PUTRAJAYA – 25 JANUARI 2022: Sekumpulan masyarakat orang kurang upaya (OKU) menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada hari ini untuk menyatakan bantahan mereka terhadap “Projek Rintis Bayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanpa Tunai (Cashless)” yang juga dikenali sebagai JKMPay.

Menurut memorandum yang diserahkan oleh Independent Living & Training Centre Malaysia (ILTC), dasar baharu yang dilancarkan oleh Rina Harun selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 9 April 2021 ini amat menyukarkan warga OKU dan ia dilaksanakan tanpa sebarang sesi libat urus dengan organisasi-organisasi OKU.

Di bawah kaedah JKMPay, penerima bantuan JKM akan menerima 50% daripada jumlah kadar bantuan yang diluluskan dengan cara wang bantuan itu dikreditkan ke dalam kad ATM/Debit Bank Islam yang dipegang oleh penerima bantuan, manakala 50% lagi akan dimasukkan ke dalam kad tanpa tunai JKMPay. Ini bermakna jika seorang OKU yang menerima wang bantuan RM400 sebelum ini, hanya akan menerima RM200 secara tunai yang dikreditkan ke dalam akaun banknya, dan baki RM200 akan pergi ke dalam kad JKMPay. Penerima bantuan hanya boleh membelanjakan kredit dalam kad JKMPay untuk pembelian barangan keperluan asas, keperluan harian dan ubat-ubatan di kedai-kedai yang berdaftar dengan Bank Islam dan kedai-kedai panel JKM sahaja. Pembelian yang tidak tersenarai dalam maklumat barang keperluan, adalah tidak dibenarkan untuk menggunakan kad tanpa tunai JKMPay. Pihak kerajaan bercadang untuk memperluaskan sistem JKMPay ini ke seluruh negara dan meliputi semua penerima bantuan JKM.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada oleh Rina Harun selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ILTC dan organisasi-organisasi OKU lain membangkitkan persoalan-persoalan berikut:

  • Menteri pernah menyatakan bahawa dengan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion daripada Bajet 2022, Kementerian akan menambah baik sistem perkhidmatan pembelian dalam talian yang tanpa tunai (cashless), tetapi daripada jumlah yang besar itu, berapakah yang sebenarnya akan sampai ke tangan OKU? Berapa banyak wang pula akan digunakan sebagai kos pengurusan? Adakah setiap pembelian melalui JKMPay dikenakan caj/fi perkhidmatan 2% atau lebih?
  • Syarat mengunakan 50% bantuan hanya di kedai panel JKM amat menyukarkan golongan OKU, menambahkan beban kepada OKU yang mempunyai mobiliti terhad. Warga OKU terpaksa mencari kedai-kedai panel JKM untuk membeli barangan asas. Ini amat menyusahkan berbanding dengan sistem sedia ada di mana bantuan tunai membolehkan warga OKU membeli di mana-mana kedai yang mudah untuk diakses OKU.
  • Hak kebebasan OKU untuk membeli barangan mengikut keperluan mereka seolah-solah telah dirampas dengan sistem JKMPay. Seolah-olah JKM yang menentukan apa barangan yang boleh dibeli dan tidak boleh dibeli. Ini amat tidak rasional dan tidak adil untuk warga OKU.
  • Bantuan tunai memberikan fleksibilti untuk warga OKU merancang perbelanjaan dan mengatur kewangan masing-masing. Bantuan tunai bukan kesemuanya digunakan untuk membeli barangan kemudahan harian. Ada yang menggunakannya untuk membayar bil air/elektrik, ada pula yang menggunakannya untuk kemudahan pengangkutan, ada yang menggunakannya untuk membeli barangan aksesori seperti kusyen duduk kerusi roda, tongkat dan kemudahan spesifik mengikut keperluan masing-masing. Kenapa pula hendak memaksa warga OKU untuk hanya membeli barangan yang tertentu sahaja di kedai-kedai khusus di bawah JKMPay?
  • Skim pembayaran cashless ini hanya menguntungkan kedai panel JKM, di mana bantuan kewangan kepada OKU daripada Bajet Kerajaan Persekutuan disalurkan ke kedai panel JKM dan bukannya terus kepada warga OKU. Ini menjadikan pihak Kementerian seolah-olah “promoter jualan” untuk kedai-kedai kepunyaan swasta ini!

Wakil OKU yang membantah JKMPay ini berpandangan bahawa pelaksanaannya menghilangkan hak OKU. Mereka juga tidak berpuas hati kerana pihak Kementerian tidak pernah berunding dengan penerima bantuan bulanan JKM dan mana-mana pihak berkepentingan seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Francis Siva, Presiden ILTC, berkata, “Kami datang ke sini untuk menyatakan kekecewaan kami terhadap Menteri yang melaksanakan projek rintis ini tanpa rundingan dengan kami. Kami ialah pemegang taruh dalam perkara ini. Kami berhak untuk tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam komuniti. ”

“OKU telah mengalami pelbagai kesusahan semasa pandemik. OKU terus dipinggirkan dan tindakan Kementerian sebegini terus mencabuli hak OKU. Ini bertentangan dengan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD), yang menyatakan bahawa semua OKU mempunyai hak asasi manusia dan kebebasan asas yang sepenuhnya dan samarata, dan kerajaan patut berunding serta melibatkan OKU dalam proses membuat keputusan yang berkaitan dengan OKU,” ulas Francis Siva.

“Menteri perlu berhenti menganggap warga orang kurang upaya sebagai sesuatu yang kurang daripada manusia. Menteri perlu faham bahawa orang kurang upaya bukanlah objek kebajikan, tetapi mempunyai hak dan maruah yang sama seperti semua orang,” tegas kata Francis Siva.

Memorandum telah diserahkan kepada Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Turut hadir bersama dengan wakil masyarakat OKU semasa penyerahan memorandum ialah A. Sivarajan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Perbuatan JKM memaksa golongan OKU untuk membeli barangan daripada kedai panel ‘kroni’nya dengan memotong 50% bantuan bulanan mereka dan memasukkannya ke dalam kad JKMPay, adalah sesuatu yang keji,” kata Sivarajan.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “OKU bantah sistem JKMPay

Leave a Reply

Your email address will not be published.