oleh Sivarajan Arumugam

Pada petang ini 8 Julai 2022, para pekerja Ladang Elmina di Sungai Buloh, Selangor, akhirnya menandatangani perjanjian jual beli bagi perumahan mereka. Rumah yang bakal diperolehi mereka ini sungguh istimewa, iaitu Rumah Selangorku Jenis C, Pangsapuri Harmoni Elmina yang sedang dibina di lokasi yang sama dengan tempat yang mereka telah tinggal dan membanting tulang selama 3 generasi sebagai pekerja Ladang Elmina.

Satu lagi perkara yang istimewa ialah, rumah yang bernilai RM200,000 dengan keluasan 900 kaki persegi ini ditawarkan kepada pekerja ladang dengan harga RM20,000 (10% daripada nilai asal)!

Walaupun PSM telah lama mengenali pekerja Ladang Elmina ini, tetapi ramai yang telah meninggalkan ladang ini, apabila generasi pekerja meninggal dunia atau mereka ikut anak-anak mereka untuk berpindah ke bandar. Hanya 14 orang pekerja sahaja yang telah kekal di ladang tersebut pada ketika mereka diberikan notis pengusiran oleh syarikat Sime Darby.

Pada peringkat awalnya, pihak Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) dan Ahli Parlimen Subang/Sungai Buloh telah melibatkan diri dalam proses membuat suatu perjanjian dengan Sime Darby. Apabila pekerja enggan keluar dari ladang tersebut kerana tidak berpuas hati dengan terma perjanjian tersebut, Sime Darby telah mengambil perintah mahkamah untuk mengusir para pekerja ladang.

Pada sekitar tahun 2017, pekerja-pekerja Ladang Elmina telah menghubungi Pejabat PSM Kota Damansara di Subang untuk membantu mereka. PSM telah mendapatkan bantuan daripada peguam Ragunath Kesavan untuk mewakili mereka di mahkamah sementara PSM mengadakan perbincangan dengan Sime Darby bagi pihak 14 orang pekerja itu. Akhirnya satu perjanjian tambahan “Settlement Agreement” dibuat yang memberikan kepastian bahawa mereka layak menduduki sebuah kuarters staf kilang ladang sebagai penempatan sementara sehingga perumahan mereka dibina. Perjanjian itu juga menyatakan bahawa pekerja akan ditawarkan rumah kos rendah berharga RM42,000 yang akan dibina di satu lot pembangunan Ladang Elmina dan perjanjian jual beli akan ditandatangani.

Dengan perjanjian baharu ini yang memberikan kepastian perumahan sendiri, 14 orang pekerja ladang berkenaan telah pindah ke kuarters staf kilang (yang merupakan rumah semi-D, yang biasanya dikhususkan kepada staf dan kerani ladang).

Pada awal tahun 2021, Sime Darby menghubungi kami di PSM, dan memberitahu bahawa mereka ada satu tawaran baharu. Dalam satu pembentangan powerpoint yang menarik di pejabat jualan “show house” di tapak projek Elmina Sime Darby, pekerja ladang ditawarkan untuk membeli rumah Pangsapuri Harmoni Jenis C, berkeluasan 900 kaki persegi, dengan harga RM178,000 atau menerima pampasan tunai sebanyak RM80,000 tanpa rumah.

Oleh kerana perjanjian penyelesaian yang dibuat pada tahun 2018 jelas menyatakan bahawa mereka akan ditawarkan rumah RM42,000 dan subsidi daripada Sime Darby ialah sebanyak RM 22,000, maka sepatutnya pekerja hanya perlu membayar RM20,000 untuk rumah mereka. Justeru, pekerja-pekerja telah berdiri teguh dan menyatakan bahawa mereka sedia menerima rumah Pangsapuri Harmoni Jenis C itu hanya jika ianya ditawarkan dengan harga RM20,000 sahaja.

Oleh kerana lokasi yang sedang diduduki oleh pekerja ladang sekarang, iaitu kuarters kilang Sime Darby, diperlukan untuk pembangunan, maka Sime Darby membuat keputusan untuk akur pada permintaan pekerja dan menawarkan rumah bernilai RM200,000 pada harga RM20,000.

Syabas kepada perjuangan pekerja Ladang Elmina.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan pemimpin PSM Cawangan Subang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *