah mereka. Pekerja yang diusir mengambil keputusan untuk tidak keluar dari tanah ladang ini dan akan mendirikan khemah di hadapan ladang dan memperjuangkan tuntutan mereka. Pekerja-pekerja lain bersama-sama berikrar untuk menyokong mereka.
==========
Karthiges Rajamanickam ialah Penyelaras Nasional Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML).
3 thoughts on “JSML bantah tindakan majikan Ladang Windsor usir pekerja secara paksa”