oleh Rani Rasiah
Banyak restoran besar mengupah pekerja migran. Dalam banyak keadaan, nampaknya pekerja-pekerja migran ini diamanahkan sepenuhnya untuk mengendalikan perniagaan. Walaupun majikan mungkin tidak hadir di situ, tetapi restoran-restoran ini berfungsi dengan lancarnya, sekurang-kurangnya memenuhi segala keperluan pelanggan. Kita makan di situ, membayar kepada juruwang yang berkemungkinan besar juga seorang pekerja migran, dan kemudiannya tinggalkan situ. Jarang sekali kita merenung sama ada ini sesuatu yang normal, kerana luaran yang efisien boleh menyembunyikan keadaan perhambaan zaman moden.
Kebanyakan orang biasanya membayangkan perhambaan sebagai persekitaran kerja yang teruk dengan seorang pemilik hamba yang memegang cambuk, serta orang yang kelihatan muram dan lebih rendah darjatnya diikat dengan rantai. Perhambaan zaman moden selalunya tidak mempunyai kesan visual sebegini, tetapi ia agak berleluasa.
Kebanyakan pekerja migran bukannya orang yang bebas. Pasport mereka biasanya diambil oleh majikan, dan bukan sahaja untuk tujuan penyimpanan dengan selamat seperti yang dinyatakan secara rasmi. Pasport yang dipegang oleh majikan sering dijadikan alat untuk mengawal dan menjinakkan pekerja, khususnya dalam keadaan gaji tidak dibayar, kerja tidak berbayar dan sebagainya. Ia bagaikan cambuk yang ghaib dalam tangan pemilik hamba moden, dan dalam keadaan yang paling zalim, ia boleh digunakan untuk menjadikan seseorang pekerja migran itu tidak berdokumen serta-merta dan menafikan sepenuhnya sebarang hak.
Baru-baru ini, terdapat 6 orang pekerja migran menghadapi keadaan tertekan apabila pemilik restoran menghalau mereka keluar dan menutup restorannya. Pekerja-pekerja yang sudah bekerja selama 5 hingga 10 tahun ini akhirnya memberanikan diri untuk berhenti kerja demi menuntut gaji mereka yang lama tertunggak. Majikan mereka telah melanggar Akta Kerja dengan tidak membayar gaji dan bayaran kerja lebih masa (OT) untuk selama setahun.
Kegagalan majikan membayar gaji untuk tempoh yang panjang ini mendatangkan masalah serius kepada keluarga pekerja-pekerja ini yang tinggal di negara asal mereka, India. Keluarga-keluarga ini bergelut dalam kesusahan untuk menampung kehidupan, dan berdepan dengan gangguan daripada pemberi pinjaman wang. Yang lebih teruk lagi adalah, ketegangan yang timbul membawa kepada perpecahan keluarga dan perkahwinan mereka berada di ambang keruntuhan.
Tindakan drastik majikan yang membuang pekerja ini bukannya sesuatu yang dijangka, dan pekerja-pekerja ini tiba-tiba mendapati diri mereka berada dalam situasi yang menakutkan. Mereka tiada wang, tiada pasport dan tiada permit kerja, malah juga tiada sesiapa untuk mereka meminta bantuan. Nasib baik majikan masih membenarkan mereka untuk terus tinggal di dalam asrama mereka. Seorang jiran yang baik hati telah menghubungkan mereka dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Dengan bantuan daripada PSM, pekerja-pekerja ini membuat laporan polis dan memfailkan aduan di Pejabat Tenaga Kerja. Dalam sesi rundingan damai di Pejabat Tenaga Kerja, pihak majikan menawarkan bayaran RM10,000 setiap orang pekerja (lebih kurang 60% daripada jumlah wang yang dihutang oleh majikan kepada pekerja), dengan alasan dia menghadapi masalah kewangan yang serius dan sedang cuba menjual perniagaannya. Pekerja-pekerja ini memang takut bahawa mereka tidak akan mendapat apa-apa, dan tambahan pula mereka terdesak untuk pulang kepada keluarga mereka. Oleh itu, mereka sudi menerima apa yang ditawarkan.
Perhambaan zaman moden berbunyi seolah-olah sesuatu yang jarang berlaku, tetapi ia tersembunyi di sebalik luaran di banyak tempat kerja yang nampaknya elok. Kita adanya undang-undang (seperti Akta Kerja dan Akta Pasport), tetapi tanpa penguatkuasaan, tanpa pemeriksaan pematuhan undang-undang perburuhan ke atas tempat pekerjaan, pekerja-pekerja, sama ada pekerja migran atau pekerja tempatan, masih kekal tidak dilindungi. Pegawai-pegawai di Jabatan Tenaga Kerja mendakwa bahawa mereka kekurangan kakitangan. Jika memang begitu, kenapa Kerajaan tidak menyediakan peruntukan dana yang lebih besar untuk tujuan pemeriksaan pematuhan undang-undang perburuhan? Tanpa penguatkuasan yang berkesan, undang-undang yang sepatutnya melindungi pekerja itu hanya sekadar hak di atas kertas.
==========
Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.