oleh S. Arutchelvan

Saya faham bahawa pemain saham dan mereka yang yang mempunyai modal tinggi pasti akan menentang pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (Capital Gain Tax). Mereka mesti membantah Cukai Keuntungan Modal, kerana bagi mereka, cukai ini akan mengurangkan keuntungan mereka.

Saya pasti majoriti rakyat Malaysia tidak akan kisah kerana cukai ini hanya melibatkan segelintir kecil orang yang kaya dan berpendapatan tinggi. Ramai rakyat biasa termasuk golongan kelas menengah dan mereka yang membuat peniagaan SME sebenarnya tidak akan terjejas dengan cukai keuntungan modal ini. Selain itu, mendapat keuntungan daripada permainan dan penjualan saham adalah kemahiran berspekulasi. Ia tidak melibatkan usaha kerja, tidak perlu membanting tulang, tidak menggunakan tenaga buruh atau kerja keras seperti yang dilakukan oleh kebanyakan rakyat di negara kita.

Saya berpendirian sama dengan Lim Guan Eng apabila beliau membantah cadangan syarat pemilikan 51% ekuiti Bumiputera dalam syarikat penghantaran barang tempatan, tetapi dalam isu Cukai Keuntungan Modal ini, saya tidak faham mengapa DAP dan Lim Guan Eng membantah cukai progresif ini dan membela golongan yang kaya.

Cukai Keuntungan Modal ialah cukai yang dikenakan ke atas keuntungan modal atau keuntungan yang diperoleh seseorang daripada penjualan aset. Cukai ini hanya dikenakan setelah aset ditukarkan menjadi tunai, dan bukan ketika ia masih dalam tangan pelabur. Cara dan masa Cukai Keuntungan Modal akan dikenakan adalah ketika individu tersebut memutuskan untuk menjual saham tersebut dengan harga yang lebih tinggi daripada harga belian mereka. Ini kerana Cukat Keuntungan Modal hanya dikenakan jika terdapat “realised gains” atau keuntungan terlaksana. Maka pada dasarnya, ia tidak menghalang orang untuk menjadi kaya tetapi mereka hanya dicukai jika mereka yang kaya mahu bertambah lebih kaya.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan bahawa mereka akan membantah sebarang rancangan oleh Putrajaya untuk mengenakan Cukai Keuntungan Modal (Capital Gain Tax) di negara ini. Pada masa yang sama, beliau juga mengatakan bahawa kerajaan harus menyelamatkan rakyat dengan bantuan kewangan semasa kemelesetan ekonomi, dan bukan sebaliknya.

Sebenarnya kenyataan ini amat bercanggah kerana Cukai keuntungan Modal hanya dikenakan ke atas golongan yang mendapat keuntungan tinggi daripada penjualan aset saham. Ia bukanlah seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan secara pukul rata terhadap semua rakyat Malaysia tetapi hanya ke atas segelintir kecil golongan. Sebenarnya Cukai Keuntungan Modal boleh digunakan untuk menyelamatkan rakyat.

Golongan yang akan dikenakan Cukai Keuntungan Modal bukanlah golongan yang perlu diselamatkan pun. Mereka sebenarnya adalah golongan yang mempunyai rizab kewangan yang cukup besar. Cukai ini sebenarnya dapat memastikan jurang antara yang kaya dan yang miskin dapat dikurangkan. Ia adalah cukai yang terbaik yang harus dikenakan pada masa sekarang. Saya pasti Pemuda DAP (DAPSY) yang berideologi sosial-demokrat itu akan memahami hujah saya ini.

Sebenarnya banyak faedah jika kita laksanakan cukai ini. Antaranya ia boleh digunakan sebagai subsidi untuk meningkatkan gaji minimum yang merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan, di mana mereka setuju untuk gaji minimum dinaikkan dan SME diberikan bantuan untuk meningkatkan gaji minimum.

Semasa Lim Guan Eng menjadi Menteri kewangan, satu kritikan terhadapnya adalah banyak dana untuk pekebun kecil dan nelayan disekat, begitu juga dengan gaji untuk guru-guru tadika yang berpendapatan rendah. Walaupun matlamat sebenar beliau adalah menangani ketirisan dan penyalahgunaan wang, tetapi saya tidak faham mengapa rakyat berpendapatan rendah yang menjadi sasaran untuk penjimatan wang ini.

Dan kini apabila ramai ahli ekonomi yang progresif berpendapat bahawa Cukai Keuntungan Modal (CGT) adalah satu jenis cukai yang amat baik dan adil, tetapi nampaknya Lim Guan Eng mahu menjaga kepentingan kelas atasan pula.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *