oleh Muhammad Isa Bin Nahoo Gani

Seramai 528 orang tahanan Rohingya melarikan diri dari pusat tahanan imigresen di Utara Semenanjung Malaysia pada awal pagi semalam (20 April 2022), dan 6 daripada mereka terbunuh ketika cuba menyeberangi Lebuhraya Utara-Selatan.

(foto: BERNAMA)

Saya rasa amat berdukacita dengan keadaan yang dihadapi oleh pelarian Rohingya. Rentetan insiden ini mengundang pelbagai persoalan dan menjadi topik trending di media sosial. Lebih menyakitkan hati apabila melihat komentar sesetengah netizen. Antara komen-komennya, “hantar balik semua”, “puak binatang”, “menyusahkan”, “beban”, dan lain-lain lagi. Di manakah nilai kemanusian rakyat Malaysia? Tidak dinafikan bahawa memang terdapat netizen yang melahirkan rasa simpati dan kasihan dengan nasib pelarian-pelarian ini yang ditolak dan mengharapkan belas kasihan negara-negara lain.

Setiap hari, di seluruh dunia, adanya manusia membuat salah satu keputusan yang paling sukar dalam hidup mereka, iaitu meninggalkan negara mereka untuk mencari kehidupan yang lebih selamat dan lebih baik. Berjuta-juta orang melarikan diri daripada konflik bersenjata atau krisis atau keganasan lain. Ada yang tidak lagi berasa selamat dan mungkin telah menjadi sasaran hanya kerana siapa mereka atau apa yang mereka lakukan atau percaya – contohnya, untuk etnik, agama, seksualiti atau pendapat politik mereka.

Perjalanan ini, yang semuanya bermula dengan harapan untuk masa depan yang lebih baik, berakhir dengan ketakutan. Wujud risiko untuk mereka menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan bentuk eksploitasi lain. Ada yang ditahan oleh pihak berkuasa sebaik tiba di negara baharu. Mereka ditempatkan di pusat tahanan sementara.  Bagi yang membina kehidupan baharu pula, ramai yang menghadapi masalah penindasan perkauman, xenofobia dan diskriminasi setiap hari.

Isu pelarian di negara Malaysia khasnya harus ditangani dengan menggunakan prinsip dan pendekatan persaudaraan serta nilai kemanusiaan sejagat. Amat dikesali dengan kejahilan dan sentimen membenci serta berprasangka terhadap pelarian yang memohon pelindungan, di mana mereka telah dilayani dengan sikap negatif dalam kalangan sebilangan warga masyarakat Malaysia.

Malaysia harus mengusahakan perbincangan bersama negara anggota ASEAN lain bagi membolehkan usaha tanggungjawab membantu pelarian itu dikongsi bersama. Selain itu, Malaysia harus mendesak ASEAN untuk mengadakan perbincangan dengan Myanmar mengenai nasib Rohingya dan tuntutan mereka untuk sebuah kampung halaman yang selamat di negeri Rakhine.

Untuk sekian lama, masyarakat sivil Malaysia telah meminta pada kerajaan untuk mempertimbangkan supaya memberi permit kerja kepada pelarian bukannya meletakkan mereka di belakang kawat berduri. Kerajaan harus mengkaji cadangan ini secara serius, khususnya pada ketika pihak majikan berkata bahawa mereka sangat kekurangan tenaga kerja.

Kita boleh melihat masalah yang dihadapi oleh penduduk Palestin, Syria, Sri Lanka, Ukraine dan Rohingya. Masalah yang wujud akibat daripada konflik peperangan, agama, kawasan, etnik dan politik. Kita penduduk dunia mempunyai tanggungjawab sesama kita. Jangan hancurkan nilai moral dan kemanusiaan kita.

Kemanusian mengatasi segalanya.

===========

Muhammad Isa Bin Nahoo Gani ialah ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Sungai Siput.

One thought on “Isu pelarian Rohingya lari diri dari depot imigresen: Di manakah nilai kemanusiaan kita?

  1. Malaysia secara sejarah tidak bertanggungjawab terhadap masalah Rohingya di Myanmar.
    Tidak seperti UK yang mencuri kekayaan tanah jajahan dan imperialis AS yang mengeksploitasi kekayaan Amerika Latin, adakah Malaysia telah menyedut kekayaan dari Myanmar?
    Jadi kenapa Malaysia perlu terus menerus menanggung beban masalah yang dicipta oleh penjajah UK?
    Penjajah UK sepatutnya menerima semua Rohingya sebaliknya.
    Atau, imperialis Amerika Syarikat harus menerima semua Rohingya dari Myanmar.
    Negara sosialis mana, dahulu atau sekarang telah menerima penghijrahan besar-besaran atau aliran pelarian yang tidak berkesudahan?
    Kesatuan Soviet, China, Korea Utara, Vietnam, Laos, Nepal, Cuba, Venezuela, Nicaragua – yang mana satu?
    Mengapa anda tidak pergi dan memprotes di luar Suruhanjaya Tinggi British dan menuntut supaya UK mengambil semua Rohingya dari Rakhine?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *