Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Sivarajan Arumugam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang akan bersidang pada 23 Ogos.2021 ini, agar membatalkan segera projek perlombongan nadir bumi lantanid yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Susulan kelulusan yang diberikan oleh Pejabat Tanah dan Galian Pahang pada tahun 2019, syarikat perlombongan Aras Kuasa Sdn Bhd akan membersihkan 660 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal Ulu Jelai, Kuala Lipis, Pahang, untuk melaksanakan perlombongan ini.

Kami amat terkejut mengetahui bagaimana suatu kawasan yang masih diklasifikasikan sebagai Hutan Simpanan Kekal dalam Rancangan Tempatan Daerah Lipis boleh dinyahwartakan daripada rizab Hutan Simpanan tanpa melalui proses bantahan awam.

Pengerak projek Aras Kuasa Sdn Bhd memperkenalkan suatu teknologi perlombongan yang dikenali sebagai “in-situ leaching”. Proses in-situ leaching ini melibatkan proses mengepam bahan kimia ke dalam tanah dan melarutkan bahan mineral yang dikehendaki. Teknologi dari China ini tidak pernah digunakan di Malaysia, lebih-lebih lagi di kawasan Hutan Simpanan Kekal.

Pelaksanaan teknologi tersebut di wilayah Jiangxi, Selatan China, juga menimbulkan pelbagai masalah pencemaran komposisi tanah, pencemaran air bawah tanah dan air sungai. Pengumpulan bahan kimia yang akan dimasukkan dalam tanah selama dua tahun (tempoh aktiviti perlombongan) ini akan terkumpul dan mencemari alam sekitar untuk jangkamasa panjang, selepas pengerak projek ini mengaut keuntungan dan meninggalkan tapak lombong.

Rakyat telah bangkit membantah projek kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang, walaupun nadir bumi tersebut diimport dari Australia dan ianya hanya diproses di kilang Lynas. Tetapi, projek ini lebih teruk lagi, kerana mineral nadir bumi lantanid ini akan dilombong di bumi Hutan Simpanan Ulu Jelai, menggunakan suatu teknologi yang belum terbukti setakat mana ianya akan mencemari alam sekitar.

Penempatan terdekat yang akan kena tempias projek perlombongan ini ialah Kampung Orang Asli Pos Lanai kerana tapak lombong berada di hulu Sungai Telom. Sungai Telom yang menjadi sumber air kepada semua aktiviti kebun dan penangkapan ikan bagi komuniti Orang Asli Semai ini, mengalir betul-betul melalui tapak perlombongan ini! Komuniti Pos Lanailah akan menjadi masyarakat pertama yang terkesan secara langsung jika perlombongan ini dibenarkan.

Sudah ah kita lupa bagaimana Orang Asli dari suku kaum Bateq, Kuala Koh, Kelantan, meninggal dunia akibat daripada pencemaran yang dipercayai dari air lombong mangan selepas perlombongan itu ditutup.

Lokasi tapak perlombongan ini juga dipercayai duduk di punca air lembangan sungai yang mengalir ke Sungai Pahang yang menjadi sumber air untuk rakyat Pahang. Kami juga dimaklumkan oleh Pengurusan Air Pahang (PAiP) bahawa loji-loji air yang menggunakan Sungai Jelai telah ditutup sebanyak 23 kali sepanjang tahun 2020 oleh sebab aktiviti perlombongan dan perladangan yang mencemari punca air. Pihak Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) juga memberikan amaran bahawa terdapat 18 “water intake”, iaitu 5 loji rawatan di Sungai Jelai dan 13 loji di Sungai Pahang yang terpaksa ditutup jika pencemaran berlaku. Ianya akan menyebabkan bekalan air untuk lebih 120,000 akaun pengguna terputus.

Justeru, para Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang secara dwiparti harus membantah projek perlombongan ini dengan segera kerana kos kemusnahan alam sekitar, pencemaran air dan kehilangan nyawa tidak dapat digantikan dengan hasil pulangan cukai dan royalti kepada dana Negeri.

Sumber Alam ialah harta warisan keseluruhan rakyat Pahang dan bukanlah milik khas mana-mana Kerajaan yang memerintah. Kerajaan hanyalah bertugas sebagai pemegang amanah yang menjaga warisan alam ini bagi pihak rakyat. Maka adalah dilarang menggondol kekayaan sumber alam untuk kepentingan segelintir orang, lebih-lebih lagi apabila ianya menghancurkan alam sekitar untuk generasi yang akan datang.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *