IPOH, PERAK – 4 JULAI 2022: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan satu memorandum yang mengandungi cadangan-cadangan untuk mengawal kenaikan harga makanan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Ipoh pada hari ini. Memorandum yang ditujukan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sekuriti Makanan tersebut mengemukakan empat syor utama kepada Kerajaan Malaysia, iaitu:

  1. Mengawal harga siling sebahagian barangan makanan;
  2. Memberi bantuan wang tunai kepada keluarga B40;
  3. Menghentikan pengusiran terhadap pengeluar makanan (seperti nelayan dan petani kecil);
  4. Mengambil bahagian secara aktif dalam usaha membangkitkan tekanan antarabangsa untuk menghentikan perang di Ukraine yang mewujudkan krisis makanan.

Turut hadir semasa penyerahan memorandum ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM. Memorandum ini diterima oleh Mohamed Aznan Shah bin Khalid, Pegawai Penguatkuasa di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

**********

(Berikut ialah kandungan penuh memorandum yang ditujukan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sekuriti Makanan)

Kami, ahli dan penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM), ingin menyampaikan empat syor yang penting serta praktikal untuk mengawal harga barangan makanan yang sedang melambung naik dan menyebabkan banyak kesusahan dalam kalangan rakyat kita.

1. Menggunakan kaedah siling harga untuk mengawal harga beberapa jenis makanan

Besar kemungkinannya bahawa segelintir pengedar dan peruncit barangan makanan akan cuba mempergunakan kekangan dalam bekalan makanan sebagai kesempatan untuk meningkatkan harga secara mendadak untuk mengaut untung yang tinggi. Ini boleh digelar “pencatutan” (profiteering) dan ianya akan digalak jika kerajaan mengamalkan polisi yang membiarkan harga terapung (price float) secara bebas. Jadi, adalah penting untuk mewujudkan siling harga untuk beberapa barangan makanan utama yang harga mereka telah naik lebih daripada 50% berbanding 6 bulan sebelum ini.

Namun, harga siling harus ditetapkan secara berhemah selepas mengambil kira kos sebenar membekalkan makanan itu. Bekalan semua jenis makanan di pasaran Malaysia adalah melalui rantaian bekalan di mana semua ejen yang terlibat – pengeluar, pemborong, pihak yang mengangkut dan peruncit – mengambil bahagian kerana mencari rezeki. Jika siling harga adalah terlalu ketat, maka beberapa ejen dalam rantaian itu akan mengundur dan bekalan barangan makanan itu akan disekat lagi, dan merunsingkan masalah kekurangan makanan.  Jadi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus sentiasa memantau rantaian-rantaian bekalan makanan supaya memastikan insentif untuk melibatkan diri dalam rantaian bekalan makanan tidak dihapuskan sama sekali oleh kawalan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan.

2. Bantuan wang tunai untuk keluarga B40

Harga makanan telah dan akan naik akibat kekangan dalam rantaian bekalan baja, dedak ternakan dan peningkatan kos pengangkutan. Pada keseluruhannya, harga makanan sudah naik lebih daripada 20% dalam 6 bulan yang lalu. Berdasarkan anggaran bahawa sebuah keluarga dengan 2 orang dewasa dan 2 orang anak berbelanja RM1,000 sebulan dalam makanan pada tahun lalu, PSM ingin mengesyorkan bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan (20% daripada kos makanan keseluruhannya) dipindahkan ke akaun ibu dalam setiap keluarga B40 untuk enam bulan yang akan datang. Ini akan banyak membantu keluarga-keluarga dengan pendapatan di bawah RM4,300 sebulan.

Peruntukan yang perlu untuk skim ini ialah: RM200 x 2.7 juta keluarga B40 = RM 540 juta sebulan. Sejumlah RM3.24 bilion dalam tempoh enam bulan.

3. Moratorium ke atas pengusiran terhadap pengeluar makanan

Langsung tidak masuk akal untuk mengusir sesiapa yang merupakan pembekal makanan pada masa ini apabila kita diancam oleh masalah kekurangan bekalan makanan. Tetapi ini sedang berlaku di beberapa sektor:

  • Pekebun sayur dan penternak ikan air tawar di 12 buah kawasan di negeri Perak sedang mengalami tekanan untuk mengosongkan tanah yang sedang diusahakan mereka oleh syarikat swasta, syarikat kerajaan (GLC seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak – PKNP) dan Pejabat Tanah Kinta.
  • Nelayan di Selatan Pulau Pinang, termasuk penternak ikan yang menggunakan sangkar untuk memelihara ikan laut, diancam oleh rancangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk meneruskan projek penambakan laut dan mewujudkan 3 buah pulau buatan baharu di Selatan Pulau Pinang. Adalah dijangka bahawa pencemaran air dan pemusnahan kawasan pembiakan ikan akan melumpuhkan industri perikanan dari Pulau Pinang ke Pangkor, Perak.
  • Penternak lembu yang merupakan bekas pekerja ladang yang masih menggunakan tanah ladang sebagai kawasan ragut untuk lembu mereka sedang menghadapi tekanan daripada Sime Darby yang ingin mengamalkan polisi “sifar lembu”.

Adalah amat penting untuk segala bentuk pengusiran terhadap pekebun sayur, nelayan dan penternak dihentikan dengan segera. Kita sedang menghadapi krisis makanan dan ini bukan masanya memusnahkan sumber makanan tempatan! Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sekuriti Makanan harus mengaturkan persidangan Majlis Tanah Negara (seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan) supaya keputusan boleh diambil oleh pemimpin semua negeri dalam Persekutuan untuk menghentikan segala bentuk pengusiran dan gangguan terhadap pengeluar makanan tempatan sehingga krisis makanan dapat diatasi.

4. Menangani punca utama krisis makanan terkini

Punca utama untuk kekangan dalam bekalan makanan pada masa ini ialah Perang Ukraine dan sekatan ekonomi (sanctions) yang telah dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Rusia. Rusia ialah negara terbesar dari segi keluasan tanahnya dan merupakan pembekal utama untuk gandum, minyak sayuran, jagung dan beberapa bahan makanan lagi. Ia juga ialah pengeluar lebih kurang 15% daripada minyak dan gas asli di dunia. Kekurangan minyak petroleum meningkatkan kos minyak, dan oleh itu kos pengangkutan juga telah naik secara mendadak.    

Krisis kenaikan harga barang dan kekurangan makanan tidak akan dapat diatasi selagi perang di Ukraine berterusan. Malah, jika perang ini berterusan, ada risiko besar dunia akan terjunam ke dalam kegawatan ekonomi yang serius, dan seperti biasa, kekurangan makanan dan kegawatan ekonomi akan membawa impak yang teruk sekali kepada lapisan masyarakat yang berpendapatan rendah dan sederhana di seluruh dunia.

Malangnya, pada masa ini, ada puak-puak di Amerika Syarikat dan Eropah yang mahu perang ini dilanjutkan kerana mereka berharap perlanjutan perang akan melemahkan negara Rusia dan membolehkan suatu “revolusi warna” berlaku di negara itu. Tetapi strategi geopolitik ini akan membawa maut untuk ramai orang di negara Ukraine, menyusahkan rakyat biasa di seluruh dunia dan juga menimbulkan risiko perang nuklear.

Jadi, adalah amat penting untuk negara-negara di Dunia Ketiga untuk melancarkan kempen antarabangsa yang mendesak satu penyelesaian konflik melalui perbincangan pendamaian. Malaysia harus mengambil bahagian secara aktif dalam usaha membangkitkan tekanan antarabangsa untuk menghentikan perang di Ukraine. 

Kami berharap langkah-langkah yang disyorkan ini diambil berat oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sekuriti Makanan dan diamalkan secepat mungkin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *