oleh Komrad Betti

Semasa melayari laman media sosial Facebook suatu ketika dahulu, aku terbaca satu posting yang sangat mengganggu kepala otak aku. Posting itu merupakan satu posting motivasi Islamik, yang mengungkapkan kata-kata sebegini: Seandainya kita gaji dalam beberapa ribu, katakanlah RM2,000 tapi kita buat kerja seolah-olah gaji RM5,000, Allah akan bayar lagi RM3,000 dalam bentuk “rezeki” yang lain seperti anak soleh dan sebagainya. Bagi aku, posting ini sangat menjijikkan.

Ini kerana ia seolah-olah mengajak warga pekerja untuk bekerja dengan lebih keras tanpa upah yang munasabah. Aku khuatir ia boleh dijadikan instrumen untuk eksploitasi. Oleh kerana hidup di dalam sistem kapitalisme ni, golongan pekerja rata-rata menjadikan agama sebagai escapism yang memberi mereka keselesaan spiritual setelah seharian teruk “dilunyai” oleh kapitalis.

Malang bagi golongan pekerja apabila rata-rata agamawan seolah-olah tidak langsung menyentuh hal-hal berkenaan kebajikan sangat. Malah aku belum bertemu dengan teks-teks keagamaan (Islamik) yang pro-pekerja melainkan satu hadis arahan membayar upah kepada pekerja sebelum kering peluh di badannya.

Aku lihat agamawan-agamawan lebih banyak menyentuh tentang disiplin pekerja seperti hukum datang kerja lewat, hukum tipu surat cuti sakit (MC). Jarang sekali untuk kita mendengar hukum majikan tidak membenarkan penubuhan kesatuan pekerja, hukum majikan eksploitasi pekerja namun tidak beri imbuhan atau bonus kepada pekerja. Tiada. Belum pernah aku dengar.

Sekali pun jika agamawan memang tiada idea untuk membela hak pekerja melalui jalan agama, maka tak perlulah membuat kata-kata motivasi yang menanam benih “submissive” dalam diri pekerja terhadap majikan mereka. Mereka pekerja bukannya hamba.

Satu lagi peristiwa berkenaan agama dan hak pekerja yang aku lalui adalah ketika aku menghadiri satu piket di Kulim, Kedah. Aku hadir sebagai tanda solidariti Parti Sosialis Malaysia dengan pekerja-pekerja kilang tersebut. Turut hadir memberi sokongan adalah MTUC dan NUBE. Hebat semangat pekerja menuntut hak mereka.

Seusai piket tersebut, aku dapati berita mengenainya tersebar di Facebook. Seperti biasa perkara macam ini akan mengundang pelbagai reaksi dari warganet. Ada yang menyokong, ada yang membantah. Sedih sekali apabila kebanyakan yang membantah adalah warga pekerja sendiri. Salah satu komen mengatakan bahawa tindakan berpiket seperti yang pekerja-pekerja tersebut buat adalah dilarang oleh agama. DILARANG OLEH AGAMA?

Jadi, adakah agama menyeru penganutnya berdiam diri dan redha dengan kezaliman dan penindasan yang diterima mereka? Dari mana datangnya fatwa ini? Adakah warganet itu sendiri yang reka atau ada agamawan yang berfatwa sedemikian? Sebagai seorang aktivis pekerja, perkara ini menghancurkan hati aku. Mereka tidak mencederakan majikan atau merosakkan kilang pun. Mereka hanya protes dengan aman, dengan mengharapkan persetujuan yang menguntungkan kedua-dua pihak. Bagaimana tindakan seperti ini dilarang oleh agama?

Benarlah apabila sarjana Karl Marx berkata “agama itu candu masyarakat.” Candu agama telah memabukkan warga pekerja, dan mereka telah hilang pertimbangan. Dan aku tertanya-tanya apakah sumbangan-sumbangan agamawan dari segi hak-hak pekerja? Siapa yang memperjuangkan cuti-cuti bersalin kepada pekerja wanita? Siapa yang bermatian untuk mengurangkan waktu bekerja kepada lapan jam sehari? Siapa yang menitis peluh, air mata dan darah untuk mengharamkan buruh kanak-kanak? Agar mereka boleh terus menikmati masa muda mereka di padang dan sekolah dan bukan di kilang atau lombong? Agamawan?

Tidak. Merekalah warga pekerja itu sendiri. Dan tradisi mereka kami warisi pada hari ni. Dan perjuangan yang menyenangkan para ibu-ibu, anak-anak dan bapak-bapak ini adalah hasil dari perjuangan sekular dan bukan agama. Panjang umur perjuangan. Bersatulah warga pekerja.

==========

Komrad Betti ialah penulis blog “Laksa Otak”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *