10 orang terkaya di dunia (semuanya lelaki) telah melipatgandakan kekayaan mereka daripada USD700 bilion kepada USD1.5 trilion dalam tempoh masa dua tahun penularan pandemik, sedangkan pendapatan 99% rakyat sedunia telah merosot dan lebih 160 juta orang telah terjeremus dalam kemiskinan pada masa yang sama. Peningkatan kekayaan 10 orang lelaki terkaya di dunia dalam 2 tahun yang lalu berlaku pada kadar USD15,000 per saat atau USD1.3 bilion sehari. Ini ialah realiti ketidaksamarataan ekonomi dunia pada hari ini yang didedahkan dalam laporan terbaru Oxfam, “Ketidaksamarataan Membunuh” (Inequality Kills) yang diterbitkan pada 17 Januari 2022.

“Jika 10 orang lelaki ini hilang 99.999% kekayaan mereka esok, mereka masih lebih kaya daripada 99% semua orang di atas planet ini,” kata Gabriela Bucher, Pengarah Eksekutif Oxfam International. “Mereka sekarang mempunyai kekayaan enam kali lebih banyak daripada 3.1 bilion rakyat yang termiskin.”

Bucher mengatakan bahawa adalah tidak pernah begitu penting untuk memulakan usaha memperbetulkan masalah ketidaksamarataan ini dengan mengurangkan kuasa dan kekayaan melampau yang dipegang oleh golongan elit mahakaya, termasuk pelaksanaan percukaian yang mendapatkan semula wang untuk ekonomi sebenar dan menyelamatkan nyawa.

(sumber: Oxfam)

Laporan “Ketidaksamarataan Membunuh” yang diterbitkan bersempena dengan persidangan Forum Ekonomi Dunia yang diadakan pada 17-21 Januari 2022 ini mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 21,000 orang mati setiap hari, atau seorang setiap 4 saat, akibat daripada ketidaksamarataan yang wujud di dunia. Anggaran ini adalah berdasarkan angka kematian di seluruh dunia yang disebabkan oleh kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan, keganasan berasaskan gender, kebuluran dan bencana akibat kerosakan iklim.

(sumber: Oxfam)

Kekayaan golongan bilionair telah meningkat lebih banyak lagi sejak bermulanya pandemik COVID-19 berbanding 14 tahun yang lalu. Menurut Oxfam, cukai berkadar 99% sekali sahaja (one-off) ke atas kekayaan durian runtuh yang diperolehi 10 orang lelaki terkaya di dunia, dapat membayar:

  • Vaksin yang mencukupi untuk seluruh dunia;
  • Pembekalan perkhidmatan kesihatan sejagat dan perlindungan sosial, pembiayaan adaptasi iklim dan pengurangan keganasan berasaskan gender di lebih 80 buah negara;

Walaupun dicukaikan 99% kekayaan durian runtuh mereka, 10 orang lelaki terkaya ini masih USD8 bilion lebih kaya berbanding sebelum pandemik!

“Golongan bilionair telah mengalami suatu pandemik yang menyeronokkan. Bank-bank pusat mengepam bertrilion-trilion dolar ke dalam pasaran kewangan untuk menyelamatkan ekonomi, tetapi kebanyakannya telah pergi ke dalam poket golongan bilionair yang menunggang pada pasaran saham. Vaksin bertujuan untuk menamatkan pandemik ini, tetapi kerajaan-kerajaan kaya membenarkan golongan bilionair dan monopoli farmaseutikal untuk memutuskan bekalan kepada berbilion-bilion orang. Hasilnya adalah peningkatan setiap jenis risiko yang boleh dibayangkan dalam ketidaksamarataan. Kebolehramalannya adalah memuakkan. Akibatnya membunuh,” kata Bucher.

Ketidaksamarataan yang melampau ialah sejenis bentuk keganasan ekonomi, di mana dasar dan keputusan politik yang mengekalkan kekayaan dan kekuasaan segolongan kecil yang berkeistimewaan mengakibatkan kemudaratan langsung kepada sebahagian besar rakyat biasa di seluruh dunia dan juga planet Bumi kita.

(sumber: Oxfam)

Laporan Jurang Gender Global 2021 yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia pada tahun lalu, telah mendapati bahawa pandemik COVID-19 telah melebarkan jurang antara gender dari 99 tahun tahun kepada 135 tahun. Ini bermakna bahawa ia akan mengambil satu lagi generasi untuk golongan wanita mencapai kesamarataan gender. Laporan Oxfam terbaru pula mendapati bahawa golongan wanita sedunia telah kehilangan pendapatan sebanyak USD800 bilion dalam tahun 2020, dengan bilangan wanita yang bekerja sekarang sudah kurang sebanyak 13 juta orang berbanding tahun 2019. Sementara itu, 252 orang lelaki kaya memiliki kekayaan yang lebih banyak berbanding 1 bilion orang wanita di benua Afrika, Amerika Latin dan Caribbean.

Ketidaksamarataan antara negara dijangka akan meningkat lagi. Negara-negara sedang membangun yang telah dinafikan akses kepada vaksin yang mencukupi kerana kerajaan-kerajaan negara kaya memberi perlindungan kepada monopoli syarikat farmaseutikal, terpaksa mengurangkan perbelanjaan sosial kerana paras hutang mereka semakin meningkat. Kadar kematian COVID-19 di negara-negara sedang membangun adalah lebih kurang dua kali ganda berbanding negara-negara kaya.

Walaupun memakan kos yang besar untuk menangani pandemik, tetapi kerajaan-kerajaan negara kaya telah gagal dalam meningkatkan cukai ke atas kekayaan golongan terkaya, sebaliknya terus menswastakan keperluan awam seperti vaksin. Syarikat-syarikat korporat monopoli semakin memusatkan kekayaan mereka kerana dasar kerajaan yang pro-korporat.

Ketidaksamarataan juga wujud dalam krisis iklim, dengan 1% golongan terkaya di dunia mengeluarkan gas karbon dioksida lebih dua kali ganda berbanding 50% golongan termiskin di dunia.

“Ketidaksamarataan pada kadar dan skala sedemikian berlaku secara pilihan, bukannya kebetulan,” kata Gabriela Bucher, Pengarah Eksekutif Oxfam International. “Struktur-struktur ekonomi kita bukan sahaja menjadikan kita kurang selamat berdepan dengan pandemik ini, mereka secara aktifnya membolehkan mereka yang sudah sangat kaya dan berkuasa untuk mempergunakan krisis ini untuk keuntungan mereka sendiri.”

Oxfam telah mengemukakan cadangan berikut untuk kerajaan-kerajaan sedunia mengambil tindakan segera:

  • Kenakan cukai ke atas kekayaan baharu besar yang diperolehi golongan bilionair sejak bermulanya pandemik melalui cukai kekayaan dan modal yang kekal.
  • Laburkan wang bertrilion-trilion dolar yang dapat diperolehi dengan cukai ini ke arah perbelanjaan progresif untuk perkhidmatan kesihatan sejagat, perlindungan sosial, adaptasi perubahan iklim dan pencegahan keganasan berasaskan gender.
  • Hapuskan undang-undang seksis dan rasis yang mendiskriminasi wanita dan masyarakat yang berbeza kaum, di samping mewujudkan undang-undang kesamarataan gender yang baharu untuk menyingkirkan keganasan dan diskriminasi. Semua sektor masyarakat harus menentukan segera dasar-dasar yang memastikan wanita, kaum minoriti dan kumpulan tertindas yang lain diwakili dalam semua ruang membuat keputusan.
  • Mansuhkan undang-undang yang menjejaskan hak pekerja untuk berkesatuan dan bermogok, serta mewujudkan piawaian undang-undang yang lebih kuat untuk melindungi pekerja.
  • Kerajaan-kerajaan negara kaya harus mengetepikan segera peraturan-peraturan hak harta intelek ke atas teknologi vaksin COVID-19 supaya membolehkan lebih banyak negara untuk mengeluarkan vaksin yang selamat dan berkesan demi menamatkan pandemik ini.

“Tidak adanya kekurangan wang,” kata Bucher, “Pembohongan itu telah mati apabila kerajaan-kerajaan mengeluarkan USD160 trilion untuk merespon terhadap pandemik. Hanya adanya kekurangan keberanian dan imaginasi yang diperlukan untuk membebaskan diri daripada jaket ketat neoliberalisme yang gagal dan maut. Adalah bijak untuk kerajaan-kerajaan mendengar pada gerakan-gerakan – pemogok-pemogok iklim yang muda, aktivis-aktivis Black Lives Matter, feminis-feminis #NiUnaMenos, petani-petani India dan lain-lain – mereka yang menuntut keadilan dan kesamarataan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *