Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.
==========
oleh Sivarajan Arumugam
Sejak tercetusnya pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mendesak Kerajaan agar memperkenalkan suatu Skim Jaminan Pendapatan Asas, atau Guaranteed Basic Income, kepada sesiapa yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.
Dokumen pelan tindakan PSM yang bertajuk “Kemelesetan Ekonomi Pasca COVID-19: Cadangan untuk Memulihkan Negara Demi Rakyat” mengemukakan cadangan agar setiap keluarga yang kehilangan punca pendapatan haruslah dibayar sebanyak RM1,000 untuk memastikan keluarga tersebut tidak terjerumus dalam kancah kemiskinan. Dokumen ini telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada Julai 2020.
Tetapi malangnya Kerajaan masih kekal dengan model bantuan yang bersifat “one off”. Skim Bantuan Khas COVID-19 (BKC) yang diperkenalkan juga merupakan bayaran “one-off” di mana golongan miskin tegar akan dibayar RM1,300 per isi rumah, RM500 untuk warga emas dan RM500 untuk meraka yang bujang secara ansuran. Golongan B40 pula akan menerima bayaran RM800 per isi rumah, RM200 untuk warga emas dan mereka yang bujang RM200. Bantuan BKC juga dipanjangkan kepada golongan M40. Golongan M40 merupakan mereka yang mempunyai pendapatan isu rumah melebihi RM5,000 sebulan. Sebanyak RM3.1 bilion dikhususkan untuk bayaran tersebut.
PSM membawa cadangan bahawa, berbanding dengan bayaran sekali gus (one-off) yang disebarkan luas dari golongan miskin tegar sehinggalah golongan M40, adalah lebih memanfaatkan jika Kerajaan memfokuskan bantuan kepada isi rumah yang benar-benar kehilangan punca pendapatan akibat COVID-19. Bantuan melalui Skim Jaminan Pendapatan Asas yang serupa Universal Basic Income (UBI) ini dapat membantu isi rumah tersebut menangani kos sara hidup asas rumah tangga seperti makanan dan sebagainya.
Dalam satu kajian lapangan yang dibuat oleh Jabatan Statistik Malaysia, pada bulan Mac 2020, mereka mendapati golongan yang paling ketara dalam kehilangan kerja ialah mereka yang bekerja sendiri. Sebanyak 46.6% daripada responden yang kerja sendiri menyatakan bahawa mereka kehilangan pendapatan berbanding dengan 23.8% daripada orang yang bekerja dengan majikan, 1.8% sektor swasta, 0.4% kerja dengan syarikat multi-nasional dan 0.4% yang bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Kajian yang sama melaporkan bahawa sebanyak 71.4% responden yang bekerja sendiri hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kurang daripada satu bulan pendapatan mereka, berbanding dengan 49.2% responden yang bermajikan, 58% bekerja dengan swasta, 31.2% bekerja dengan syarikat multi-nasional dan 38% yang bekerja dengan syarikat GLC. Maka bantuan segera secara bulanan pada masa-masa kritikal apabila mereka kehilangan kerja adalah amat penting sekali.
PSM mencadangkan bahawa bantuan ini hanya ditujukan kepada mereka yang hilang kerja dan tiada apa jua sumber bantuan yang lain. Maka mereka yang menerima bantuan lain dikecualikan, seperti mereka yang berikut:
- Sedang mencarum pada PERKESO yang boleh mendapat manfaat daripada Skim Insurans Pekerjaan (SIP) dan sebagainya;
- Menerima pencen tetap (sama ada pesara kerajaan atau lain-lain) yang amaunnya lebih dari RM1,000 sebulan;
- Kakitangan kerajaan;
- Masih mempunyai pekerjaan alternatif (selepas kehilangan kerja utama);
- Masih ada sumber pendapatan yang layak membayar cukai persendirian;
- Masih bekerja di sektor awam atau swasta/berniaga dan sebagainya.
Cadangan ini dikhususkan kepada sesiapa yang kehilangan sumber pendapatan seperti pekerja sektor tidak formal, pekerja persendirian berskala kecil dan peniaga mikro yang kehilangan punca pendapatan pada waktu ini.
Kini, bantuan yang diberikan oleh Kerajaan seperti Subsidi Upah ataupun bantuan daripada Skim Insurans Pekerjaan daripada PERKESO hanya membantu pekerja dalam sektor formal sahaja. Manakala lebih kurang 3 juta orang pekerja tidak formal dan 2 juta orang yang terlibat dalam pekerjaan sendiri tiada sebarang sistem sokongan apabila mereka kehilangan punca pendapatan akibat penutupan bisnes pada masa pandemik ini.
Jika skim ini dipanjangkan kepada 700,000 keluarga (10%) sebanyak RM1,000 sebulan, maka dianggarkan bahawa kita memerlukan RM8.4 bilion setahun.
Konsep bantuan Skim Jaminan Pendapatan Asas ini tercetus daripada konsep Universal Basic Income (UBI) atau Pendapatan Asas Sejagat. Ianya bukan untuk menjadikan rakyat malas, dengan bayaran tunai RM1,000 setiap bulan kepada akuan mereka, tetapi ianya merupakan satu jaringan keselamatan sosial untuk memastikan isi keluarga yang kehilangan punca pendapatan secara mendadak itu tidak tersungkur dengan kelaparan. Penjelasan lanjut konsep UBI ini boleh difahami melalui penulisan ini.
Jika diambil kira Garis Kemiskinan terkini, iaitu RM2,208, dianggarkan terdapat sehingga 8.3% isi rumah yang berada dalam golongan ini. Ancaman COVID-19 dan kemelesetan ekonomi yang menjurus kepada menekan rakyat terbawah ini dengan paling dahsyat sekali. Bayangkan kesusahan yang harus diharungi apabila mereka ini kehilangan punca pendapatan? Bantuan segera RM1,000 terus kepada isi rumah mereka sekurang-kurangnya membolehkan keluarga tersebut menyediakan makanan dan keperluan asas sehingga ketua isi rumah dapat mencari kerja atau sumber pendapatan yang baru.
Oleh yang demikian, dalam dokumen pelan tindakan “Pemulihan Nasional Haluan Baru Untuk Malaysia – Permintaan Rakyat Mudah Je”, PSM meletakkan hujah bahawa rakyat perlu bantuan Skim Jaminan Pendapatan Asas dengan segera dan bukannya bantuan berbentuk “one-off” yang jelas gagal memulihkan keadaan sosio-ekonomi isi rumah terjejas dengan efektif.
==========
Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).