Deklarasi 1 Mei 2022: Jamin Perlindungan Sosial Pekerja

Perlindungan Sosial Pekerja adalah satu tuntutan penting dan wajib disediakan memandangkan peralihan sistem ekonomi di mana sebahagian besar sektor ekonomi perkhidmatan berasaskan pekerja gig yang bekerja sebagai penyedia perkhidmatan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat suku kedua tahun 2021, pekerja yang bekerja sendiri telah menjadi kumpulan kedua terbesar dalam tenaga kerja Malaysia.

Namun, kumpulan pekerja ini tidak dilindungi oleh perlindungan sosial yang berkaitan dengan pekerjaan seperti KWSP dan PERKESO, dan mereka juga tidak berhak mendapat faedah pekerjaan seperti cuti tahunan bergaji, cuti sakit bergaji mahupun gaji bulanan yang tetap.

Sempena Sambutan 1 Mei 2022, kami mengetengahkan tuntutan-tuntutan berikut: 

A. HAK PEKERJA

1. Laksanakan Gaji Minimum RM1,500 mulai 1 Mei 2022 tanpa sebarang penangguhan atau pemberian pengecualian kepada mana-mana syarikat. 

2. Laksanakan Skim Jaminan Pendapatan Asas sebanyak RM1,000 sebulan bagi pekerja dalam sektor tidak formal, pekerja persendirian berskala kecil, peniaga bersifat mikro yang kehilangan punca pendapatan pada waktu ini. 

3. Hapuskan sistem kontrak bagi pekerjaan tetap dan wujudkan pekerjaan langsung sama ada di premis kerajaan ataupun swasta. 

4. Iktirafkan pekerja dalam sektor ekonomi gig sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955 dan semua caruman atau perlindungan sosial asas seperti KWSP, PERKESO dan Skim Insurans Pekerjaan harus diwajibkan. 

5. Luaskan skop liputan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) di mana syarat-syarat seperti pekerja dalam kerja kontrak dikecualikan daripada faedah, pekerja yang memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dinafikan faedah dan lain-lain harus dihapuskan. 

6. Laksanakan Skim Pencen RM500 sebulan untuk golongan yang berumur 65 tahun ke atas supaya pekerja dapat hidup bermaruah setelah bersara. Pengeluaran KWSP pada masa kini bukan satu penyelesaian.  

7. Laksanakan Skim Pencen Ilat untuk semua pekerja pertanian, petani, penjaja dan peniaga kecil dalam sektor tidak formal. 

8. Luaskan liputan PERKESO kepada 24 jam dan tidak terhad pada hanya waktu kerja sahaja.

9. Hak kesatuan sekerja – Hormati semangat keharmonian industri dengan memperkasakan kesatuan sekerja. Pembentukan kesatuan sekerja harus diutamakan untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja. Pihak majikan harus hentikan aktiviti menghancurkan kesatuan sekerja di negara ini.

10. Hak Orang Kurang Upaya (OKU) –Jaminkan hak bekerja OKU. Laksanakanskim pekerjaan yang memberi peluang pekerjaan untuk OKU.

B. KESIHATAN 

 11. Hak kesihatan untuk semua – Kerajaan harus meningkatkan dan memperkasakan hospital kerajaan dengan memberikan lebih sumbangan wang supaya dapat kekal memberikan perkhidmatan yang terbaik dan percuma kepada rakyat. Kerajaan juga harus membuat kajian untuk memiliknegarakan hospital kesihatan swasta untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik dan memadai.

C. PERUMAHAN 

 12. Hentikan pengusiran paksa – Kerajaan harus hentikan sebarang pengusiran paksa penduduk dari tempat tinggal mereka, terutamanya pada masa sekarang apabila kita berada dalam ancaman COVID-19. Pastikan tidak putuskan utiliti seperti air dan elektrik.

13. Perumahan selesa – Hentikan pengusiran paksa terhadap masyarakat marhaen, termasuk peneroka bandar, orang asal dan pekerja ladang. Skim Perumahan Rakyat pada harga yang mampu dibeli, lokasi strategik dan selesa, harus dilaksanakan. 

D.   PEKERJA MIGRAN DAN PELARIAN 

14. Hak pekerja migran – Pekerja migran harus diberikan hak yang saksama dan perlindungan yang mencukupi. Hentikan eksploitasi – keadaan kerja yang tidak selamat, waktu kerja yang panjang, tiada latihan kemahiran, hak kesihatan tidak terjamin serta tiada perwakilan kesatuan sekerja.

15. Hentikan tangkapan migran dan pelarian – Kerajaan harus hentikan sebarang tangkapan atau penghantaran balik secara paksaan pekerja migran dan pelarian, dan memberikan jaminan kepada mereka supaya mereka tidak mengelak diri daripada mendapat rawatan kesihatan demi menjaga kepentingan kesihatan untuk semua. 

16. Iktiraf hak kerja bagi pelarian dan peminta suaka – Kerajaan harus memberi hak kerja kepada pelarian di negara kita. 

E.   JAMINAN MAKANAN DAN KAWALAN HARGA BARANG 

17. Kawal harga barang – Kawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan keperluan harian, dan kembalikan semula pemberian subsidi kepada rakyat secara berkesan.

18. Hak bertani dan jaminan makanan – Hentikan pengusiran petani dan penternak dari tanah mereka. Iktirafkan dan berikan geran tanah kepada golongan petani dan penternak yang telah lama bertani dan membekalkan hasil pertanian untuk kegunaan tempatan demi menjamin keupayaan pengeluaran makanan tempatan.

F. HAK ASASI MANUSIA

19. Kebebasan media – Media utama dan alternatif harus diberi kebebasan untuk memberi maklumat sebenar kepada rakyat. Maka, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang menyekat kebebasan ini harus dimansuhkan. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang menyekat kebebasan rakyat bersuara harus dibatalkan.

20. Hak pelajar – Mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174), Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran Nasional (PTPKN) dan semua akta yang mengongkong kebebasan akademik mahasiswa. Berikan pendidikan percuma kepada semua pelajar, kanak-kanak migran dan pelarian.

21. Mansuhkan Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Hasutan 1948 serta segala undang-undang yang menindas rakyat dan kebebasan rakyat. Akta-akta baharu yang digubal harus dipastikan tidak mencabul hak asasi rakyat.

22. Hak pekerja wanita – Hentikan diskriminasi berasaskan gender dan orientasi seksual di tempat kerja. Mansuhkan undang-undang, polisi dan tindakan yang mengakibatkan diskriminasi sedemikian. Gubalkan Akta Kesamarataan Gender (Gender Equality Act). Kaji semula Rang-Undang Undang Gangguan Seksual supaya ia menjadi lebih komprehensif dan pastikan bahawa RUU ini diluluskan di Parlimen dalam tahun ini.

23. Hak kanak-kanak – Lindungi dan tunaikan hak kanak-kanak mengikut Konvensyen Hak Kanak-Kanak Sedunia (CRC). 

G.   G. PENSWASTAAN 

24. Hentikan penswastaan perkhidmatan asas – Air, elektrik, kesihatan, pengangkutan awam, pendidikan tidak harus diswastakan demi keuntungan. Ianya satu perkhidmatan asas yang harus disediakan oleh kerajaan untuk rakyatnya.

H.    H. ORANG ASLI/ASAL 

25. Iktirafkan Hak Tanah Adat Orang Asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status tanah rizab Orang Asal/Asli di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak). Rancangan pembangunan tanah Orang Asal hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi Orang Asal/Asli.

H I. ALAM SEKITAR  

26. Isytihar darurat iklim – Hentikan projek yang memudaratkan kesihatan rakyat Malaysia seperti perlombongan bauksit, insinerator, loji nuklear dan lain-lain. Hentikan pengeksportan sampah dari negara asing dan disimpan di tanah isian (landfill) serta dibakar secara terbuka. Hentikan pembakaran tanah perladangan dan pembalakan dan gunakan tenaga alternatif yang bersih dan murah.

Deklarasi ini disokong oleh:

  1. Academy of Tamil Studies
  2. Agora Society
  3. All Women Action Society (AWAM)
  4. Borneo Komrad
  5. Buku Jalanan Chow Kit
  6. Centre for Independent Journalism
  7. Centre of Education. Research and Development (CEDAR)
  8. Child Development Initiative
  9. Empower Malaysia
  10. Family Frontiers
  11. Gabungan Marhaen
  12. Group of Concerned Citizen
  13. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan
  14. JEJAKA
  15. Johor Yellow Flame (JYF)
  16. Kuala Lumpur Selangor Chinese Asemblly Hall Women Division
  17. Kuala Lumpur Selangor Chinese Asemblly Hall Youth Section
  18. LYCEUM SOCIETY
  19. Malaysia Muda
  20. Malaysia Tamil Artiste Association
  21. Malaysia Youths and Students Evolution Johor Branch (MYSE Johor)
  22. Malaysian Dravidian Association
  23. Malaysian Hindu Youth Council
  24. Malaysian Indian Development & Unity Association
  25. Malaysian Indian Historical Association
  26. MISI: Solidariti
  27. Nationwide Human Development And Research Centre
  28. New Era University College Student Union
  29. New Student Movement Alliance of Malaysia
  30. North South Initiative (NSI)
  31. Parti Muda
  32. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  33. Persahabatan Semparuthi Johore
  34. Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN)
  35. Pertubuhan Serikat Rakyat Malaysia
  36. Ruang Kongsi
  37. Save Malaysia Stop Lynas
  38. Semparuthi Iyakkam Selangor
  39. Sisters In Islam
  40. Student Progressive Front UUM
  41. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  42. Tunku Abdul Rahman Association of New Youth (TARANY)
  43. Undi 18
  44. University of Malaya Association of New Youth (UMANY)
  45. UTM – MJIIT Voices
  46. Voice of Youtharian

6 thoughts on “Deklarasi 1 Mei 2022: Jamin Perlindungan Sosial Pekerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *