(tangkap layar Squid Game)

Barangkali siri drama TV Korea yang paling popular sekarang dalam Netflix di seluruh dunia (termasuklah Malaysia) ialah “Squid Game” (오징어 게임, terjemahan langsung ke dalam Bahasa Melayu ialah “Permainan Sotong”). Siri drama yang panas lagi ganas ini, mungkin “menghiburkan” bagi penonton yang bosan dengan kehidupan harian di bawah bayangan pandemik dan krisis ekonomi, tetapi ia juga menyampaikan dalam bentuk kreatif dan dramatik realiti dunia di bawah sistem kapitalis yang penuh kezaliman, keganasan dan penyahinsanian.

Di sebalik visual yang mempersonakan, adegan aksi yang mendebarkan, jalan cerita yang menarik dan persembahan dramatik untuk tragedi yang menyayat hati, siri drama “Squid Game” cuba meneroka dan mengupas isu-isu sosial yang bukan sahaja menyentuh hati penonton di Korea Selatan, tetapi juga mewujudkan gema dalam kalangan masyarakat umum di peringkat global. Siri drama ini mempersembahkan ilustrasi realiti kehidupan ramai orang pada hari ini: kesusahan hidup dalam sistem kapitalis, perampasan sifat kemanusiaan daripada manusia di bawah suasana persaingan ekonomi, dan percanggahan kelas masyarakat yang membiak pelbagai masalah yang lain. Pemilik modal atau kapitalis yang kaya raya sentiasa menjadi lebih kaya, walaupun dunia mengalami krisis yang teruk; sedangkan golongan pekerja dan rakyat bawahan yang menyumbangkan tenaga fizikal dan minda mereka untuk menggerakkan ekonomi dunia itu terus hidup dalam keadaan serba kekurangan, malah dijadikan bahan hiburan untuk kelas atasan yang melaga-lagakan mereka untuk bersaing sesama sendiri.

Negara Korea Selatan dengan jumlah penduduk lebih 50 juta orang, ialah salah sebuah ekonomi yang paling maju di benua Asia. Korea Selatan menduduki tangga ke-10 di dunia dari segi saiz KDNK (ukuran kasar) pada masa kini, dan telah menyertai kelab negara-negara kapitalis kaya, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), sejak tahun 1996. Walaupun pembangunan ekonomi yang pesat dalam tempoh lebih empat dekad lalu di Korea Selatan telah membawa kepada pelbagai kemajuan masyarakat di negara itu, tetapi masalah yang intrinsik kepada sistem kapitalis itu, iaitu pengagihan kekayaan yang tidak sama rata dan eksploitasi terhadap pekerja bawahan, tetap wujud. Konflik kelas di negara itu juga sangat ketara.

Memang tidak asing lagi untuk karya filem drama Korea Selatan yang memberi perhatian kepada isu-isu masyarakat yang kritikal. Filem “Parasite” (2019) arahan Bong Joon-ho yang memenangi banyak anugerah di peringkat antarabangsa termasuk anugerah Palme d’Or di Pesta Filem Cannes dan anugerah filem terbaik Oscar, telah menyentuh tentang isu jurang kekayaan yang melebar, konflik kelas dan ketidakadilan sosial di Korea Selatan.

Penulis skrip dan pengarah siri drama Squid Game, Hwang Dong-hyuk, sebelum ini terkenal dengan filem yang arahannya 10 tahun dahulu, “The Crucible” (2011), sebuah filem yang mengisahkan mangsa serangan seksual yang merupakan pelajar bermasalah pendengaran menuntut keadilan dan mencabar golongan berkuasa, di mana penayangan filem tersebut mencetuskan pengaruh yang amat besar sehingga membawa kepada penggubalan undang-undang di Korea Selatan yang melindungi hak golongan rentan untuk menuntut keadilan daripada jenayah seksual. Pelakon utama dalam filem “The Crucible”, Gong Yoo, iaitu seorang pelakon terkenal yang pernah membintangi filem zombi “Train to Busan” (2016), turut mempunyai penampilan khas dalam episod pertama dan terakhir dalam siri drama Squid Game yang terbaru ini (dengan babak terakhirnya juga menaiki tren, hanya tidak tahu sama ada tren itu menuju ke Busan atau tidak… oops).

Pelakon utama filem zombi Train to Busan, Gong Yoo, berada di dalam tren. (tangkap layar Squid Game)

Cerita apa ni?

Squid Game menceritakan 456 orang yang menghadapi masalah kewangan telah dijemput oleh satu sindiket yang penuh misteri untuk menyertai satu rancangan permainan yang mempertaruhkan nyawa mereka. Peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam permainan ini secara “sukarela”, telah ditawarkan hadiah mata wang sejumlah ₩45.6 bilion (bersamaan RM160 juta) untuk dimenangi jika sesiapa daripada mereka boleh keluar secara hidup dari medan permainan. Mereka dikehendaki untuk mengambil bahagian dalam permainan zaman kanak-kanak masyarakat Korea. Orang yang kalah akan terus dibunuh secara kejam, sementara orang yang menang boleh melayakkan diri ke pusingan seterusnya sehingga memenangi hadiah wang yang lumayan itu. Permainan terakhir yang dikenali sebagai “Squid Game” itu, mirip dengan permainan “galah panjang” di Nusantara.

(tangkap layar Squid Game)

Plot drama yang melibatkan permainan maut atau permainan bertahan hidup (survival game) sebegini bukannya sesuatu yang baharu, kerana sudah adanya filem-filem yang terkenal seperti “Battle Royale” (2000) dan “The Hunger Games” (2012). Tidak lama sebelum ini, adanya satu siri drama TV Jepun yang bertajuk “Alice in Borderland”, juga mengisahkan sekumpulan orang tersangkut dalam permainan yang melibatkan pertaruhan hidup mati.

Watak-watak yang muncul dalam siri drama ini, termasuklah penganggur yang berhutang banyak selepas dia kehilangan kerja, pekerja migran dari Pakistan yang tidak dibayar gaji berbulan-bulan lamanya, pelarian dari Korea Utara yang terpaksa menjadi penyeluk saku, graduan universiti yang kerja dalam sektor kewangan tetapi pecah amanah selepas semua kekayaannya lesap dalam pelaburan kewangan, dan samseng yang kalah semua wang sindiketnya dalam perjudian. Walaupun mereka ini merupakan watak ciptaan fiksyen, tetapi semuanya mempunyai bayangan kepada mereka yang hidup di dalam dunia realiti hari ini, bukan sahaja terhad di Korea Selatan. Sebagai contohnya, watak Han Mi-nyeo (dibintangi oleh Kim Joo-ryoung), pemain bernombor 212 yang nampaknya sanggup melakukan apa sahaja untuk terus hidup dengan nasib yang penuh tragik, mewakili golongan yang paling tertindas di Korea Selatan, iaitu golongan wanita dan orang miskin. Masyarakat Korea Selatan masih merupakan sebuah masyarakat dengan struktur patriarki yang sangat kuat, dan ia bukannya satu-satu masyarakat di dunia yang sebegini.

Pemain bernombor 199, Ali (dibintangi oleh Anupam Tripathi), ialah seorang pekerja migran dari Pakistan yang mengalami kecederaan jari putus di tempat kerja dan tidak dibayar gaji berbulan-bulan. (tangkap layar Squid Game)

Gi-hun dan pekerja SsangYong Motor yang pernah berjuang

Watak utama atau protagonis dalam siri drama Squid Game, Seong Gi-hun (dibintangi oleh Lee Jung-jae) yang merupakan pemain nombor 456 dalam permainan maut itu, dijemput untuk menyertai permainan itu oleh seorang lelaki misteri yang dibintangi oleh Gong Yoo, selepas dia menang dalam satu permainan kanak-kanak dengan lelaki misteri itu di stesen kereta api bawah tanah. Cara dia ditarik ke dalam permainan ini agak serupa dengan taktik perekrutan skim cepat kaya ataupun banyak kes penipuan yang berlaku di dunia nyata kita hari ini.

Sebelum Gi-hun dalam drama Squid Game ini hidup dalam kemiskinan dan menjadi ketagih pada perjudian serta berhutang banyak kepada lintah darat, dia ialah seorang pekerja di sebuah kilang kereta. Gi-hun diberhentikan kerja daripada kilang kereta itu apabila syarikat yang mengupahnya mengalami masalah kewangan dan menjalankan penstrukturan semula perniagaan. Gi-hun terlibat dalam aksi mogok untuk mempertahankan kerjanya, tetapi salah seorang rakan sekerjanya terbunuh dalam perjuangan itu. Gi-hun cuba membuka perniagaan ayam goreng selepas dia kehilangan kerja, tetapi perniagaan kecilnya gulung tikar kerana krisis ekonomi lagi. Kehidupan Gi-hun menjadi tunggang langgang selepas itu, sehingga isterinya bercerai dengannya dan dia juga kehilangan hak penjagaan satu-satu anaknya. Ini menjadi latar belakang tragik kepada Gi-hun yang menyertai permainan maut dalam siri drama Squid Game.

Seong Gi-hun (dibintangi oleh Lee Jung-jae), pemain bernombor 456, mengimbas semula kisah lampaunya terlibat dalam perjuangan mogok pekerja. (tangkap layar Squid Game)

Latar belakang cerita Gi-hun ini sebenarnya boleh mengingatkan kita tentang pekerja-pekerja kilang kereta SsangYong Motor yang dibuang kerja dan terlibat dalam perjuangan mogok yang epik 12 tahun dahulu di dunia nyata Korea Selatan.

Pada tahun 2009, kilang SsangYong Motor di bandar Pyeongtaek menjadi satu medan pertempuran kelas yang paling sengit dalam sejarah Korea Selatan. Pada ketika itu, dunia sedang dilanda krisis ekonomi global akibat daripada tindakan spekulasi kapitalis kewangan besar. Pada awal tahun 2009, Shanghai Automotive Industry Corporation (SAIC) yang merupakan pemegang saham utama untuk SsangYong Motor mengemukakan permohonan kebankrapan melalui cara memanipulasi kunci kira-kira dengan bantuan syarikat akauntan. Tidak lama kemudian, lebih 2,600 orang pekerja diberhentikan kerja dengan alasan penstrukturan semula perniagaan oleh pihak syarikat.

Pengumuman syarikat SsangYong Motor untuk memberhentikan pekerja tersebut mencetuskan perjuangan pekerja yang bertekad untuk mempertahankan hak dan periuk nasi mereka. Ribuan pekerja kilang SsangYong melancarkan aksi mogok dan menduduki kilang tersebut mulai 21 Mei 2009. Pekerja-pekerja yang menduduki kilang SsangYong Motor menuntut supaya menghentikan pembuangan kerja, mewujudkan jaminan kerja untuk semua dan menolak penyumberan luar.

Pekerja-pekerja SsangYong Motor bermogok dan menduduki kilang itu selama 77 hari. (foto: Lee Jin-man)

Pendudukan kilang oleh pekerja-pekerja di SsangYong Motor ini telah menghadapi penindasan yang zalim daripada pihak pengurusan syarikat dan pihak berkuasa Korea Selatan. Pihak syarikat telah mengupah kumpulan samseng untuk melancarkan serangan demi serangan ke atas pekerja-pekerja yang bermogok dengan niat mengusir mereka keluar dari kilang tersebut, tetapi ia gagal menumpaskan perjuangan pekerja SsangYong Motor. Pada pertengahan bulan Julai 2009, pihak polis pula melancarkan gelombang serangan yang lebih hebat lagi, dengan menggunakan meriam air dan tembakan gas pemedih mata. Polis telah menembak gas pemedih mata dari helikopter ke atas bumbung bangunan kilang dalam cubaan mematahkan aksi pendudukan kilang ini. Pihak berkuasa juga menggunakan kekerasan untuk menyuraikan aksi protes solidariti yang dianjurkan oleh kesatuan-kesatuan sekerja lain yang menyokong perjuangan pekerja SsangYong Motor. Pada penghujung bulan Julai 2009, bekalan air ke dalam kilang telah diputuskan sepenuhnya dan ahli keluarga pekerja juga dihalang untuk membawa makanan masuk ke dalam kilang. Namun, ratusan pekerja yang masih bertahan di dalam kilang tersebut tidak berganjak daripada medan perjuangan. Akhirnya pada 6 Ogos 2009, pihak pengurusan syarikat dan Kesatuan Pekerja Logam Korea (KMWU) yang mewakili pekerja-pekerja bermogok itu mencapai persetujuan untuk menamatkan mogok yang berlarutan selama 77 hari itu, dengan janji bahawa 52% pekerja yang bermogok menerima bayaran persaraan awal dan 48% pekerja akan diberi cuti tidak berbayar selama setahun sebelum diupah semula apabila keadaan ekonomi mengizinkan.

Pekerja-pekerja SsangYong Motor bertempur dengan polis di atas bumbung kilang. (foto: KMWU)
Sebuah helikopter polis menyembur cecair CS (bahan gas pemedih mata) ke atas bumbung kilang SsangYong Motor untuk mematahkan aksi pendudukan kilang oleh pekerja-pekerja. (foto: Yonhap/Reuters)

Namun, selepas mogok ditamatkan, pihak pengurusan syarikat tidak menepati janjinya. Masih terdapat lebih kurang 153 orang pekerja dibuang kerja terus, dan pihak syarikat juga tidak memegang pada janji untuk mengambil semula pekerja. Lebih kurang 100 orang pekerja telah dipenjarakan kerana penglibatan mereka dalam aksi mogok. Lebih 30 orang pekerja dan ahli keluarga pekerja mati semasa dan selepas aksi perjuangan pekerja atas sebab berkaitan dengan penindasan daripada pihak syarikat dan pihak berkuasa. Ada yang membunuh diri, sementara ada yang mati kesakitan kerana trauma yang dikenakan oleh syarikat dan jentera negara terhadap mereka.

Pada bulan November 2014, mahkamah tinggi menyampaikan satu keputusan yang berpihak kepada pekerja dan mengatakan tindakan syarikat itu adalah haram, tetapi keputusan tersebut ditolak pada bulan yang sama oleh mahkamah agung di Korea Selatan. Pekerja-pekerja yang masih tidak dipulihkan kerja itu, bersama-sama dengan ahli keluarga mereka dan juga anggota-anggota kesatuan KMWU, mendirikan khemah di luar kilang SsangYong untuk meneruskan perjuangan mereka. Pada bulan September 2018, pihak pengurusan SsangYong Motor di bawah pemilik baharunya, Mahindra & Mahindra, menandatangani persetujuan untuk mengambil balik pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja pada tahun 2009. Walaupun perjanjian tersebut masih belum ditunaikan sepenuhnya, tetapi kegigihan pekerja-pekerja SsangYong Motor untuk terus berjuang tetap membuahkan hasil.

Aksi mogok dan pendudukan kilang oleh pekerja-pekerja SsangYong Motor selama 77 hari ini tercatat dalam sejarah Korea Selatan sebagai salah satu perjuangan kelas yang paling sengit di negara itu. Kapitalis antarabangsa telah menggunakan kemelesetan ekonomi sebagai alasan untuk mencabul hak pekerja dan menindas pekerja. Namun, pekerja-pekerja yang enggan mengaku kalah telah melakukan perjuangan hebat yang menggegarkan kelas kapitalis di Korea Selatan dan peringkat antarabangsa.

Rujukan kepada perjuangan pekerja SsangYong Motor dalam drama Squid Game ini mungkin hanya sepintas lalu, tetapi sudah cukup mengharukan bagi mereka yang pernah melalui ataupun menyaksikan perjuangan yang hebat ini. Seong Gi-hun bagaikan jelmaan pekerja-pekerja SsangYong Motor yang pernah memperjuangkan nasib mereka dengan penuh bermaruah dan tidak pernah melepaskan kemanusiaan dalam diri mereka supaya semua orang dapat hidup bersama dalam masyarakat ini.

Jadi, adalah penting untuk kita menyedari bahawa watak Seong Gi-hun dalam drama Squid Game itu mewakili nasib pekerja yang ditindas dan dibuang kerja sewenang-wenangnya oleh kapitalis yang hanya mengutamakan keuntungan korporat. Seperti yang diakui oleh Hwang Dong-hyuk, pengarah siri drama ini sendiri, “Dalam masyarakat kapitalis, sesiapa pun boleh berada dalam posisi Gi-hun pada bila-bila masa. Malah sekarang juga ramai orang dibuang kerja atau hilang kerja apabila syarikat lingkup.”

Oh Il-nam (dibintangi oleh O Yeong-su) yang merupakan pemain 001. Sari kata di sini adalah dari dialog Gi-hun. (tangkap layar Squid Game)

Ilusi mobiliti sosial

Dalam cerita Squid Game, semua peserta permainan (kecuali bos besar yang berselindung dalam kalangan peserta) mempunyai masalah kewangan yang serius, sama ada hutang bertimbunan, wang lesap dalam pelaburan pasaran kewangan ataupun bayaran gaji yang tertunggak berbulan-bulan lamanya. Semua masalah ini ialah sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada sistem ekonomi kapitalis yang sentiasa menjana krisis. Mereka menyertai permainan ini, walaupun menyedari tentang risikonya, tetapi masih menaruh harapan besar bahawa mereka boleh memenangi hadiah wang berjumlah besar yang dapat mengeluarkan mereka daripada belenggu masalah kewangan itu. Ini bagaikan ilusi “mobiliti sosial” yang wujud dalam masyarakat kapitalis hari ini.

(tangkap layar Squid Game)

Sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan logik pengumpulan modal berterusan, perlu sentiasa mengeksploitasi tenaga buruh dan juga sumber alam untuk menjana keuntungan sebanyak mungkin. Jika proses pengumpulan modal yang berterusan ini terganggu, maka akan wujudnya apa yang dikenali sebagai “krisis ekonomi”, dan tenaga buruhlah yang akan dikorbankan lebih lanjut lagi untuk menyelamatkan sistem ekonomi kapitalis yang dilanda krisis. Untuk membolehkan eksploitasi tenaga buruh berkekalan, berbeza dengan sistem ekonomi dalam masyarakat kelas pra-kapitalis yang menggunakan banyak tenaga buruh secara paksaan (seperti hamba abdi), sistem ekonomi kapitalis memerlukan sebanyak mungkin tenaga buruh yang “bebas”: “bebas” dari segi pekerja “bebas” untuk menjual tenaga kerja mereka kepada mana-mana kapitalis yang mempunyai modal untuk mengupah mereka, kerana golongan pekerja ini sudah “dibebaskan” (ataupun sebenarnya dirampas aksesnya) daripada sumber pengeluaran (seperti tanah untuk bercucuk tanam).

Ilusi “mobiliti sosial” diwujudkan dalam masyarakat kapitalis untuk membolehkan golongan pekerja berangan-angan bahawa mereka boleh memanjat tangga kelas sosial untuk menjadi kaya dan hidup senang satu hari nanti seperti kapitalis yang memiliki modal besar, selagi mereka sudi bekerja keras dan sentiasa bersedia untuk menjual tenaga kerja mereka kepada pemilik modal. Namun, hakikatnya bukan sebegitu.

Seperti peserta permainan dalam siri drama Squid Game, golongan pekerja di dunia nyata hari ini menceburi diri ke dalam “permainan” ekonomi kapitalis secara “bebas” dan “sukarela”. Mereka “bebas” untuk meletak jawatan jika tidak mahu bekerja (risikonya adalah terjebak dalam kemiskinan), dan majikan boleh mengupah pekerja lain yang “sukarela” diupahnya. Tiada apa-apa paksaan dalam dunia pekerjaan di bawah sistem ekonomi kapitalis hari ini, kan? Jika mereka tidak menjual tenaga kerja mereka untuk dieksploitasi, mereka tidak akan dapat meneruskan kehidupan… “Bebas” kononnya.

Begitu jugalah realiti kezaliman, ketidakpastian, ketidakjaminan hidup dan risiko bahaya yang dihadapi oleh golongan pekerja di dunia nyata, memang tidak jauh berbeza dengan peserta permainan dalam drama Squid Game, mereka boleh disingkirkan daripada permainan bila-bila masa kerana tiada jaminan kerja, malah adanya orang mungkin kehilangan nyawa, seperti penghantar makanan di bawah ekonomi gig yang mempertaruhkan nyawa mereka di jalanraya setiap hari. Mereka “sudi” dan “sukarela” berbuat demikian hanya kerana masih wujudnya ilusi “mobiliti sosial”, seperti harapan untuk memenangi hadiah lumayan dalam drama Squid Game.

(tangkap layar Squid Game)

Alienasi

Bos jahat atau antagonis terbesar di sebalik permainan maut yang didedahkan pada penghujung siri drama Squid Game ini berkata kepada Seong Gi-hun sebelum dia mati, bahawa kehidupan adalah tidak bermakna langsung untuk orang yang tiada apa-apa wang dan orang yang memiliki terlalu banyak wang. Adanya kebenaran dalam kenyataan ini, kerana dalam sistem kapitalis yang mengasingkan kemanusiaan daripada umat manusia, semua orang hanya menjadi sebahagian yang mekanikal dalam keseluruhan sistem yang berfungsi semata-mata untuk pengumpulan modal yang tidak habis-habisan sehingga dunia khiamat. Fenomena ini dikenali sebagai “alienasi” atau pengasingan, satu konsep yang banyak dikaji dan dibincangkan oleh golongan Marxis.

Alienasi merupakan satu fenomena ketara yang wujud dalam sistem sosio-ekonomi kapitalis. Dalam sistem ekonomi kapitalis, seseorang pekerja bukannya lagi manusia yang wujud secara bebas (walaupun dia dianggap sebagai “buruh bebas”) dan mempunyai realisasi diri, sebaliknya dia hanya wujud (bukannya hidup pun) mengikut model yang dibentuk di bawah susunan masyarakat yang berfungsi untuk memastikan pengumpulan modal yang berterusan.

Alienasi melibatkan pelbagai aspek dalam proses pengeluaran masyarakat, termasuk pengasingan antara pekerja dengan produk yang dikeluarkannya (di mana pekerja perlu membeli semula barangan yang dihasilkannya daripada pemilik modal), pengasingan pekerja dengan kegiatan perburuhan itu sendiri (di mana kerja menjadi aktiviti yang tidak bermakna untuk dirinya dan tidak membawa apa-apa kepuasan sebenar), pengasingan pekerja dengan identitinya sebagai pengeluar sebenar (di mana pekerja menjadi hanya sebahagian yang mekanikal daripada mesin dalam sistem pengeluaran komoditi secara besar-besaran), dan pengasingan pekerja dengan pekerja yang lain.

Dalam sistem ekonomi kapitalis, tenaga kerja menjadi sekadar komoditi yang boleh dijual beli dalam pasaran, bukannya lagi sumber kesejahteraan hidup dan hubungan sesama manusia yang harmoni. Pekerja yang dikomoditikan (iaitu dijadikan barangan yang boleh dijual beli), walaupun “bebas” (kerana secara teorinya dia bukan hamba kepada sesiapa pun), tetapi dia harus menjual tenaga buruhnya kepada pemilik modal supaya dia dapat memperoleh upah yang akan digunakannya untuk membeli semula segala keperluan hidupnya, termasuk kebahagiaan dan maruahnya. Seorang pekerja perlu bersaing dengan pekerja-pekerja yang lain untuk menunjukkan dirinya memiliki “nilai komoditi” yang berdaya saing, supaya dia dapat terus diupah. Dia juga harus bersaing dengan rakan sekerjanya di tempat kerja sekiranya dia hendak memanjat ke pangkat lebih tinggi yang menjanjikan gaji lebih lumayan. Perlumbaan antara pekerja-pekerja ini bagaikan persaingan bermati-matian peserta-peserta permainan dalam drama Squid Game. Mereka yang terjerumus dalam persaingan bermati-matian sesama diri ini, beranggapan bahawa diri mereka tidak akan selamat jika tidak menikam belakang semasa diri antara rakan-rakan sekerja sendiri. Fenomena alienasi sebeginilah yang membolehkan golongan kapitalis dapat terus mengeksploitasi pekerja dan memastikan proses pengumpulan modal dapat diteruskan selama-lamanya.

Golongan pemerintah juga sering suka memecah-belahkan golongan pekerja atau melaga-lagakan pekerja, dengan mewujudkan persepsi dalam kalangan pekerja bahawa pekerja-pekerja yang lain itu ancaman atau musuh kepada diri mereka sendiri. Misalnya, pekerja-pekerja tempatan di sesebuah negara menganggap pekerja-pekerja migran yang dibawa masuk dan bekerja dengan gaji lebih rendah itu ialah musuh kepada mereka, maka sentimen anti-migran dan xenofobia terus diapi-apikan. Selagi sentimen anti-migran, perkauman dan xenofobia itu masih mendominasi minda pekerja-pekerja, maka mereka tiada masa untuk menyedari punca sebenar kepada kesengsaraan yang dihadapi mereka dan juga tiada masa untuk bersatu sesama pekerja tanpa mengira kaum demi memperjuangkan kepentingan bersama kelas pekerja itu sendiri.

(tangkap layar Squid Game)

Alienasi wujud hasil daripada pembahagian kerja dan pemetakan peranan sosial manusia dalam masyarakat kapitalis. Dalam siri drama Squid Game, alienasi bukan sahaja wujud dalam kalangan peserta-peserta permainan, tetapi juga dalam kalangan petugas-petugas yang bekerja dengan penganjur dan menjadi “urus setia” permainan itu. Petugas-petugas itu semuanya berpakaian warna merah jambu yang sama dan ditutupi muka mereka, menjadikan mereka kehilangan identiti sebagai seorang insan. Yang membezakan mereka ialah simbol berbentuk geometri di atas topeng mereka: simbol bulatan untuk pekerja, segi tiga untuk tentera (atau apa-apa jentera negara yang bersenjata), dan segi empat untuk pengurus (atau golongan eksekutif dalam syarikat yang bergaji tinggi) – semuanya memainkan peranan masing-masing seperti bahagian-bahagian mekanikal dalam sebuah mesin.

Semasa Karl Marx dan Friedrich Engels masih berumur 20-an, mereka telah membangunkan idea untuk memperjuangkan sebuah masyarakat tanpa kelas yang dapat membebaskan manusia daripada alienasi sebegini. Mereka menulis dalam The German Ideology (1845-1846),

Selepas kemunculan pembahagian kerja, setiap orang pun adanya lingkungan aktivitinya yang khusus. Lingkungan ini adalah dipaksakan ke atasnya. Dia tidak dapat melepaskan diri untuk melangkaui lingkungan ini: Dia ialah seorang pemburu, nelayan atau penggembala, ataupun seorang pengkritik yang mengkritik. Selagi dia tidak ingin kehilangan sumber untuk hidup, dia sentiasa patut menjadi orang yang sebegini. Namun, dalam masyarakat komunis, setiap orang tiada lagi lingkungan aktivti yang khusus, malah boleh berkembang di mana-mana sektor. Masyarakat menyelaraskan seluruh pengeluaran, maka membolehkan saya dapat melakukan kerja ini hari ini, kerja itu hari esok mengikut minat sendiri. Memburu pada waktu pagi, menangkap ikan pada waktu petang, menjaga ternakan pada waktu senja, melakukan pengkritikan selepas makan malam, namun begini tidak menjadikan saya seorang pemburu, nelayan, penggembala atau pengkritik.”

(tangkap layar Squid Game)

Ini bukan sebuah siri drama anti-kapitalis, tetapi…

Walaupun siri drama TV Squid Game tidak boleh dikatakan sebagai sebuah karya seni yang anti-kapitalis, tetapi ia telah menggunakan pendekatan yang kreatif untuk mendedahkan kepincangan yang serius dalam sistem kapitalis, sebuah sistem sosio-ekonomi yang merampas sifat kemanusiaan daripada umat manusia. Kritikan terhadap kapitalisme dalam siri drama yang kreatif ini sebenar agak tajam juga.

Oleh sebab siri drama TV ini menjadi begitu popular dan ramai orang berlumba-lumba untuk menontonnya, maka adalah penting juga untuk kita mendalami mesej yang terkandung dalam siri drama yang penuh gelora emosi ini. Mungkin adanya penonton hanya sekadar mengejar hiburan, mencari eskapisme ataupun cuba mengalihkan perhatian daripada kehidupan harian yang membosankan (mungkin dia bosan kerana terlalu kaya, ataupun oleh sebab kehilangan makna hidup kerana terlalu miskin, ataupun apa-apa yang antaranya) dalam masyakat kapitalis. Namun, adalah membuang masa sahaja (dan kembali kepada hidup yang membosankan selepas keseronokan menonton TV) sekiranya mesej yang mendedahkan permasalahan sistem kapitalis dan usaha mengembalikan kemanusiaan itu tidak difahami.

Adalah juga tidak mencukupi jika kita hanya sekadar mampu menghayati mesej yang bermakna dalam sesebuah karya seni. Yang penting, adalah mengubah keadaan dan nasib masyarakat secara bersama. Kita tidak perlu mengharapkan sesebuah filem atau siri drama yang disiarkan dalam Netflix itu dapat menawarkan kita apa-apa hala tuju konkrit untuk memperjuangkan perubahan masyarakat ini, kerana jawapannya bukan di dunia maya di sebalik skrin TV, komputer atau telefon pintar, sebaliknya adalah di dunia nyata kita dalam segala tindakan kita bersepakat dengan rakan-rakan marhaen senasib, berorganisasi, bermobilisasi dan berjuang demi pembebasan dan kesejahteraan bersama.

(tangkap layar Squid Game)

===========

(ulasan oleh Choo Chon Kai)

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.

3 thoughts on ““Squid Game”: Mobiliti sosial yang penuh keganasan dalam kapitalisme

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *