Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

IPOH, PERAK – 19 JANUARI 2022: Petani-petani kecil di kawasan Pusing, Perak, menyerahkan satu memorandum kepada Ibupejabat Polis Negeri Perak pada hari ini untuk mengadu tentang masalah kelemahan pihak polis dalam mengendalikan ugutan jenayah terhadap mereka.

Petani-petani kecil berkenaan telah mengusahakan tanah bekas lombong di kawasan Pusing, Perak, selama 20 hingga 30 tahun. Keluarga-keluarga petani ini telah meneroka kawasan ini dan memulihkan tanah serta kolam-kolam terbiar di situ sehingga ianya dapat mengeluarkan hasil pertanian. Ada antara petani-petani kecil ini pernah memohon untuk geran tanah dan lesen tumpangan sementara (TOL) pada tahun 1980-an dan 1990-an, tetapi permohonan mereka telah ditolak oleh Pejabat Tanah.

Empat lot tanah di kawasan tersebut yang berukuran 103 ekar, telah dilupuskan oleh Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2017 kepada Tee Yam Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat dari Kuala Lumpur. Syarikat tersebut mempunyai pengarah dan pemegang saham yag bermastautin di Kuala Lumpur. Mereka tidak pernah memainkan sebarang peranan dalam pemulihan kawasan bekas perlombongan ini.

Pada bulan Oktober 2019, Syarikat Tee Yam Holdings telah membina sebuah pagar di sekeliling tanah tersebut dan menyuruh petani-petani di situ untuk mengosongkan tanah dalam jangka masa 3 bulan. Para petani cuba berbincang dengan Tee Yam Holdings dan memohon supaya dibenarkan untuk meneruskan aktiviti pertanian mereka dengan cara membayar sewa kepada syarikat tersebut. Namun, Tee Yam Holdings tidak setuju dan terus mengganggu aktiviti-aktiviti pertanian yang diusahakan oleh petani-petani kecil ini.

Petani-petani kecil di Pusing ini telah menfailkan satu permohonan di bawah Seksyen 99 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret Batu Gajah. Petani-petani kecil Pusing berjaya mendapat Perintah Mahkamah pada 3 Disember 2021 yang menyatakan bahawa mereka berhak menyimpan milikan tanah yang dipertikaikan sehingga disingkir dengan cara undang-undang.

Malangnya, walaupun peguam Tee Yam Holdings telah hadir di Mahkamah Majistret Batu Gajah dan mengetahui tentang kandungan Perintah Mahkamah yang dikeluarkan, tetapi pihak syarikat Tee Yam Holdings masih terus menghalang petani-petani daripada  bekerja di atas tanah kebun mereka, di samping merampas dan menjual hasil pertanian yang dikeluarkan oleh petani-petani. Para petani Pusing telah membuat beberapa aduan Polis pada bulan Disember 2021 dan Januari 2022. Namun demikian, pihak polis di kawasan Pusing dan Daerah Batu Gajah tidak mengambil berat terhadap aduan daripada petani-petani ini.

Dalam aduan kepada pihak polis, petani-petani Pusing telah menerangkan kepada polis di kawasan Pusing dan Daerah Batu Gajah bahawa:

  • Pihak syarikat Tee Yam Holdings menggunakan cara ugutan dan samseng untuk menghalang petani-petani daripada bekerja di atas tanah kebun mereka
  • Walaupun isu pemilikan tanah masih dipertikaikan dalam mahkamah, pokok-pokok yang ditanam di atas tanah berkenaan adalah ditanam oleh petani-petani kecil di situ, dan pengambilan buah kelapa sawit oleh pihak syarikat merupakan perampasan harta dan adalah salah di sisi undang-undang.
  • Petani-petani telah diberi milikan sementara oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah dan kemasukan ejen Tee Yong ke dalam kawasan tanah tersebut merupakan tindakan yang bersifat “menghina mahkamah” (contempt of court).
  • Walaupun adanya beberapa bahagian dalam Kanun Keseksaan, umpamanya Seksyen 378 “Kesalahan Mencuri” dan Seksyen 390 “Rompakan”, pihak polis Pusing dan Batu Gajah nampaknya begitu lemah dalam menjalankan tugas-tugas mereka untuk menegakkan undang-undang.

Dalam morandum yang ditujukan kepada Datuk Mior Faridalathrash selaku Ketua Polis Negeri Perak, petani-petani meminta pada pihak Ketua Polis Negeri untuk memperjelaskan kepada pihak polis di bawah Ibupejabat Polis Daerah Batu Gajah bahawa:

  • Isu pemilikan tanah di Pusing ini belum diselesaikan. Petani-petani yang mengusahakan tanah ini sedang mempertikaikan caranya tanah ini dilupuskan kepada pihak ketiga walaupun petani-petani di situ telah mengusahakannya untuk beberapa dekad dan pernah memohon untuk TOL jauh lama sebelum tanah ini dilupus kepada syarikat Tee Yam Holdings. Isu pemilikan tanah perlu diselesaikan di mahkamah dan bukannya oleh pihak polis Batu Gajah.
  • Mahkamah Majistret telah memberi hak pemilikan sementara kepada petani-petani kecil (sehingga Mahkamah Tinggi dapat memutuskan isu ini).
  • Pokok-pokok di atas tanah ini dan ikan-ikan di dalam kolam-kolam adalah milikan para petani pada masa ini. Petani-petani kecil yang menanam pokok dan menternak ikan, bukannya pihak syarikat Tee Yam Holdings. Jika petani-petani kalah dalam kes pertikaian tanah pun, ada kemungkinan syarikat Tee Yam Holdings akan diarahkan oleh Mahkamah untuk membayar pampasan kepada petani-petani untuk kerugian hasil pertanian mereka. Jadi, rampasan secara keras oleh pihak Tee Yam Holdings merupakan perbuatan jenayah dan pihak polis harus mengambil tindakan sewajarnya.

“Tindakan sewajarnya adalah untuk memberi nasihat kepada pihak syarikat Tee Yam Holdings untuk beredar dari tanah tersebut sehingga dapat keputusan mahkamah. Jika wakil dan pekerja syarikat Tee Yam Holdings ingkar dan terus masuk ke dalam tanah tersebut dan mencuri harta kami, pihap polis harus tangkap dan mendakwa mereka,” begitu katanya petani-petani Pusing dalam memorandum mereka kepada Ketua Polis Negeri Perak.”

Petani-petani Pusing berharap Ketua Polis Negeri Perak boleh menasihatkan pihak polis Batu Gajah dan Pusing bahawa polis mesti bersikap profesional dan berkecuali. “Pada pengalaman kami, dalam hal ini, polis Batu Gajah berat sebelah terhadap syarikat Tee Yam Holdings kerana dia seorang kaya dengan pangkat ‘Dato’”, ulas petani-petani kecil Pusing dalam memorandum mereka. “Kami berharap Ketua Polis Negeri Perak bertindak dengan segera untuk mengendalikan isu ini.” Mereka juga memohon temujanji dengan Ketua Polis Negeri Perak untuk menerangkan lebih lanjut mengenai isu ini.

Turut hadir bersama dengan petani-petani kecil dari Pusing semasa menyerahkan memorandum ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Dr. Jeyakumar berkata, “PSM menyeru pada Ketua Polis Negeri Perak agar mematuhi Perintah Mahkamah Majistret Batu Gajah yang memberikan hak penggunaan tanah kepada petani-petani kecil Pusing, dan bertindak segera ke atas ugutuan jenayah dan rampasan tanah yang dilakukan oleh syarikat Tee Yam Holdings Sdn Bhd.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s