oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin mengemukakan 6 azam Tahun Baharu 2022. Kami berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan berikut secara serius:

1. Bantuan RM10,000 kepada setiap keluarga yang terpaksa dipindahkan semasa banjir yang melanda pada bulan lepas. Kami dimaklumkan daripada laporan akhbar bahawa terdapat lebih kurang 300,000 buah keluarga dalam kategori ini. Kerugian mereka adalah berpuluh ribu ringgit – perabot, pakaian, barangan elektrik dan kenderaan. Membenarkan mereka mengeluarkan wang daripada simpanan KWSP mereka adalah tidak akan mencukupi kerana ramai sudah menghabiskan simpanan KWSP mereka untuk membiayai perbelanjaan semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan ramai tidak mempunyai banyak simpanan KWSP pada mulanya. RM10,000 kepada 300,000 buah keluarga bersamaan dengan RM3 bilion untuk seluruh negara. Ini akan dapat membantu mereka untuk membiayai perbelanjaan paling penting yang diperlukan untuk pulih daripada banjir. Negara kita mampu membiayainya.

2. Skim “tiada kesalahan” (“no-fault”) untuk memberi pampasan kepada semua warga Malaysia yang mengalami kerosakan fizikal yang berkekalan dalam tempoh 4 minggu selepas mengambil vaksin COVID-19. Adalah sukar untuk mengaitkan secara pasti kejadian angin ahmar, serangan jantung, radang otot jantung atau palsi saraf dengan vaksin, kerana keadaan ini juga berlaku pada populasi yang tidak divaksinasi. Namun, kejadian buruk ini nampaknya meningkat sedikit selepas vaksinasi. Oleh itu, adalah ekpresi solidariti kita dengan warga Malaysia dengan menyediakan sedikit pampasan kepada bilangan kecil rakyat yang mengalami kehilangan upaya berpanjangan akibat daripada kejadian perubatan yang berlaku dalam tempoh 28 hari selepas suntikan vaksin. Kerajaan boleh mempertanggungjawabkan skim ini kepada PERKESO kerana ia mempunyai struktur institusi untuk mengenalpasti tahap kehilangan upaya yang dialami. Kerajaan patut menyalurkan dana yang diperlukan kepada PERKESO untuk menampung pembayarannya. (Penjelasan: PSM percaya bahawa manfaat program vaksinasi COVID-19 adalah jauh besar berbanding peningkatan kecil dalam kejadian buruk yang disebut ini.)

3. Kerajaan harus menyasarkan untuk memperkenalkan sebuah skim Pencen Warga Emas Sejagat pada penghujung tahun ini. Ini diperlukan kerana lebih daripada 90% pencarum KWSP yang berusia 54 tahun mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun simpanan KWSP mereka – sangat tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka sepanjang zaman persaraan mereka. Tambahan pula, lebih kurang separuh daripada populasi yang berumur 50-55 tahun langsung tidak mempunyai simpanan KWSP kerana mereka berada dalam sektor tidak formal. PSM telah mencadangkan pencen bulanan RM300 kepada setiap orang berumur 65 tahun ke atas yang tidak menerima pencen kerajaan atau pencen PERKESO. Skim pencen ini akan memerlukan lebih kurang RM8 bilion setahun – bukannya jumlah yang kecil, tetapi ia akan membolehkan golongan pesara hidup dengan lebih bermaruah. Ini amat diperlukan segera terutamanya memandangkan kemelesetan ekonomi akibat COVID-19 telah menyebabkan pengeluaran wang lebih RM100 bilion daripada simpanan KWSP.

4. Kerajaan harus menjemput kumpulan-kumpulan dan individu-individu untuk perbincangan mengenai bagaimana matlamat “Kemakmuran Bersama” dapat dicapai. Banyak kumpulan telah mengemukakan cadangan dan maklum balas kepada kerajaan – misalnya, PSM telah menyerahkan satu memorandum mengenai Rancangan Malaysia ke-12 yang mengetengahkan 5 isu berkaitan dengan pengagihan pendapatan, “gaji sosial”, perumahan mampu milik, pembiayaan kesihatan dan mitigasi perubahan iklim. Malangnya, walaupun kami jelas menyatakan bahawa kami ingin bertemu untuk membincangkan isu-isu ini, tetapi kami masih belum dihubungi. Kerajaan harus mengadakan dialog dengan seluruh masyarakat. Idea-idea baharu yang menarik akan muncul apabila adanya perbincangan terbuka.

5.  Baru beberapa hari yang lalu, kita sedih terdengar bahawa terdapat sekumpulan 120 orang pelarian Rohingya yang hanyut di pantai Bireuen, Sumatera, telah dihalang daripada mendarat di bumi Indonesia. Nabih baik pihak berkuasa Indonesia telah mengalah dan membenarkan bot itu datang ke pantainya. ASEAN harus melakukan lebih banyak lagi tentang situasi di Myanmar. Kami ingin mengulangi cadangan yang kami kemukakan sebelum ini:

a. Pembentukan dana ASEAN di mana negara-negara ASEAN menyumbang berasaskan pendapatan per kapita mereka. Dana ini harus digunakan untuk menangani pelarian dan memberi bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.  

b. Mengubah peraturan imigresen kita untuk membenarkan pelarian bekerja secara sah supaya mereka tidak dieksploitasi oleh majikan yang tidak bertanggungjawab. (Kita harus ingat bahawa jika pekerja tidak berdokumen dan pelarian boleh dieksploitasi, ia akan memberi kesan negatif kepada golongan B20 di Malaysia yang bersaing untuk jenis pekerjaan yang sama.)

PSM juga menggesa Kerajaan Malaysia supaya bekerjasama melalui ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan keganasan di Myanmar. Pada masa ini, persaingan antara kuasa-kuasa besar – China, India dan kuasa-kuasa Barat – telah menghalang mereka daripada mengambil tindakan yang lebih tegas kerana mereka takut bahawa Myanmar akan menjadi lebih dekat dengan “pesaing” mereka jika mereka berbuat demikian. ASEAN harus cuba membawa China dan India ke dalam satu usaha diplomatik yang meluas untuk mengenakan embargo senjata ke atas Myanmar, sementara memperluaskan bantuan kemanusiaan kepada negara itu. Pertempuran harus diberhentikan dan solusi politik kepada krisis ini harus diterokai.

6. PSM juga ingin mencadangkan satu azam tahun baharu kepada rakyat Malaysia – marilah kita memulaukan ahli-ahli politik, NGO-NGO dan individu-individu yang cuba menimbulkan ketegangan antara kumpulan etnik di negara kita dengan niat jahat. Ramai daripada mereka memainkan permainan menyalahkan etnik lain kerana perbuatan sebegitu membolehkan mereka mendapat perhatian dan sokongan. Namun, jika rakyat Malaysia menolak mereka, maka mereka akan mengubah nada mereka. Ramai daripada mereka tidak benar-benar percaya pada propaganda mereka sendiri, tetapi berbuat demikian kerana dapat meraih sokongan. Curahan perasaan muhibah yang kita saksikan semasa kejadian banjir baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa majoriti rakyat Malaysia ialah orang berbaik hati yang mendoakan kebaikan untuk saudara senegara mereka. Marilah kita memanfaatkan semangat muhibah ini untuk membina sebuah negara yang lebih baik dan lebih harmoni. Kita semua berperanan untuk menjadikan masyarakat kita lebih baik, lebih hijau dan lebih adil.

Selamat Tahun Baharu 2022.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan bekas Ahli Parlimen Sungai Siput.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published.