Selepas empat tahun yang penuh campurtangan kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) dengan sekatan ekonomi, sabotaj, cubaan rampasan kuasa, cubaan pembunuhan dan pencerobohan tentera upahan, rakyat Venezeula telah mengundi untuk Perhimpunan Kebangsaan yang baru dalam pilihanraya umum yang diadakan pada 6 Disember 2020.

Pilihanraya Parlimen Venezuela diadakan pada 6 Disember 2020, untuk memilih 277 orang perwakilan ke dalam Perhimpunan Kebangsaan, iaitu Parlimen Venezuela. Pilihanraya Parlimen Venezuela pada kali ini menggunakan sistem pengundian selari (juga dikenali sebagai Sistem Ahli Bercampur Majoritarian), dengan 144 kerusi dipilih melalui kaedah perwakilan berkadar dan 133 kerusi dipilih melalui kaedah “Undian Pemenang Undi Terbanyak” (FPTP).

Walaupun peratusan keluar mengundi adalah rendah, iaitu hanya 30.5%, tetapi kejayaan mengadakan pilihanraya parlimen ini merupakan satu tamparan hebat kepada kuasa imperialis yang sanggup menggunakan segala taktik kotor yang mungkin untuk menggagalkan usaha Revolusi Bolivar di Venezuela.

Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV), iaitu parti pemerintah yang dipimpin oleh Presiden Nicolás Maduro, berjaya meraih sebanyak 62.72% undi yang dibuang dan memenangi 253 kerusi parlimen. Gabungan pembangkang utama yang dibentuk oleh parti-parti seperti Acción Democrática, Esperanza por El Cambio, COPEI dan Avanzada Progresista, meraih 17.68% undi dan memperoleh 18 kerusi. Parti Komunis Venezuela (PCV) yang bertanding secara sendiri tanpa bergabung dengan PSUV seperti sebelum ini, meraih 2.73% undi dan menang 1 kerusi.

Peratusan keluar mengundi yang sangat rendah dalam pilihanraya parlimen kali ini, lebih rendah berbanding Pilihanraya Presiden pada tahun 2018 (46.07%) yang diboikot oleh pembangkang yang disokong imperialis AS dan Pilihanraya Parlimen tahun 2015 (74.71%) yang dimenangi oleh pembangkang berhaluan kanan, sudah pasti akan digunakan sebagai alasan oleh kuasa imperialis untuk menafikan kesahan pilihanraya ini. Antara faktor-faktor yang menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah ini termasuk:

  • Kempen boikot pilihanraya oleh sebahagian golongan pembangkang yang disokong oleh imperialis AS.
  • Kebimbangan penularan wabak COVID-19.
  • Masalah kekurangan bekalan bahan api menyebabkan ramai rakyat Venezuela tidak dapat menggunakan pengangkutan, termasuk beredar ke tempat mengundi.
  • Rasa kekecewaan dan kepenatan sebahagian rakyat terhadap keadaan hidup yang masih sukar kerana sekatan ekonomi yang dikenakan oleh kuasa imperialis AS.
  • Ramai rakyat Venezuela telah berhijrah ke luar negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana keadaan hidup yang susah akibat sabotaj ekonomi oleh kuasa imperialis.

Juan Guaidó, pemimpin pembangkang berhaluan kanan yang disokong oleh imperialis AS, dan sekutunya dalam kalangan puak pelampau kanan di Venezuela, telah berkempen untuk memboikot pilihanraya parlimen sejak awal lagi. Guaidó mengisytihar dirinya sebagai Presiden Venezuela semasa dia memegang jawatan Presiden Perhimpunan Kebangsaan pada bulan Januari 2019, dalam usaha untuk merampas kuasa, tetapi tidak berjaya sepanjang dua tahun yang lalu. Dengan pilihanraya parlimen diadakan dan kemenangan besar PSUV, Perhimpunan Kebangsaan yang dikuasai oleh puak pembangkang berhaluan kanan dan dijadikan alat untuk agenda menggagalkan Revolusi Bolivar selama lima tahun yang lalu, telah kembali  ke dalam tangan rakyat Venezuela yang mendukung proses Revolusi Bolivar.

Sebahagian daripada golongan pembangkang enggan mengikut rentak Guaidó, sebaliknya menyertai Pilihanraya Parlimen. Dalam tiga tahun kebelakangan ini, apabila puak pembangkang yang rapat dengan kuasa imperialis AS mengambil pendekatan yang keras untuk merampas kuasa, terdapatnya sebahagian puak pembangkang mengambil pendirian yang moderat dengan melibatkan diri dalam dialog dengan pihak kerajaan dan menyertai pilihanraya. Golongan pembangkang yang moderat telah menyatakan bahawa mereka menerima keputusan pilihanraya, menyeru untuk penilaian diri dalam kalangan pembangkang dan mengkritik seruan untuk memboikot pilihanraya.

Kerajaan AS yang dipimpin Donald Trump telah cuba mensabotaj pilihanraya Venezuela sepanjang beberapa bulan yang lalu ini, dengan cara seperti mengenakan sekatan terhadap golongan pembangkang yang moderat. Seperti yang pernah berlaku semasa Pilihanraya Presiden Venezuela pada tahun 2018, Kerajaan AS dan sekutunya sejak awal lagi tiada niat untuk mengiktiraf keputusan pilihanraya di Venezuela, dan terus menuduh wujudnya penyelewengan dalam pilihanraya tanpa bukti-bukti yang kukuh. Pemerhati-pemerhati antarabangsa yang memantau proses pilihanraya di lapangan, telah mengesahkan bahawa pilihanraya di Venezuela adalah mematuhi piawaian antarabangsa. Sebanyak 300 orang pemerhati antarabangsa dari 34 buah negara datang ke Venezuela untuk memantau pilihanraya, sementara terdapatnya lebih 1,000 orang pemerhati dalam negara yang terdiri daripada pelbagai parti politik dan organisasi masyarakat.

Berikutan Pilihanraya Parlimen ini, kerajaan Venezuela pimpinan Maduro sekarang ini menguasai majoriti besar dalam Perhimpunan Kebangsaan untuk lima tahun akan datang. Ini sememangnya akan mengurangkan halangan daripada puak pembangkang yang pro-imperialis dalam negara Venezuela seperti sebelum ini. Ini juga sepatutnya dalam membantu dan memudahkan kerajaan Venezuela untuk membangunkan langkah-langkah yang lebih berkesan untuk menangani cabaran sekatan ekonomi. Posisi untuk Gerakan Revolusi Bolivar menjadi lebih kukuh selepas pilihanraya ini, walaupun terdapat suara yang tidak bersetuju dengan kerajaan Maduro dalam kalangan massa yang menyokong Revolusi Bolivar.

Pilihanraya Parlimen Venezuela telah diadakan dalam keadaan yang tenang dan teratur, walaupun menghadapi sabotaj yang berterusan daripada kuasa imperialis dan ancaman pandemik. Ini sudahpun merupakan satu kejayaan. Kejayaan perjuangan rakyat Venezuela ini diperkukuhkan lagi dengan kemenangan besar PSUV. Usaha imperialis AS dan sekutunya untuk menjatuhkan kerajaan Bolivar Venezuela untuk beberapa tahun kebelakangan ini, sekali lagi menemui kegagalan, dan ia akan terus gagal.

2 thoughts on “Venezuela: PSUV menang besar dan tamparan kepada imperialis AS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *