Pekerja-pekerja migran yang ditinggalkan oleh majikan mereka dalam keadaan tanpa makanan beberapa bulan yang lepas mendapat sedikit kelegaan baru-baru ini apabila mereka mendapat balik gaji tertunggak satu bulan, dan masih tunggu lagi untuk gaji sebulan yang belum dibayar…
Pada 29 Ogos 2021, PSM Seremban menerima aduan bahawa sekumpulan pekerja migran yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Hospital Tuanku Ja’afar Hospital, Seremban, tidak mempunyai makanan untuk lebih seminggu kerana tiada sebarang pendapatan dan majikan mereka hilang begitu sahaja.
Ketika aktivis PSM Seremban bertemu dengan pekerja-pekerja migran tersebut di tempat penginapan mereka, didapati bahawa mereka hidup dalam keadaan yang agak teruk. Seramai 24 orang pekerja (antaranya 19 orang warga Bangladesh dan 5 orang lagi warga Sudan) tinggal di dalam satu unit bangunan yang penuh sesak, di mana tatacara pengendalian piawai (SOP) untuk pencegahan wabak seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Tenaga Kerja adalah mustahil dipatuhi. Pada ketika itu, pekerja-pekerja migran tersebut sudah tidak mempunyai bekalan makanan selama tempoh lebih seminggu, dan mereka juga langsung tiada wang untuk membeli barangan keperluan harian.
Selepas meneliti aduan daripada pekerja-pekerja migran ini, adalah didapati bahawa majikan mereka, ASM Malaika, sebuah syarikat yang merupakan subkontraktor kepada syarikat Medivest Sdn Bhd untuk perkhidmatan pembersihan di hospital kerajaan, tidak membayar gaji mereka sejak mereka mula bekerja pada bulan Jun 2021.
Sebelum itu, pihak majikan hanya membekalkan mereka makanan sekali sehari sahaja yang sekadar nasi putih dan telur goreng tanpa sebarang lauk yang lain. Ini sahaja makanan yang diambil oleh pekerja-pekerja migran ini sejak mereka mula bekerja di hospital kerajaan.
Sebagai bantuan segera, aktivis-aktivis PSM Seremban mengumpulkan sumbangan ikhlas untuk membeli bekalan makanan kepada pekerja-pekerja migran yang berada dalam kelaparan ini. Sebanyak dua kali bekalan makanan yang dibeli dengan dermaan disalurkan kepada pekerja-pekerja migran ini.
Pekerja-pekerja migran ini memang menghadapi banyak cabaran hidup. Selain tidak dibayar gaji dan tiadanya makanan, mereka juga disuruh keluar dari tempat tinggal mereka oleh pemilik bangunan kerana pihak majikan yang menyewa tempat itu tidak membayar sewa selama 3 bulan. Pekerja-pekerja ini juga tidak lagi bekerja di Hospital Tuanku Ja’afar Hospital sejak bulan September 2021.
Memandangkan isu yang dihadapi oleh pekerja-pekerja migran ini agak rumit, maka pelbagai cara telah digunakan sebagai usaha mendapatkan penyelesaian bagi isu-isu ini. Dengan sokongan daripada PSM Seremban, pekerja-pekerja migran ini telah membuat aduan polis sebanyak tiga kali. Mereka membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja Seremban pada 7 September 2021. Beberapa sesi dialog telah diadakan bersama dengan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja untuk membincangkan penyelesaian masalah pekerja ini. Pekerja-pekerja juga membuat aduan secara terus kepada Menteri Sumber Manusia M. Saravanan.
Pada 19 November 2021, satu sesi dialog telah diadakan secara bersama dengan Medivest Sdn Bhd selaku syarikat prinsipal dan ASM Malaika selaku syarikat subkontraktor yang mengupah pekerja-pekerja ini, yang turut disertai oleh Timbalan Pengarah Tenaga Kerja Negeri Sembilan. Selepas lebih 3 minggu, akhirnya pada 13 Disember 2021, Medivest Sdn Bhd membayar gaji tertunggak untuk bulan Julai 2021 kepada pekerja-pekerja seperti yang dipersetujui dalam pertemuan di Jabatan Tenaga Kerja sebelum ini. Jumlah keseluruhan gaji tertunggak untuk bulan Julai sahaja adalah lebih RM30,000. Ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pekerja-pekerja yang menghadapi kesusahan hidup beberapa bulan yang lalu ini.
21 orang pekerja telah menerima gaji bulan Julai 2021, dan 3 orang lagi tidak menerima gaji kerana mereka hanya bermula kerja pada bulan Ogos 2021. Semua pekerja ini masih menunggu untuk gaji bulan Ogos 2021. Pihak Jabatan Tenaga Kerja akan mengusahakan satu lagi perbincangan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji bagi bulan Ogos 2021.
Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) juga memberi banyak bantuan dalam isu pekerja migran yang bertugas di hospital kerajaan ini.
S. Tinagaran, aktivis PSM Seremban yang mengendalikan isu ini, turut merakamkan penghargaannya kepada Jabatan Tenaga Kerja Seremban kerana memainkan peranan mereka secara serius dalam membela hak pekerja ini.
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.