Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Danial Hakeem

Adakah penagih, pengguna dan pengedar kecil dadah layak ditahan tanpa bicara, dipenjarakan, malah digantung sampai mati?

Terlalu banyak prasangka dan propaganda yang mengelilingi perbincangan mengenai penggunaan dadah, salah guna dadah dan ketagihan dadah. Akta Dadah Berbahaya memberi kuasa yang luas kepada pihak polis demi kepentingan ketenteraman awam, untuk menangkap tanpa waran dan menahan tanpa perbicaraan seseorang yang dipercayai ada alasan-alasan bahawa seseorang itu pernah ada atau sedang ada kaitan dengan apa-apa aktiviti yang berhubungan dengan atau melibatkan pengedaran dadah berbahaya. Kuasa ini dapat digunakan walaupun tiada bukti kukuh sebagaimana yang lazim diperlukan untuk sabitan kesalahan di mahkamah. Sebaliknya alasan-alasan yang diberikan oleh pihak polis dan Menteri (yang bertanggungjawab atas keselamatan dalam negeri) berkaitan penglibatan seseorang itu dalam pengedaran dadah dianggap muktamad. Walaupun begitu, ramai antara kita yang ada kenalan yang mencuba dadah sekali dua, malah ada juga yang menggunakan dadah dalam kehidupan seharian, tetapi masih menjalani hidup yang produktif tanpa kebergantungan melampau. Kita juga boleh berpendapat bahawa apa-apa jenis dadah boleh disalahgunakan hingga terlajak ke tahap ketagihan, dan ketagihan adalah satu masalah yang berbahaya untuk mana-mana masyarakat apatah lagi individu.

Namun, apakah solusi hukuman penjara dan hukuman mati yang sering dialami pengguna dadah di Malaysia ini munasabah dan berperikemanusiaan? Adakah hukuman mati dan penjara itu menjamin jalan ke arah pemulihan, terutama untuk pengguna yang terjebak ke arah ketagihan?

Melabelkan penggunaan dadah sebagai jenayah sebenarnya membawa kepada keganasan terhadap pengguna dan penagih yang sebenarnya sangat memerlukan bantuan dan sokongan. Ia mendedahkan pengguna dan penagih kepada keganasan dalam pelbagai bentuk, sama ada daripada pihak polis, daripada peniaga gangster yang semakin memonopoli pasaran kerana sifat jual beli produk yang diharamkan, dan juga keganasan daripada pekerja kesihatan dalam bentuk seperti menafikan rawatan dan melayan penagih seperti penjenayah dan bukannya pesakit. Pengharaman penggunaan dadah juga menghalang proses kajian yang lebih mendalam dan jujur mengenai risiko dan faedah penggunaan dadah berkenaan. Perdebatan yang sihat dalam isu ini akan mengubah persepsi yang membuka jalan ke arah pemulihan dan penggunaan yang jauh lebih selamat dan berperikemanusiaan, berbanding melabelkan mereka yang terlibat sebagai penjenayah yang layak dipenjara dan digantung sampai mati. Banyak faedah kesihatan yang boleh dimanfaatkan rakyat daripada dadah seperti ganja dan ketum terhalang kerana persepsi penggunaan dadah sebagai jenayah.

Sesiapa yang menyokong pendekatan ganas yang berdasarkan hukuman perlu lebih mendalami sejarah pendekatan ini di negara sendiri dan juga seluruh dunia. Di Malaysia, mereka yang disyaki terlibat dan ditahan jarang sekali mendapat peluang berhubung dengan peguam, dan boleh ditahan selama tempoh 2 tahun tanpa bicara. Tetapi, jumlah penahanan untuk kes pengedaran dan pemilikan terus meningkat dengan ketara sekali (Jumlah penahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya untuk kes pengedaran dan pemilikan: tahun 2002: 2055 tangkapan; tahun 2017: 24,482 tangkapan).

Walau bagaimanapun, ‘penghalalan’ dadah dan perubahan persepsi terhadap ketagihan sebagai masalah kesihatan hanya akan mencantas masalah ketagihan yang hanya merupakan rumpun kepada akar masalah yang lebih dalam dan meluas. Di bawah sistem kapitalisme, sebaik mana pun kita cuba merawat ketagihan, masalah itu akan terus menjadi-jadi.  ‘Penghalalan’ dadah seperti tembakau, nikotin, kafein dan arak langsung tidak membawa kepada penghasilan rokok dan arak yang lebih menyihatkan, tetapi sebaliknya semakin kapitalis penjual produk-produk ini terus mengiklankan produk mereka yang semakin kuat dan keras untuk pelanggan mereka sehingga ketagihan terus dianggap normal. Penyalahgunaan masih lagi timbul berkaitan dengan rokok, alkohol dan produk dadah halal yang berbahaya kerana penghasilan produk yang berpaksikan keuntungan, bukannya keperluan rakyat.

Jadi, persoalan dengan skop lebih besar perlu dirungkai: apakah sebab sebegitu ramai golongan pekerja yang terpaksa menyalahguna dadah, sehingga ketagihan dan merosakkan diri sendiri?

Masalah ketamakan golongan kapitalis adalah punca sebenar ketagihan dan salah guna dadah, seperti dalam kes-kes penggunaan syabu (methamphetamine) yang meningkatkan produktiviti semasa bekerja. Dadah haram seperti ganja juga luas digunakan untuk kesannya yang merehatkan, tetapi juga boleh digunakan sebagai cara untuk melupakan/mengurangkan kesengsaraan dihambakan semasa waktu bekerja. Hukuman penjara dan gantung sampai mati sebenarnya mengabaikan akar masalah ketagihan yang tertanam di tanah yang subur dengan masalah kemiskinan, masalah perkauman, masalah penindasan majikan di tempat kerja.

Kami menentang persepsi penggunaan dadah sebagai jenayah kerana, sebahagian besarnya, ia bukan diharamkan untuk kapitalis yang mengeluarkan ubat-ubatan haram, tetapi terhadap peniaga kecil dan kita rakyat marhaen kelas pekerja sahaja.

Kesengsaraan dan penderitaan kita, rasa penat tidak berdaya dan putus asa membina kecenderungan ke arah penggunaan ‘dadah’ yang menghasilkan ilusi kesenangan dan kelupaan. Kita cenderung untuk menggunakan apa sahaja yang membolehkan kita menderita dalam aman. Kelas pekerja dipaksa melupakan fakta yang mereka tidak dibayar dengan secukupnya untuk hasil penat lelah mereka, dan rasa putus asa itu membangkitkan perasaan penat yang terus melupakan keadaan isu semasa termasuk isu sendiri, di mana rasa ingin tahu dan kreativiti mati ditutup oleh tekanan di tempat kerja. Sudah pasti juga kapitalis penjual dadah halal anti-kemurungan dan anti-kegelisahan sangat mengalu-alukan situasi sebegini.

Kapitalis juga sebenarnya lebih mendorong penyertaan kita dalam sebarang aktiviti yang merosakkan diri sendiri, selagi bukan di tempat kerja. Corak tingkah laku kita yang merosakkan diri kita menjadi sumber keuntungan bagi kapitalis. Dengan melemahkan dan memecah-belahkan kaum pekerja, kita menjadi lebih lunyai dan lembut untuk diratah.

Kaum pemerintah, sama ada pihak kerajaan, pembangkang, atau kapitalis, tidak mampu (dan tidak mahu) mencabut akar masalah penyalahgunaan dadah dan masalah ketagihan, kerana tindakan itu memerlukan perubahan yang sangat meluas, mendalam dan radikal. Hasil tuaian daripada tanaman masalah ini pula sangat lumayan untuk mereka. Hanya dengan perebutan kuasa politik dan ekonomi yang berpihak kepada kaum pekerja boleh membebaskan pekerja dari penyakit sosial ini.

Dadah ada potensi yang sangat besar sebagai alat meningkatkan kualiti hidup, bukan memusnahkannya. Banyak masyarakat di seluruh dunia menggunakan ‘dadah’ sebagai ubat, seperti cendawan dan tumbuh-tumbuhan untuk melegakan dan merawat, tetapi dalam keadaan yang terkawal tanpa masalah ketagihan. Ketagihan sekiranya ditangani sebagai masalah kesihatan dan kesejahteraan awam, akan mengutamakan hospital dan pusat rawatan pemulihan, bukan tali gantung dan penjara. Perdebatan yang jujur dan saintifik mengenai faedah dan risiko ubat-ubatan dalam kalangan rakyat juga adalah salah satu saluran dan tanda bahawa rakyat mempunyai kuasa ke atas diri sendiri, masyarakat dan masa hadapan mereka. Industri perubatan juga akan berpaksikan keperluan rakyat, bukan keuntungan kapitalis, sekaligus akan mendorong penghasilan ubat penenang, penahan sakit dan perangsang yang tidak memusnahkan organ dan sistem saraf.

Perjuangan untuk sosialisme adalah perjuangan untuk mengembalikan makna dalam kehidupan manusia. Ia adalah perjuangan bagi pekerja mengembalikan pengawalan hasil kerja mereka untuk kebaikan semua. Tetapi naif untuk membayangkan bahawa dibawah sistem sosialisme, tidak akan pernah ada orang yang letih, tertekan atau murung. Konflik dan trauma akan masih wujud, tetapi cara menangani konflik dan masalah akan lebih berpaksikan kebaikan semua dan bukan nya diri sendiri. Trauma emosi seperti penderitaan dan kehilangan akan terus wujud, dan mungkin memerlukan bantuan ‘dadah’ atau sebenarnya ubat yang boleh membantu kita memulihkan diri daripada masalah berkenaan. Penggunaan ubat-ubatan adalah sesuatu yang normal dalam sejarah, sebagai satu alat peningkatan kualiti hidup, dan kapitalisme telah menjadikan perubatan suatu industri yang mencipta ketagihan, menuai keuntungan daripada masalah ketagihan, dan menghukum sekerasnya penjual dadah yang menggugat industri perubatan mereka, sambil membunuh dan mengabaikan pengguna dadah yang terlalu terjebak dalam masalah ketagihan sehingga tidak mampu menghasilkan keuntungan kepada mereka.

=========

Danial Hakeem ialah ahli Pemuda Sosialis PSM dan Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *