oleh Geetha Anbalagan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah kenyataan daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) baru-baru ini yang mencadangkan bahawa gaji bagi pekerja yang memilih untuk bekerja dari rumah atau “work from home” (WFH) dikurangkan sebanyak 10% hingga 12%.

Kenyataan ini jelas mencerminkan kerakusan golongan kapitalis yang hanya mengutamakan keuntungan dan gagal memahami realiti pekerja hari ini di Malaysia. Kita juga tidak hairan kerana mereka tidak menyokong apa jua penambahbaikan kepada pekerja seperti penetapan gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei 2022 ini.

MEF sepatutnya lebih memahami kelebihan WFH bagi para pekerja dari segi kesihatan mental, emosi dan juga fizikal. Kebanyakan mereka yang bekerja dari rumah, ialah mereka yang terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas untuk sampai ke pejabat, sesuatu kebiasaan di sekitar bandaraya besar seperti Kuala Lumpur.

Rancangan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam masih tidak memadai. Walaupun MRT dan LRT telah dibina, ramai pekerja masih mengalami masalah dalam menggunakan kemudahan ini disebabkan kesesakan jalan raya yang mengakibatkan bas perantara tidak mengikuti masa yang ditetapkan. Ini memaksa para pekerja membazirkan masa dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja. Masa ini patut diluangkan bersama keluarga mereka, untuk beriadah atau berehat. Tiada satu majikan pun yang mengambil kira masa perjalanan tambahan ini sebagai waktu bekerja.

Tidakkah MEF sedar bahawa, ramai pekerja menampung kos yang tinggi untuk membeli atau menyewa kediaman sehampir yang mungkin dengan tempat kerja mereka? Kos sewaan atau hartatanah yang tinggi berhampiran dengan tempat kerja mereka tidak ditanggung oleh majikan. Maka bagi mereka yang hanya mampu tinggal berjauhan dari tempat kerja, perjalanan mengambil masa beberapa jam untuk ulang alik dari rumah ke tempat kerja. Tambahan pula dengan kesesakan jalan raya dan kejadian banjir kilat yang kerap di bandaraya.

MEF turut berbincang tentang pengurangan atau pemotongan penuh elaun perjalanan pekerja. Ini adalah tidak adil untuk pekerja di kebanyakan syarikat yang menggunakan alasan elaun tambahan tersebut sebagai sebahagian daripada gaji keseluruhan pekerja tanpa menyumbang kepada KWSP mereka. Jikalau MEF ingin memotong elaun ini, adalah perlu untuk mereka juga meningkatkan gaji pekerja untuk mengimbangkan impak terhadap para pekerja.

Menurut Kisi Work-Life Balance Report 2020, golongan pekerja di Malaysia berada di tangga keempat paling banyak menghabiskan masa dalam bekerja antara 50 buah negara yang disenaraikan. Ini bermakna bahawa, walaupun ramai pekerja bekerja dari rumah (WFH), tiada impak kepada produktiviti. Sebaliknya ianya menjimatkan kos bagi majikan, kerana kurang membayar bil utiliti pejabat dan sewaan pejabat.

Maka dengan tahap produktiviti yang tidak menurun, dan kos pejabat pula berkurangan, apakah rasionalnya majikan memotong gaji pekerja?! Tambahannya pula, kini kos pejabat dipindahkan kepada pekerja pula, apabila kegunaan elektrik , air dan internet di rumah mereka meningkat kerana bekerja dari rumah.

Bekerja dari rumah juga bermaksud bahawa majikan mengeksploitasi masa kerja melebihi 8 jam sehari daripada pekerja tersebut tanpa keperluan membayar gaji kerja lebih masa (overtime) kepada mereka.

Dengan pelbagai penjimatan yang dinikmati oleh majikan apabila pekerjanya bekerja dari rumah, maka cadangan MEF untuk memotong gaji adalah hanya untuk memaksimumkan keuntungan dengan merampas hasil tenaga kerja daripada pekerja mereka.

MEF sepatutnya lebih memahami bahawa para pekerja adalah aset utama semua industri, dan hak mereka haruslah dipertahankan. MEF harus mencampakkan cadangan mereka, malah meningkatkan gaji pekerja kerana peralihan kos utiliti dari pejabat ke rumah. Bekerja dari rumah (WFH) juga harus digalakkan untuk mengurangkan tekanan emosi dan mental yang dialami ramai pekerja disebabkan pelbagai isu yang disebut di atas.

==========

Geetha Anbalagan ialah anggota Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *