PUTRAJAYA – 29 JUN 2022: Seorang pengawal keselamatan di hospital yang cuba membunuh diri kerana tekanan yang diberikan oleh majikan selepas dia membuat aduan mengenai tindakan majikan yang menjejaskan hak pekerja, walaupun dapat diselamatkan nyawanya, tetapi dibuang kerja pula oleh majikan. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mendedahkan perkara yang tidak berperikemanusiaan ini dan menggesa kerajaan untuk memberi perhatian serius mengenainya semasa menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kesihatan pada hari ini.

JPKK menggesa Kementerian Kesihatan untuk menyiasat tentang perkara ini dan membatalkan kontrak yang diberikan syarikat kontrator kawalan keselamatan di hospital yang membuli pekerjanya sehingga pekerja itu membunuh diri.

Mereka yang hadir bersama dengan pekerja yang dimangsakan itu semasa penyerahan memorandum pada hari ini termasuk S. Tinagaran (aktivis PSM Seremban), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi PSM) dan M. Sivaranjani (Penyelaras JPKK).

Apa yang berlaku pada pengawal keselamatan di Hospital Seremban?

Letchumy a/p Subramaniam ialah seorang pekerja wanita, berumur 43 tahun, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban, Negeri Sembilan, selama 8 tahun (bermula tahun 2014). Suaminya, Logeswaran a/l Subramaniam, berumur 43 tahun, juga bekerja di tempat kerja yang sama selama 3 tahun (bermula tahun 2019). Letchumi dan Logeswaran mempunyai 7 orang anak dalam tanggungan mereka, masing-masing berumur 19 tahun (sedang melanjutkan pelajaran di peringkat STPM), 18 tahun (baru habis SPM), 17 tahun (SPM tahun ini), 15 tahun (sedang belajar Tingkatan 3), 14 tahun (belajar Tingkatan 2), 13 tahun dan 9 tahun (Darjah 3).

Syarikat Progressive Allied Security Force Sdn Bhd telah memperoleh tender melalui Kementerian Kesihatan dan mula mengambilalih perkhidmatan kawalan keselamatan di Hospital Tuanku Ja’afar, iaitu tempat kerja Letchumy, pada bulan Disember 2020. Selepas mengambilalih perkhidmatan kawalan keselamatan di Hospital Tuanku Ja’afar, syarikat itu memperkenalkan peraturan kerja baharu yang mewajibkan semua pengawal keselamatan untuk mengambil waktu rehat selama 15 minit selang setiap 2 jam. Pengenalan amalan baharu ini telah memberi kesan yang merugikan pekerja dari segi jumlah gaji yang diperolehi mereka berbanding sebelum ini, kerana syarikat baharu itu mengurangkan bayaran gaji kerja lebih masa (OT) setiap hari berbanding syarikat lama. Syarikat Progressive Allied Security Force Sdn Bhd hanya membayar OT sebanyak 2 jam setengah setiap hari, sedangkan syarikat lama membayar OT sebanyak 4 jam sehari. Syarikat baharu itu juga mengarahkan bahawa pengawal keselamatan hanya boleh meninggalkan pos kawalan jika ada pengganti pada waktu rehat, tetapi hakikatnya perkara ini agak mustahil kerana syarikat tiada kemampuan untuk menyediakan pengganti yang khas untuk waktu rehat bagi semua pengawal keselamatan yang bekerja di hospital.

Pada bulan Februari 2021, pengawal keselamatan yang diupah oleh syarikat Progressive Allied Security Force Sdn Bhd mula menyedari bahawa gaji bulanan yang diterima mereka berkurangan dengan ketara berbanding bayaran gaji oleh syarikat lama (gaji OT kurang satu jam setengah setiap hari), di samping wujudnya pemotongan gaji yang tidak munasabah dan pengiraan gaji yang tidak masuk akal (seperti kerja pada hari cuti am tidak dibayar). Pengawal-pengawal keselamatan ini membangkitkan isu-isu ini kepada perhatian pegawai operasi syarikat, tetapi tiada apa-apa perubahan kecuali bayaran OT ditambahkan kepada 3 jam setiap hari (masih kurang sejam setiap hari berbanding bayaran gaji OT dahulu). Oleh yang demikian, pengawal-pengawal keselamatan yang diupah oleh Progressive Allied Security Force Sdn Bhd berkumpul di hadapan pejabat Pengarah Hospital pada 9 November 2021 untuk membuat aduan terhadap syarikat. Pengawal-pengawal keselamatan ini juga membawa isu mereka kepada perhatian Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan pada 10 November 2021.

Letchumy (kiri) dan Logeswaran (kanan).

Letchumy dan suaminya Logeswaran, sebagai wakil pekerja yang membuat aduan, telah hadir ke JTK Seremban untuk memberi keterangan. Namun, tiada apa-apa perkembangan yang positif di tempat kerja walaupun pekerja-pekerja diberitahu bahawa pihak JTK telah meminta pihak majikan untuk menyelesaikan semua baki gaji yang tidak dibayar (termasuk potongan gaji yang tidak wajar dan bayaran gaji hari rehat serta cuti umum yang kurang).

Selepas membuat aduan secara berkumpulan kepada perhatian Pengarah Hospital, Letchumy, Logeswaran dan seorang lagi pengawal keselamatan, Ganesan, telah diugut oleh pengarah syarikat Progressive Allied Security Force Sdn Bhd bahawa pihak syarikat boleh melakukan apa-apa sahaja terhadap pekerjanya. Pengarah syarikat itu juga mendakwa bahawa dia mempunyai hubungan politik, maka pekerja-pekerja tidak boleh berbuat apa-apa.

Pada 10 Februari 2022, Letchumy, Logeswaran dan Ganesan menerima surat tunjuk sebab daripada pihak syarikat, yang menyatakan bahawa ketiga-tiga orang pengawal keselamatan ini terlibat dalam “perhimpunan mogok haram pada 9 November 2021” dan “mempengaruhi pengawal-pengawal lain”. Pada 29 Mac 2022, satu sesi siasatan dalaman diadakan, di mana ketiga-tiga orang pengawal keselamatan berkenaan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh pihak syarikat. Tindakan tatatertib ini dikenakan ke atas pekerja-pekerja ini hanya kerana mereka mengadu masalah kepada Pengarah Hospital dan membuat aduan di JTK. Setiap pekerja berhak untuk membuat aduan di JTK, tetapi nampaknya hak ini telah dinafikan oleh syarikat kawalan keselamatan yang mengupah Letchumy dan suaminya.

Sejak 20 April 2022, pihak syarikat mula memberikan tekanan kepada pasangan suami isteri Logeswaran dan Letchumy, dengan taktik menukarkan pos kawalan keselamatan mereka. Penukaran lokasi kerja ini dikatakan sebagai “runner”, di mana mereka berdua terpaksa menjaga pos kawalan di beberapa lokasi yang berbeza dalam satu hari. Ini merupakan sejenis hukuman ke atas Letchumy dan Logeswaran.

Letchumy dan Logeswaran mempunyai masalah kesihatan yang kronik. Logeswaran mempunyai masalah urat kaki terputus selepas ditimpa kemalangan; sementara Letchumy juga mengalami masalah pengherniaan cakera spina selepas ditimpa kemalangan semasa bekerja di Hospital Tuanku Ja’afar pada tahun 2017 dan masih menjalani rawatan di Klinik Ortopedik. Pihak syarikat memang mengetahui tentang keadaan kesihatan mereka, namun masih hendak berbuat demikian terhadap mereka dengan niat memberi tekanan sehingga mereka berdua meletak jawatan sendiri dan menakut-takutkan pekerja-pekerja lain supaya tidak lagi berani membuat aduan terhadap pihak syarikat.

Tindakan pihak syarikat menjadikan Letchumy dan Logeswaran sebagai “runner” ini menyebabkan masalah kesihatan mereka berdua semakin teruk. Mereka terpaksa mengambil banyak cuti sakit. Pasangan suami isteri ini juga masih berada dalam proses pulih daripada penyakit COVID-19 yang dijangkiti pada bulan Mac 2022. Apabila mereka bertanya sebab kenapa mereka dijadikan “runner” sedangkan pihak syarikat mengetahui tentang masalah kesihatan mereka, mereka diugut pula oleh pegawai operasi bahawa mereka boleh diberhentikan kerja serta-merta jika mereka tidak sanggup bekerja di lokasi yang diarahkan oleh pihak syarikat.

Letchumy menerima dua pucuk surat amaran daripada pihak syarikat pada 28 April 2022, dan Logeswaran pula menerima sepucuk surat amaran. Satu lagi surat amaran dikeluarkan masing-masing kepada kedua-dua orang Letchumy dan Logeswaran pada 18 Mei 2022. Pihak syarikat tetap mengekalkan tuduhannya terhadap mereka berdua bahawa mereka mempengaruhi pengawal-pengawal keselamatan yang lain untuk melakukan “mogok haram”, dan mengatakan bahawa pegawai kanan yang dilantik oleh syarikat mempunyai kuasa untuk memindahkan pekerja ke mana-mana pos kawalan. Malah pihak syarikat mengatakan bahawa oleh sebab Letchumy dan Logeswaran membuat aduan di JTK tanpa berbincang dengan pihak pengurusan syarikat terlebih dahulu, maka syarikat itu tidak memerlukan pekerja seperti mereka. Adalah jelas bahawa pihak syarikat memang sengaja memangsakan pasangan suami isteri ini hanya kerana mereka menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap amalan syarikat yang mengeksploitasi pekerja.

Akibat tekanan demi tekanan yang diberikan oleh pihak majikan yang sengaja memangsakan pekerja ini, Letchumy yang mengalami gangguan emosi cuba membunuh diri dengan memakan pelbagai ubat tahan sakit dalam dos berlebihan dan meminum habis sebotol ubat batuk ketika dia bertugas pada 26 Mei 2022. Tindakan cuba membunuh diri ini menunjukkan bahawa Letchumy memang tidak dapat lagi bertahan dengan tindakan ketidakperikemanusiaan pihak syarikat yang memangsakannya dan suaminya. Walau bagaimanapun, adalah bernasib baik kerana tindakan Letchumy yang terdesak dan berputus asa ini disedari oleh rakan sekerjanya pada masa itu dan terus menghantar Letchumy ke wad kecemasan di hospital yang sama. Selepas dirawat di Unit Kecemasan, pihak hospital mendapati bahawa Letchumy tidak stabil dari segi mental dan dirujuk ke Unit Psikiatri untuk rawatan susulan.

Pihak syarikat yang memangsakan Letchumy itu langsung tidak mempedulikan insiden Letchumy yang dimasukkan ke dalam wad kecemasan. Tiada seorang pegawai daripada syarikat kawalan keselamatan itu datang berjumpa pasangan suami isteri Letchumy ini selepas mereka melalui satu peristiwa tragik yang hampir meragut nyawa. Apa yang memberangkan dan menyakitkan hati lagi adalah, Letchumy yang sudah ditekan habis-habisan sehingga cuba membunuh diri ini terus dibuang kerja oleh pihak syarikat yang tidak berhati perut.

Pada 30 Mei 2022, pegawai operasi syarikat menahan kad tebuk masuk kerja kedua-dua Letchumy dan Logeswaran, di samping memaksa mereka berdua untuk menandatangani surat amaran yang dikeluarkan pada 18 Mei 2022. Pegawai itu berkata pada mereka bahawa jika mereka tidak menandatangani surat tersebut, maka mereka akan diberhentikan kerja serta-merta. Letchumy dan Logeswaran terpaksa menandatangani surat amaran tersebut pada masa itu dengan menulis “dengan bantahan” di atas surat tersebut. Walaupun begitu, pada 31 Mei 2022, pihak syarikat masih mengeluarkan notis penamatan kerja kepada Letchumy dan menyuruh dia balik ke rumah.

Kementerian Kesihatan harus pandang serius kes pemangsaan pekerja ini

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan, JPKK meminta pada pihak Kementerian Kesihatan supaya memandang serius mengenai perkara ini. JPKK menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengambil tindakan segera, termasuk menamatkan kontrak yang diberikan kepada syarikat Progressive Allied Security Force Sdn Bhd kerana syarikat yang langsung tidak mempeduli pada hidup mati pekerja ini telah melanggar etika perkhidmatan dan gagal melindungi kebajikan pekerja-pekerjanya.

JPKK meminta Kementerian Kesihatan mencampurtangan supaya Letchumy diambil kerja semula dalam kadar segera dan semua surat amaran yang diberikan pasangan suami isteri Letchumy itu ditarik balik.

JPKK juga menuntut pada Kementerian Kesihatan supaya mewujudkan satu jawatankuasa kerja untuk memantau sama ada kebajikan setiap pekerja yang diupah oleh syarikat yang menerima tender daripada Kementerian Kesihatan itu dijaga atau tidak.

“Kementerian Kesihatan juga harus mewujudkan satu garis panduan yang standard kepada semua syarikat kontraktor supaya perkara sebegini tidak akan berulang pada mana-mana pekerja pada masa hadapan,” kata Tinagaran semasa menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kesihatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *