IPOH: Seorang pengawal keselamatan menang kes di Mahkamah Perusahaan kerana majikan salahguna kontrak jangka masa terhad untuk pekerjaan tetap.

Mahkamah Perusahaan Ipoh telah menyampaikan satu keputusan yang berpihak kepada pekerja pada 19 Ogos 2021, berkenaan dengan satu kes pembuangan kerja yang melibatkan penyalahgunaan kontrak kerja jangka masa terhad (fixed term contract) untuk pekerjaan yang tetap.

Sri Kavin Sananadas ialah seorang pengawal keselamatan yang diupah oleh syarikat Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd untuk bekerja di lombong kepunyaan mereka yang terletak di Gerik, Perak. Sri Kavin bekerja tetap dengan syif 12 jam setiap hari. Syarikat tersebut mendakwa bahawa Sri Kavin diupah berasaskan kontrak jangka masa terhad untuk tempoh 1 tahun. Perkhidmatan Sri Kavin ditamatkan pada 1 Julai 2019 dengan alasan kontrak kerjanya telah tamat tempoh 1 tahun seperti yang dipersetujui dalam kontrak. Sri Kavin memfailkan kesnya di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 di Jabatan Perhubungan Perusahaan selepas dia diberhentikan kerja.

Mahkamah Perusahaan yang meneliti kes ini mendapati beberapa perkara yang bercanggahan antara kerja yang dilakukannya dengan peruntukan yang sepatutnya di bawah kontrak jangka masa terhad ataupun kontrak tempoh tetap. Adalah didapati bahawa kerja kawalan keselamatan yang dilakukan oleh Sri Kavin itu serupa dengan pekerjaan tetap.

Antara perkara-perkara yang dipertikaikan dalam Mahkamah Perusahaan untuk menilai sama ada kerja Sri Kavin itu selaras dengan kerja kontrak jangka masa terhad atau tidak, adalah:

  • Kerja yang dilakukannya bukan bersifat sementara atau berkala, tetapi bersifat tetap
  • Cuti tahunan
  • Umur persaraan

Pemberian kontrak perkhidmatan secara kontrak jangka masa terhad bagi pekerjaan yang tetap dan diperlukan sepanjang masa, adalah sesuatu yang menyimpang tujuan asal kontrak jangka masa terhad, dan ini telah disalahgunakan oleh kebanyakan majikan bagi mengelakkan diri daripada melindungi hak pekerja, sekaligus menindas pekerja.

Oleh yang demikian, pekerja telah menang dalam kes ini. Mahkamah Perusahaan memutuskan bahawa pihak majikan harus membayar pampasan sebanyak RM37,270.50 kepada pekerja berkenaan.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan yang mendengar kes ini ialah Augustine Anthony. Pekerja Sri Kavin diwakili oleh pegawai perhubungan perusahaan, Varathan Panneer Selvam bersama-sama dengan L. Danaletchumi, yang juga merupakan aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Kemenangan pekerja dalam kes Mahkamah Perusahaan ini menunjukkan bahawa kontrak jangka masa terhad tidak boleh disalahgunakan untuk pekerjaan tetap, seperti kawalan keselamatan, perkhidmatan pembersihan dan sebagainya. Majikan juga tidak boleh memberhentikan pekerja sewenang-wenangnya. Pekerja berhak dan harus menuntut keadilan daripada amalan yang mengeksploitasi pekerja ini.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *